Puisi Pilu Buat Allahyarham Khairi – Al-fatihah

Puisi untuk sahabat. Tak dapat nak bendung rasa melihat seorang yang mewakafkan diri dan seluruh hartanya ke Rumah Pengasih Warga Prihatin semenjak rumah itu ditubuhkan dari tahun 2005 lagi. Meninggalkan kerjaya selesa dan terus mewakaf diri sebagai fakir yang berusaha keras. Bukan fakir yang berlingkar malas. Berkhidmat tanpa gaji, malah harta yang ada terus dilabur kepada pembangunan generasi di Rumah Prihatin.

Aku sendiri menggeleng kepala sambil airmata menitis, rupanya…ada lagi insan seperti ini.

Khairi bin Anuar sudah tiada apa lagi nak ditinggalkan kecuali jasanya. Beliau mengalami masalah hernia yang sangat serius sehingga menyebabkan paru-paru menjadi lemah dan jantung menjadi terlalu lemah disebabkan sedikit kebocoran pada injap. 4 tahun berulang alik ke Hospital Serdang, PPUM dan Hospital Selayang tetapi masih belum nampak ada ikhtihar yang mungkin.

Saya dapat rasakan, kini hanya doa mampu memberikan satu magik. Mungkin ada doktor-doktor yang tidak meletakkan beliau pada senarai keutamaan. Tetapi jika anda letakkan seorang Perdan Menteri dengan insan ini, pasti saya pilih untuk selamatkan insan yang sanggup berhabis-habisan untuk orang lain dengan segala apa yang ada pada dirinya termasuk dirinya sendiri.

Nilai baik seorang manusia tidaklah dikira dengan kekayaan bergaji sejuta menyumbang seribu ringgit, tetapi insan ini berpendapatan seribu ringgit menyumbang keseluruhannya.

Ya Allah, sampaikanlah doaku ini sehingga dibaca oleh pakar cardio, pakar bedah, pakar bius, pakar-pakar yang membaca agar mampu dicuba sedaya yang ada.

Khairi bukannya darah daging saya, tetapi dia sahabat saya dan saya tak rasa ada ramai orang begini atas dunia. Jika pergi seorang ini, mungkinkah mukhlis seperti ini akan sukar dijumpai lagi.

Dalam dingin petang dan masih diperkarangan hospital ini, lalu aku karangkan satu nukilan rasa untuk sahabat yang setulus ini. Puisi ini, aku karang untuk Khairi, sahabatku…sahabat Prihatin.

PUISI & DOA UNTUK SAHABAT

Kini kau terlantar tiada upaya
Setelah hayat kau beri pada yang tiada…
Yang tiada ibu dan juga bapa
Yang tidak mampu dan kurang upaya

Kau taburi jasa tak kenal siapa
Sedari pertama kita berjumpa
Dalam sakit juga sihat selesa
Kau jaga anak Prihatin tanpa dibayar apa

Hanya redha Allah yang kamu damba
Kamu tinggalkan kerja yang selesa
Di rumah pengasih warga prihatin kau tabur jasa
Di rumah itu kau labur usia

Kiranya kali ini pertemuan kita yang akhir
Kami doa redha Allah beserta takbir
Seorang insan sehebat kau yang fakir
Kefakiran dipilih kerana kau benci kikir

Fakirmu kepada Allah kau mengabdi
Pengambdian yang kekal abadi
Hingga hari ini kamu ditangisi
Kami redha jika kau pergi
Sebagai mujahid menolak duniawi
Kelak menunggumu Si Bidadari

Bertahanlah dengan semangatmu yang jitu
Jika kau terlepas dari sengsara itu
Jadilah kau hebat tak pernah lesu
Walau badai datang berlalu
Kau tetap utuh berdiri di situ
Sebagai pembela anak bangsamu

Khairi Anuar kami redha denganmu
Jasamu tetap tidak kami lupa
Walau seribu tahun tak pernah kami leka
Menerus juangmu mendidik anak bangsa

Anak-anakmu di Rumah Prihatin

Nukilan pilu

Saiful Nang
Warga Prihatin
Hospital Serdang

Update: 5 Jun

Alfatihah untuk sahabat.
Khairi Anuar mungkin tidak dikenali tetapi beliau antara individu yang paling ikhlas kerana beliau mewakafkan segala harta dan dirinya untuk pembangunan Rumah Pengasih Warga Prihatin. Beliau tinggalkan kerjayanya dan mengabdi tak bergaji di Rumah kami ini walaupun ketika sakitnya.

Ternyata kesakitan itu sering kalah dilawan arwah, cuma kini arwah akur dengan ketetapan Ilahi yang telah menetapkan ajalnya. Cuma khidmat beliau tidak panjang, Khairi Anuar menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi di kampungnya di Felda Jelai.

Beliau ialah bapa kepada anak-anak Warga Prihatin dan pemergian beliau satu keberangkatan yang kami bakal rindui. Cerita keikhlasan beliau akan tetap terus jadi monumen lambang keikhlasan manusia era baru dan bakal jadi cerita keturunan sehingga 1000 tahun lagi.

Al-Fatihah untuk sahabatku. Semoga tenteram kamu di sana.

WARGA PRIHATIN


Pautan kisah di FB: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10151892195747786&set=a.201867952785.170933.176792972785&type=1&theater