Transformasi Pendidikan Islam Zaman ini – part 1

ceramah shah alam

TRANSFORMASI PENDIDIKAN ISLAM ZAMAN INI – Part 1
(Perkongsian Ceramah Warga Prihatin Di Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor)

Alhamdulillah, pada minggu lepas kami sekali lagi diundang untuk berkongsikan metodologi pendidikan yang kami amalkan pada anak-anak kami agar ia boleh dipraktiskan oleh mereka di rumah. Y.Bhg Ustaz Shauki, Y.Bhg Dr. Haji Masjuki Mohd Musuri dan juga Y. Bhg Tuan Haji Saiful bin Nang telah diutuskan untuk mewakili Rumah Pengasih Warga Prihatin.

MEMULIAKAN TAMU DALAM ISLAM

Penganjur mengaturkan agar program bermula jam 9.30 pagi. Alhamdulillah, rombongan kami tiba di perkarangan Bangunan Darul Ehsan seawal jam 9.04 am dan disambut mesra oleh pegawai-pegawai yang bertugas. Terima kasih kerana menyediakan kami kotak parkir VIP di bawah kompleks yang memang amat sesak dengan banyaknya kenderaan itu.

Pernah juga kami ke majlis-majlis sebagai jemputan khas sebagai penceramah tetapi bukan nak kata parkir VIP, parkir biasa yang kami dapat hampir 300 meter. Terpaksalah berjalan kaki mengangkut peralatan dalam kepanasan. Tahniah dan terima kasih kepada Kelab Rekreasi dan Sukan JPBD Negeri Selangor yang sangat prihatin terhadap kami, Alhamdulillah.

Seterusnya Kami dibawa untuk sarapan pagi ringkas di sebuah bilik. Untuk ke bilik itu, kami melalui ruang legar yang dipenuhi peserta-peserta ceramah pagi itu yang juga turut sedang bersarapan. Kami tidak bertiga sahaja kerana bersama kami ialah anak-anak (Anak RPWP) kami, Raimie & Irfan yang kami bawa untuk iringi kami dan mengambil video serta menguruskan penataan sistem siaraya dan paparan persembahan multimedia yang berkaitan.

Sekali lagi kami bertiga bersama 2 orang anak yang bertugas diraikan dengan sarapan pagi. Alhamdulillah, konsep Islam dalam memuliakan tetamu sudah berlaku dengan baik di situ.

WANITA LEBIH RAKUS ILMU

Tepat jam 9.30 pagi, kami semua masuk ke ruang dewan ceramah. Ia berupa sebuah bilik sidang yang digunakan untuk ceramah. Di situ kami lihat satu lagi perkara besar. Seolah-olah sebuah kapal yang senget sebelah kerana bahagian wanita dan lelaki bernisbah 4:1 (pada awal program) dan kemudian beberapa lagi peserta lelaki masuk menjadikan nisbah merapat menghampiri nisbah 2:1 selepas itu.

Jelas seperti yang pernah kami coretkan dalam artikel-artikel kami sebelum ini. Golongan wanita sahaja yang kini kelihatan beria-ia mencari ilmu pengetahuan sebagai bekalan menguruskan rumahtangga. Fenomena ini menggambarkan samada kaum wanita yang biasanya terbiar dan tertekan mengurus anak-anak dek kerana Si Lelaki sibuk dengan hobi-hobi atau melobi perniagaan, pangkat atau politik.

Sempat kami mendengar keluhan beberapa orang peserta tentang ada yang hadir ke ceramah itu hanya untuk memenuhi KPI minima 7 jam latihan setahun. Mereka masuk di tengah program dan ada yang tidur tanpa ada usaha menahan diri dari tidur sedikitpun. Dan itu dianggap sebagai HALF DAY merit. Program itu kami teruskan dengan wanita sebagai dominan yang kelihatan berminat untuk mendengar.

Tambahan input lagi dari peserta selepas program berakhir, ada yang mengatakan bahawa kelab sukan dan rekreasi ini akan penuh dengan lelaki untuk program-program berbentuk hobi walaupun tiada pengisian ilmu. Nyata sekali apa yang pernah kami tuliskan, apabila golongan pemimpin tidak kisahkan ilmu dan melebihkan nafsu mereka untuk berhobi-hobian, maka Si Wanita pula terpaksa mencari ilmu sendiri demi anak-anak.

Air (Ilmu) mengalir dari tempat tinggi ke tempat rendah. Sewajarnya si Lelaki yang mencari ilmu untuk mengangkat martabat kepimpinan dalam keluarga dan organisasi. Pulang ke rumah nanti, isteri akan merendah diri dengan segala hormat untuk bertanya ilmu baru dari Sang Suami, maka mengalirlah ilmu itu kepada isteri dan langsung isteri juga alirkannya kepada si anak. Barulah berlakunya perintah Allah dalam surah an-Nisa ayat 34, di mana Lelaki itu pemimpin kaum wanita.

Jika ini boleh diamalkan, tidaklah jadinya nanti suami balik terus duduk sebelah menyebelah tetapi tidak berbicara selain menonton Drama bersiri Akasia pula. Habis drama, tonton berita dan kemudian layan handphone masing-masing sampai penat dan tidur. Esoknya, rutin yang sama berulang. Anak jadi keliru tak dapat input baik dari ibu bapa.

Banyaknya berlaku situasi beginilah yang menyebabkan anak yang dah yatim sebelum yatimnya. Terlalu banyak kes yang dirujuk kepada kami di mana hujung minggu pula, Si Bapa sibuk dengan kelab kereta dan motorsikal, aktiviti memancing ikan, golf dan macam-macam lagi. Kesibukan itu yang membuatkan Si Bapa ini tiada minat langsung dengan majlis ilmu. Jika adapun, kami perhatikan di mana-mana ceramah yang kami hadiri, tidak ramai yang benar-benar memberi tumpuan, kecuali di ceramah politik.

