Sekolah alam ke 7 – Bah 1 – Rewang bukan merewang

00 sek alam 7 .1NOTA KEMBARA SEKOLAH ALAM KE-7
SABAK BERNAM BAH. 1 – ‘REWANG’ BUKAN ‘MEREWANG’

Alhamdulillah, kali ini kami bersama anak-anak keseluruhannya dapat menikmati perjalanan ke Sabak Bernam. Tujuan berziarah ialah untuk memperlihatkan kepada anak-anak tentang majlis Walimatulurus secara Islamik dan segala yang berkaitan dengannya.

Perjalanan kami padatkan seperti biasa dengan pelbagai pemerhatian alam yang tidak putus-putus. Anak-anak pula terbahagia kepada dua kumpulan besar dalam 2 buah bas yang berlainan. Anak-anak tahap 2 sehingga sekolah menengah dalam 1 bas, sementara yang lain dalam 1 bas lagi bersama para penjaga dewasa.

ULANGKAJI KEMBARA ALAM 4

Perjalanan kali ini melalui jalan yang pernah dilalui semasa Projek Sekolah Alam ke-4 kami di Tanjung Karang. Anak-anak diberikan tugasan untuk mengendalikan ulangkaji sepanjang perjalanan. Bukan dengan hafalan tetapi bilamana mereka melihat satu perkra, akan teringatlah di dalam benak mereka apa yang pernah muhadir jelaskan sebelum itu.

Pembahagian mengikut kumpulan umur memberi ruangan untuk anak-anak yang lebih besar untuk mendapatkan input yang lebih tinggi bahasa dan pemahamannya. Anak-anak di bawah 10 tahun pula kami berikan pendedahan tentang cara berfikir yang kritis agar mereka mampu memerhati dan mencerap pelajaran walaupun tanpa buku dan tanpa kelas.

Kami jelas tentang kelemahan sistem sedia ada dalam pendidikan arus perdana. Walaupun semua misi pendidikan sangat baik bagi mencipta daya pemikiran yang kognitif di kalangan pelajar, namun ia tidak berlaku sebegitu. Anak-anak kita di sekolah pada hari ini dengan mudah mampu mendapatkan keputusan 9A tetapi apabila memasuki bidang pekerjaan sebenar, anak-anak kita juga yang tertinggal ke belakang kerana tidak mampu menyelesaikan masalah.

REWANG – KAITAN DENGAN JAWA & ISLAM

Salah satu dari fokus kembara kami kali ini ialah kepada pembelajaran melalui pemerhatian konsep rewang orang Jawa yang menjadi tunjang kepada perpaduan masyarakat. Sememangnya Islam itu berasaskan kerjasama berjemaah, Ummatun wahidah.

Kami pernah bercerita kepada anak-anak yang sehingga hari ini kami kekalkan di kalangan mereka budaya rewang ini. Mereka juga sangat teruja apabila kami mahukan mereka memerhatikan tentang budaya ini di kampung semasa majlis walimatulurus di sana.

Dalam budaya REWANG, sekadar bunga duit RM1 sebagai ‘penanggah’, RM5 untuk ketua penanggah dengan tuala “good morning” dan juga rokok penanggah boleh menjadi satu bayaran yang lebih bernilai dari bayaran penanggah professional katering pada hari ini. Pada malam hari perkahwinan sehingga semuanya selesai, tuan rumah akan melantik seorang wakil dari kalangan ahli masyarakat yang datang untuk rewang. Secara tradisinya, tuan rumah tidak boleh lagi masuk campur selepas itu, iaitu selepas wakil jemaah mengambil alih pengaturan.

Ada juga kes apabila tuan rumah terlampau banyak ‘songel’ sehingga ahli rewang terasa hati dan terus meninggalkan kenduri. Jika itu berlaku, tuan rumah akan merendah diri untuk meminta maaf kepada setiap ahli masyarakat untuk mendapatkan mereka kembali meneruskan rewang.

Semuanya berlaku dalam semangat kekeluargaan yang sangat tinggi. Majlis keramaian memang satu yang ditunggu-tunggu kerana itu seperti satu asbab kepada penyatuan masyarakat. Bukannya untuk upah dan bayaran, tetapi sekadar mengeratkan silaturrahim. Anak dara dan anak bujang diacu-acukan oleh ibu-ibu dan bapa-bapa yang memerhatikan mereka semasa rewang. Bapa Si Dara pula boleh lihat calon-calon menantu mengikut kerajinannya.

