PARENTING TIDBIT : APA YANG KITA SUAP, ITULAH YANG MEMBENTUK JIWA .

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 168:
“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”
.
Pernahkah kita terfikir, mengapa Allah menggandingkan perkataan Halal dengan Tayyib (baik/berkhasiat)?
.
Kerana makanan bukan sekadar untuk kenyangkan perut yang lapar, tetapi ia adalah bahan binaan kepada sel otak, darah yang mengalir dan akhlak yang terbentuk dalam diri anak-anak kita.
.
Daripada kefahaman inilah lahirnya konsep ‘Happy Tummy, Happy Me’!
.
Tengoklah senyuman riang anak-anak dalam gambar ini. Tengok bagaimana gembiranya wajah mereka apabila dihidangkan dengan pinggan yang lengkap berzat; ada nasi, lauk berprotein, sayuran hijau dan potongan buah oren yang segar. Perut yang bahagia memancarkan ketenangan pada wajah dan kecerdasan pada minda.
.
Di mana bermulanya keajaiban ini? Ianya bermula di dapur rumah kita.
.
Di sebalik sepinggan hidangan yang berkhasiat ini, ada titisan peluh dan doa seorang ibu (atau ahli keluarga) yang memasak dengan penuh kasih sayang. Ibu yang tidak hanya fikir ‘asal kenyang’, tetapi fikir ‘apa yang terbaik untuk otak dan badan anak ini’.
.
Malah, tugas ini bukan terletak di bahu ibu seorang saja. Indahnya sebuah keluarga apabila ada yang membantu menyediakan bahan dan anak-anak diajar bersama-sama mengemas meja makan. Suasana inilah yang menjemput keberkatan sebelum makanan itu sampai ke mulut. Ada masa bergilir atau paling tidak, saling membantu dan menghargai.
.
Sains moden hari ini mengesahkan apa yang Islam tegaskan ribuan tahun dahulu; bahawa usus adalah ‘otak kedua’ manusia. Jika perut diisi dengan makanan berkhasiat dan bersih, otak anak menjadi tajam, emosi mereka stabil, dan tumpuan belajar mereka makin fokus.
.
Sebab itu Allah SWT ingatkan lagi dalam Surah ‘Abasa, ayat 24:
“Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.”
.
Ayah Ibu yang dikasihi,
.
Amat difahami yang ayah ibu juga sibuk menguruskan pelbagai urusan terutamanya dalam urusan mencari rezeki untuk dibawa pulang ke rumah. Komitmen yang bukan sedikit dan bukan juga sesuatu yang perlu dipandang remeh. Namun, penyediaan makanan dan penjagaan kebajikan anak-anak kita yang baik juga adalah amanah yang perlu kita berikan perhatian.
.
Mari kita semak semula apa yang ada di atas meja makan kita hari ini. Adakah ia sekadar pemuas selera atau pelaburan untuk membentuk generasi yang sihat tubuh badan dan cerdas mindanya?
.
Bila perut diisi dengan rezeki yang halal dan tayyib, insya-Allah, anak-anak mudah dididik, rajin beribadah dan sejuk mata memandang dengan akhlak baik anak-anak kita ini. Inilah antara ‘pelaburan’ yang akan kita sendiri akan tuai hasilnya satu hari nanti.
.
Semoga diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menyediakan makanan berkhasiat dan berkat, untuk generasi akan datang yang lebih berkualiti.
.
Mardhotillah
WARGA PRIHATIN