RARETV TERIMA ANUGERAH LAGI
Posted in UCAPAN PERISTIWA UMUM
Mutakhir ini, RareTV semakin kerap menerima pelbagai pengiktirafan atas kualiti penerbitan digital serta kandungannya yang mendapat tempat di hati pelbagai lapisan masyarakat.
.
Antara pengiktirafan rasmi yang pernah diterima termasuklah “Award – Travelog Terbaik” daripada Tourism Selangor dan “Best Travel Content Platform Award 2026” daripada ASEAN Food & Travel Magazine.
.
Lebih membanggakan, RareTV turut diberikan kepercayaan oleh pelbagai badan kerajaan dan swasta, baik di dalam mahupun luar negara. Antaranya untuk menghasilkan kandungan Podcast Kekeluargaan anjuran IKRAM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan pelbagai kandungan kembara oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), pihak Badan Pelancongan Kerajaan Australia Barat, Turkiye, Arab Saudi, Korea dan Oman, serta pelbagai syarikat penerbangan, hotel, restoran dan sebagainya.
.
Kandungan RareTV telah sekian lama disiarkan pada waktu perdana (prime time) menerusi saluran televisyen di Singapura dan TV AlHijrah, dengan sambutan penonton yang amat menggalakkan.
.
Pihak TV AlHijrah baru-baru ini memaklumkan bahawa RareTV telah melonjak ke tangga keenam dalam kelompok sepuluh kandungan paling banyak ditonton (top ten), hanya beberapa bulan selepas kandungannya mula disiarkan.
.
Pada 17 Oktober lalu, RareTV, di bawah Colours of Asia Sdn. Bhd., sekali lagi menerima pengiktirafan apabila dipilih oleh Malaysian Entrepreneur & Ecosystem Data Center (MEEDC Malaysia) untuk menerima anugerah Premier Award – MEEDC International Business Award 2026 (MIBA 2026) dalam kategori “Outstanding Digital Media & Content Platform” (Platform Media Digital dan Kandungan Cemerlang).
.
Majlis penuh gemilang itu berlangsung di dewan utama (ballroom) Hotel InterContinental Kuala Lumpur. Turut hadir ialah penaung MEEDC, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Seri Hajjah Puteri Zanariah, serta beberapa tokoh kehormat yang lain.
.
Antara yang Turut hadir untuk menambah seri majlis berprestij itu ialah Penasihat Kehormat Tertinggi (Supreme Honorary Advisor) MEEDC Malaysia, Yang Mulia Dato’ Paduka Tengku Shamsulbhari.
.
Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden MEEDC Malaysia, Yang Mulia Tengku Adena, menjelaskan bahawa antara tujuan utama penganjuran anugerah ini adalah untuk:
“Mengiktiraf individu, perniagaan dan pemimpin yang mewujudkan peluang, memacu inovasi serta menyumbang ke arah masa depan ekonomi yang lebih kukuh. Anugerah ini juga bertujuan mempererat hubungan antara usahawan, organisasi perniagaan, institusi dan rakan kerjasama antarabangsa.”
.
RareTV menerima anugerah ini dengan penuh kesyukuran kerana tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pihak kami. Perkara ini amat dihargai, lebih-lebih lagi memandangkan terdapat penganjuran anugerah seumpamanya yang mengenakan bayaran tinggi kepada penerima.
.
Bukan itu sahaja, pihak MIBA turut menjemput sepuluh orang tetamu khas daripada RareTV dan menyediakan sebuah meja khas untuk delegasi kami dalam majlis makan malam gala yang berlangsung dalam suasana mewah dan penuh prestij itu.
.
Satu lagi perkara menarik ialah usaha penganjur mengetengahkan nilai-nilai Islam dalam majlis bertaraf antarabangsa yang melibatkan kerjasama puluhan agensi kerajaan, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), baik dari dalam mahupun luar negara. Difahamkan, semua peserta dan penaja dari China yang hadir juga beragama Islam.
.
Sekalung tahniah buat pihak MIBA 2026 dan seluruh pasukan RareTV!
.
Segala puji bagi Allah SWT yang telah mengurniakan hidayah dan petunjuk kepada kami untuk membangunkan RareTV sebagai sebuah platform media digital yang terus berkembang dan mendapat pengiktirafan umum.
.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kami terus berkarya, menyampaikan kandungan yang bermanfaat dan menyumbang kepada masyarakat melalui media yang berteraskan nilai-nilai murni.
.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah.
RareTV @ Rarecation