Setibanya kami di sana, kami mula merasakan kemeriahan yang ada. Namun anak-anak bertanya, dimanakah rewangnya? Mereka mencari-cari penanggah-penanggah yang memakai bunga duit dan tuala “Good Morning” seperti yang pernah kami ceritakan. Namun semua itu sudah tidak berlaku lagi.

Penanggah rewang berganti dengan penanggah beruniform katering yang menyediakan hidangan-hidangan secara buffet. Dalam tradisi rewang, tetamu hanya perlu duduk sahaja dan semua hidangan akan disediakan terus dengan sopan di atas meja. Akan ada barisan penanggah yang ke depan ke belakang bergiliran menghantar hidangan serta mengutip dan membasuh pinggan kotor.

Tuan rumah tempat kami berziarah ini merupakan guru vateran dan orang yang sangat aktif dengan aktiviti kemasyarakatan. Cikgu Hajjah Hashimah & Cikgu Haji Nasir merupakan insan prihatin yang meletakkan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri. Hidup mereka sederhana dan majlis perkahwinan anak mereka itu juga berlaku secara sangat sederhana. Tiada busana-busana dan pelamin ribuan RM untuk menghiasi pengantin, tiada solekan tebal ala-ala Oprah Winfrey ataupun Opera Cina dengan khemah-khemah sederhana tanpa renda-renda puluhan ribu RM.

Disebabkan aktiviti kemasyarakatan yang menjadikan mereka ini sibuk, maka mereka kurang terlibat dengan aktiviti kenduri kendara di kampung itu. Walaupun begitu, aktiviti kemasyarakatan di dalam kampung itu tetap sangat memberi kesan kepada masyrakat sekeliling. Disebabkan itu juga, mereka agak gusar dan risau sekiranya kenduri mereka itu tiada yang nak datang rewang. Alternatifnya ialah katering.

Bukannya sesuatu kesalahan menggunakan katering, cuma dari kajian sosiologi yang pernah kami lakukan ke atas komuniti Jawa yang pernah kami tuliskan selepas hari raya tahun lepas, kami dapati budaya rewang menjadi salah satu unsur penyatuan yang sangat penting.
http://prihatin.net.my/web2/2013/08/19/budaya-islamik-jawa-beraya/

Sekalipun anak-anak tidak merasa kemeriahan rewang, tetapi kami berikan tugasan kepada anak-anak yang akhirnya mereka dapat wujudkan juga suasana rewang antara mereka. Kami harap mereka faham maksud kami agar dapat menghidupkan budaya yang baik ini dalam generasi dan kelompok mereka.

MEMULIAKAN TETAMU

Setelah tidak dapat rewang menyediakan / memasak makanan, maka kami CUBA WUJUDKAN KEMERIAHAN REWANG dengan cara sendiri. Sebagai kelompok warga yang sudah biasa menguruskan majlis, kami bahagikan tugasan untuk membantu sajian dan membersihkan pinggan mangkuk, mengawal lalulintas, menjaga parkir, memasang dan mengendalikan sistem siaraya, deejay, persembahan kompang, selawat dan nasyid, dan yang paling mendapat remark baik dari orang kampung ialah pasukan penyambut tetamu berpayung hijau yang ‘unik’.

Dengan cara itu, kami dapat merasakan kemeriahan rewang dapat dizahirkan semula. Setiap tetamu yang hadir kami cuba untuk payungi mereka dalam keadaan panas mahupun redup, khususnya yang membawa bayi.

Budaya menyambut tetamu dengan payung yang telah kami amalkan sejak hari pertama itu sebagai satu simbolik kasih sayang dan penghormatan kepada tetamu dengan penghormatan VVIP keseluruhannya tanpa mengira darjat dan pangkat. Itu sudah menjadi tradisi sekiranya RPWP datang bertandang atau terlibat dalam pengurusan majlis perkahwinan. Biar panas, biar hujan bahkan ribut sekalipun kami akan tetap jalankan tugas, demi memuliakan tetamu.

Majlis perkahwinan Warga Prihatin yang berlangsung 2011 sebelum ini turut memberikan gambaran serupa dengan Majlis Walimatulurus yang ini. Pengantin tidak bersolek tebal-tebal untuk duduk di pelamin, bahkan ikut berdiri dengan payung yang kami sediakan di jalan masuk ke rumah, bersama-sama ibu bapa mereka menyambut tetamu di terik mentari.

