Tahun KE-8 RPWP

8 TAHUN DAHULU kami hanya sekadar IDEA. Masih peringkat air liur tapi belum jadi barang. Ketika itu seorang doktor veterinar yang terkenal dengan perniagaannya, Dr. Hj Masjuki Hj Mohd Musuri melepaskan segala kekayaan yang beliau ada untuk idea penubuhan sebuah SAMPEL KOMUNITI yang meletakkan pembangunan sahsiah dan insaniah sebagai keutamaan.

Sebuah banglo, 2 buah unit rumah teres berkembar atas sebidang tanah suku ekar, 2 lot tapak banglo di pinggir Putrajaya, beberapa buah kereta, lori, van, segala stok barangan/peralatan dari 2 minimarket, sebuah restoran, juga beberapa buah motorsikal termasuk sebuah ‘superbike’ kesayangan beliau serta keseluruhan simpanan tunai di bank habis dilabur leburkan untuk pencetusan idea “gila” itu.

Lebih besar dari semua itu ialah beliau sendiri mewakafkan diri di RPWP sehingga ke hari ini sebagai sukarelawan sepenuh masa, menjadi buruh binaan dan Pengetua tanpa gaji.

Sebatang tulang peha (femur) beliau kini berganti besi akibat hancur semasa jatuh dari sigai di tapak rumah semasa memasang bumbung foyer RPWP. Beliau menerima sahaja keadaan sebagai OKU kekal tanpa sama sekali memikirkan untuk berundur.

Isteri beliau, Cikgu Shakirah juga turut mewakafkan diri sebagai penjaga dan pendidik sepenuh masa, mengorbankan privasi hidup dalam rumah sendiri. Beliau meredhai rumah dan keseluruhan kawasan itu menjadi RUMAH PENGASIH WARGA PRIHATIN yang berstatus umum. Tiada lagi privasi yang sering didamba oleh seorang isteri.

Mereka semua duduk bersama di rumah yang sama, naik kenderaan yang sama, makan makanan yang sama dengan anak-anak asnaf dan yatim. Tatkala berlaku kekurangan makanan dan pakaian, anak-anak malah didahulukan.

Pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin ini tidak berkempen untuk menarik 19 orang lain menyertainya. Beliau hanya memberi uswah yang tak akan mampu menarik sesiapa jika sekadar digambarkan dengan kata-kata. “No talk can convince, but the DO will”.

Maka kesemua co-founder yang lain juga lambat laun turut mewakafkan apa yang mereka ada secara berdikit-dikit hinggalah keseluruhannya.

PERINGKAT AWAL RPWP 2005

Orang ingat kami gila kerana sebuah banglo dan 2 teres berkembar setingkat kami satukan dan naikkan strukturnya menjadi 3-4 tingkat. Siang malam kami bergotong royong demi menyediakan keselesaan anak-anak asnaf & yatim kami.

Ada juga orang tuduh kami membuat ajaran sesat kerana kurang percayanya mereka dengan komitmen yang luarbiasa kesemua pengasas-pengasas bersama RPWP yang bekerja tanpa gaji malah melaburkan gaji yang ada utk RPWP. Hanya bermodalkan Darah, keringat dan airmata (yang kadangkala bergenang dek fitnah yang dilontarkan sebegitu).

Tiada kontraktor yang sanggup melakukan kerja binaan yang menggunakan sepenuhnya bahan terbuang, menyambung besi-besi lusuh dari sependek 4-6 inci, kayu-kayu dari buangan bangku sekolah, juga kayu palet kilang kaca yang disumbangkan oleh seorang Taukeh Cina, plywood bekas konkrit, bata serta pavement terbuang dan sebagainya.

Kerja harus dilakukan dengan hati-hati kerana bangunan terus digunakan menempatkan anak-anak walaupun bumbungnya dibuka, Lebih dari itu tiada kontraktor yang sanggup kerja tanpa bayaran.

Masih teringat lagi sindiran seorang ustaz sebuah Sekolah Agama. Beliau mengatakan kami gila apabila dikhabarkan bangku yang mereka buang mahu kami gunakan untuk membina RUMAH.

Tetapi ALLAH MAHA MENGETAHUI….

Alhamdulillah, semuanya telah berlalu. Harta yang diwakafkan oleh para pengasas tidak berkurang. Kini kami sudah berjaya membeli suku ekar lagi lot tanah bersebelahan tapak yang ada sekarang.

Dahulu tidak pernah orang peduli, tapi kini RPWP telah berjaya mendapat peduli dari pelbagai pihak sehingga dari ChannelNews Asia dari Singapura yang melayakkan WARGA PRIHATIN dalam program ASEAN OF THE YEAR dan beberapa orang jurnalis dalam negara dan luar negara sehingga sejauh Stockholm yang hadir untuk mendokumenkan kerja “gila” kami 20 orang ini.

Bukan sekadar kami 20 orang sahaja, tetapi dicampur dengan isteri, juga anak-anak kami yang digaulkan menjadi 1.

Perhatian juga telah diberikan sehingga ke peringkat pemimpin wakil rakyat dari ADUN Bangi dan EXCO Kebajikan dari parti PAS dan juga perhatian diberi sehingga ke peringkat Perdana Menteri Malaysia tanpa kita berpartisan. Jiwa-jiwa PRIHATIN 1Malaysia dari pelbagai bangsa, agama, peringkat umur dan status sosial sudah ramai yang peduli dan turut menghayati kerja buat ini sejak 2007 lagi.
Alhamdulillah.

Darah kita bukankah sama merah walaupun fahaman politik kita ada berbeza? walaupun kaum kita berbeza? walaupun agama kita berbeza? Mengapa harus di diskriminasikan?

KONSEP GAULAN TANAH, TEMBIKAR & PENYATUAN

Dahulu, sebelum visi 1Malaysia diwar-warkan, kami percaya integriti kaum dan perpaduan masyarakat tidak berlaku dengan hanya meletakkan mereka di satu bekas yang sama, ibarat 3 jenis tanah liat kering yang kotor dan MUDAH HANCUR BERDEBU apabila diinjak-injak manusia. Akan masih nampak kelainan warna DAN RUPA antara satu dengan yang lain.

Untuk menyatu, kami renjis dengan air dahulu untuk melembutkannya. kami GAUL & GUMPALKAN (Surah Al-Alaq) menjadi SATU WARNA & SATU JENIS.

Kemudian kami BENTUK ia menjadi bentuk-bentuk yang kami mahukan. Selepas terbentuk dalam penyatuan itu, PEMBAKARAN AKAN MEMBUAT KAMI LEBIH KUAT DAN LEBIH KERAS sekeras tembikar sehingga boleh dijadikan penebat haba di badan kapal angkasa NASA yang berulang-alik. Lebih diBAKAR (diuji),  ia jadi LEBIH MENYATU…LEBIH KUAT LAGI.

Itulah fahaman kami dalam konsep 1Malaysia, jauh sebelum motto 1Malaysia dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri semasa beliau mengambil alih Putrajaya. Jika ada masa nanti, kami akan ceritakan lebih terperinci tentang PENYATUAN KONSEP TEMBIKAR ini kepada semua. Mana tahu, YAB PM sudi untuk juga terinspirasi dengan kaedah alam ini, kita juga yang untung jadi rakyat Malaysia yang KUAT.

8 Tahun bukan waktu yang singkat. Gaulan yang berputar itu mampu mengeluar asingkan batu batu (kepala batu) dari golongan tanah liat yang boleh dicanai.

Bukan jumlah yang kami cari, tetapi dengan tulang 4 kerat keseluruhan co-founder & founder yang SOLID dan tidak berbelah bahagi yang menjadikan RPWP bertahan sehingga ke hari ini,  WALAUPUN tanpa menyebarkan tabung derma, membuat surat rayuan sumbangan atau apa-apa jenis permintaan kepada awam ataupun kenamaan tertentu.

Kami angkat dan galang sendiri dengan tulang 4 kerat, dengan berikat perut, dengan menahan tidur, dengan darah yang mengalir, dengan keringat yang tumpah. Tetapi kami puas, kerana matlamat kami tercapai…

GUMPALAN itulah yang telah menghasilkan “Tembikar” yang solid yang semakin kuat bila dibakar.

Begitu juga gumpalan isteri-isteri kami dan anak-anak kami yang menjadi penyokong kepayahan dan perjuangan kami membela mereka, BERSAMA anak-anak asnaf & yatim sekaliannya.

Gumpalan ini juga….telah menjadikan keseluruhan orang di bawah  naungan RPWP…

BERSATU DENGAN TEGUH. ATAS DASAR PERSAHABATAN & PERSAUDARAAN. BUKAN KERANA LABA DINAR DAN HARTA, PANGKAT ATAU NAMA.

Alhamdulillah… BERKAT ISTIQOMAH, Allah telah berikan kami nikmat terbesar yang pernah kami dambakan selama ini. Nikmat yang telah dirasai Rasulullah SAW dan para sahabat sehingga sanggup berkorban harta dan diri bahkan meninggalkan kampung halaman demi NIKMAT itu.

iaitu…

PERPADUAN. PERSAUDARAAN, KASIH SAYANG… ALHAMDULILLAHIROBBILAALAMIN.

Artikel oleh
WARGA PRIHATIN