Alhamdulillah, walaupun tiada pancaragam, tiada karaoke, tiada kuda kepang dan penyanyi seksi, ramainya kehadiran tetamu tidak pernah dapat kami bayangkan. Tetamu bertali arus sampai jam 12 malam sebelumnya, bersambung jam 8 pagi di hari majlis sampai ke petang. Subhanallah.. akan kami kongsikan di bahagian seterusnya nanti.l

SIKAP TETAMU & PEMANDU – SATU PEMERHATIAN

Tugasan yang paling mencabar ialah pengawalan trafik di bawah terik mentari. Di sini kami lihat, bagaimana sebahagian tetamu dan pemandu yang sukar diatur. Sebahagian mereka tidak boleh bertolak ansur, sombong dan bongkak dalam menerima aturan lalulintas yang kami susunkan. Mereka mahukan keselesaan, tetapi mereka tidak mahu “bayar” harga keselesaan itu dengan menurut pengaturan kami.

Tidaklah kami sengaja menjaga lalulintas di sepanjang sekitar 1 km itu untuk menyusahkan orang, tetapi sekiranya ada 2 hala berselisih tanpa ada yang mahu mengalah, sampai bilapun tidak akan ada penyesaian. Ini kerana jalan kampung itu kecil sahaja, cukup-cukup untuk dua kenderaan kecil berselisih. Kiri kanan dibatasi dengan parit dan kebun sawit. Jika ada kenderaan diletak di bahu jalan, maka ia akan jadi satu hala.

Tidak kurang juga ada yang memandu kereta mewah berjenama Mercedes yang bila kita sapa dengan senyuman terus tidak diendahkan. Ironinya, ada yang tidak langsung sudi menurunkan tingkap untuk menyambut salam dan teguran yang diberi, padahal tujuannya untuk kami tunjukkan yang nombor pendaftaran kereta beliau telah hampir terjatuh.

Begitulah akhlak ‘orang kita’ sekarang. Dari bahasa badan kelihatan ada juga yang melihat tukang payung dan jaga parkir ini sebagai makhluk bertaraf bawahan. Mungkin sudah terbiasa mengherdik ‘mat gian’ yang sering menjadi ‘pengatur parkir’ mereka di bandar untuk meminta seringgit dua. Ataupun ada kejutan budaya dari miskin dahulunya lalu kini dah jadi kaya, lalu jadi bongkak melupakan adat budaya dan tatasusila.

Kasihan mereka kerana tidak mengetahui yang memayungi dan menjaga kenderaan mereka itu ada yang doktor, jurutera, guru senior, pensyarah Universiti bahkan ustaz dan individu bergelar Datuk juga. Anak-anak asnaf yang nampak macam gelandangan dan memayungi serta menyajikan makanan mereka itu juga ada yang penerima anugerah tetap sebagai pelajar terbaik akademik dan sahsiah di sekolah.

Kerana itu, kami juga sebenarnya seperti mereka, iaitu manusia yang wajar dihormati, bukan kerana pangkat dan darjat, tetapi kerana kita semua hanyalah HAMBA YANG ESA. Apapun tidak semuanya melayani kami begitu rupa. Ramai juga yang ramah dan sangat berbudi bahasa. Yang baik kita kekalkan, yang buruk kita tegur dan ambil pelajaran.

Pengalaman mengendalikan trafik dan keamanan ini memberikan kesedaran kepada kita betapa sukar dan serbasalahnya tugas anggota keselamatan, khasnya PDRM dan RELA. Di tengah terik mentari anggota polis mengorbankan diri mengawal lalu lintas yang ada ketikanya tidak boleh dikawal dengan besi dan cahaya. Tidak mustahillah terjadinya isu besar isteri pemain bola sepak muda yang biadap dengan pak guard yang jauh lebih tua.

Itulah sebahagian dari ‘PEMBELAJARAN ALAM’ yang besar, melalui PENGALAMAN yang dapat di ‘ALAMI’ sendiri oleh mereka yang ikut MENGALAMINYA.

Sekian dahulu perkongsian kami. Salam ukhwah
WARGA PRIHATIN

BERSAMBUNG KE BAHAGIAN 2..