Dr. Masjuki yang pernah cemerlang dalam subjek psikologi manusia agak cekap memerhatikan bahasa badan peserta dengan cara mereka duduk, pegang pen, melihat dan mendengar. Secara bahasa badan, sebahagian besar peserta lelaki yang hadir adalah kerana KPI yang mahu dicukupkan. Mana tidaknya jika ada yang tidur tanpa terlihat sebarang usaha untuk melawan rasa mengantuk, itu tanda besar yang jiwanya tiada di situ.

SOALAN UMUM PERMASALAHAN ANAK-ANAK

Soalan yang diberikan kepada kami antaranya tentang fenomena anak-anak yang ada konflik kasih sayang antara orang gaji dan ibu bapa mereka sendiri. Ini satu lumrah kerana melihat kepada ketidakseriusan golongan bapa untuk mencari ilmu, maka isteri tidak menerima input ilmu juga dari suami, secara langsung anak juga tidak mendapat input ilmu dari si ibu. Maka, komunikasi dalam keluarga tidak lain hanya seperti pengembala dengan kambing-kambingnya sahaja.

Kami juga ingatkan peserta, yang kami hadir bukan sebagai ustaz berwajah halus, berkulit lembut bermulut manis dan memberi ceramah yang membelai rasa dan emosi sahaja. Kami hadir membawa pengalaman hidup selama kami bergelumang dalam pembangunan nilai ketamadunan dalam komuniti kecil kami di Rumah Pengasih Warga Prihatin semenjak tahun 2005 lagi. Kami akan sebutkan segala apa yang telah kami pegang dan kami usahakan berdasarkan asbab dan perlaksanaan.

Bercakap dari pengalaman tidak sama dengan bercakap melalui hafalan-hafalan kitab. Berpandukan wahyu dari Quran dan juga Sunnah, kami mengharungi manual pembangunan itu dalam bentuk PRAKTIS dan bukan sekadar retorik ceramah yang bersifat kitaran (recycled) yang tak sudah.

Jika anak bangsa sudah dalam kapal yang sedang karam, bahasa lembut tidak lagi berfungsi. Maka kami banyak menunjukkan fakta-fakta dari kajian-kajian kami selama ini. Ada juga kami tayangkan gambar dan video.

Ada yang tergamam seakan tidak percaya tetapi terpaksa percaya kerana ia satu realiti dari bukti hidup. Apabila laluan ilmu dan maklumat tidak berlaku seperti fitrahnya yang mengalir dari tempat tinggi (pemimpin keluarga) sehingga ke tempat rendah (anak-anak) melalui ibunya, maka fungsi rumahtangga akan hilang dan perasaan bosan akan mula melanda.

Apa lagi mahu dibincangkan selepas 10 tahun berumahtangga? Masih belum kenal hati budi? masih nak bertanya apakah warna kegemaran? Ataupun sudah membincangkan permasalahan demi permasalahan anak-anak yang mendesak Sang Suami mencari ilmu bagi menyelesaikan masalah itu. Hasilnya, anak yang terdidik, bukan anak yang diternak.

Jika didik, jadilah manusia
Jika ternak, jadilah anak persis haiwan yang diternak juga.

Persoalan yang dilontarkan oleh seorang peserta lelaki yang agak berumur menampakkan bagaimana kesibukan kerja seharian menghadkan perhubungan dengan anak-anak. Akhirnya akhlak anak menjadi buruk dan tidak terdidik. Solusinya, anak dihantar ke pusat tahfiz. Wajarlah, mengikut statistik kami, pusat tahfiz pada hari ini seperti cendawan percambahannya. Ada pusat yang mengenakan bayaran paling murah RM350 sebulan untuk anak yatim, RM500 untuk asnaf biasa dan setinggi RM1500 sebulan untuk anak golongan berada.

Kemudian dilapurkan dengan cara melepas tangan meletakkan anak kepada pihak ketiga dan mengharap kesemuanya akan OK sahaja asalkan yuran mereka dibayar adalah satu retorik yang agak tipikal. Al-Quran yang dihafaz tidak mampu membina akhlak kerana kebanyakkan pusat tahfiz tidak menjelaskan pelajaran di sebalik apa yang dihafal dan dibaca. Sebenarnya Al-Quran yang dipraktiskan itu yang mampu membangun akhlak, bukan hafalannya. Nabi SAW juga seorang pengamal, bukan sekadar penghafal. Bahkan kerja hafazan banyak Nabi berikan kepada banduan-banduan tahanan sahaja.

Banyak lagi yang mahu kami kupaskan dan kongsikan kepada umum. Tetapi akan jadi terlampau panjang jika semuanya kami huraikan dalam satu rencana.

Selain pelbagai institusi pendidikan, khasnya dari Universiti tempatan, kami juga banyak dijemput oleh jabatan kerajaan, sekolah dan syarikat swasta untuk memberikan perkongsian kami tentang Tips Pengurusan Tabiat Organisasi (OBM), parenting, munakahat, jatidiri bangsa, pendidikan Islam, motivasi, dan banyak lagi cabang sains sosiologi Islam.

Sebelum ini ianya hanya menjadi bahan ceramah tetapi bukan bahan perlaksanaan. Namun, bahasa kami sebagai pelaksana tidak selunak bahasa penyair-penyair yang suka bergurindam tanpa melaksana. Kami nampak agak kasar dengan meniupkan roh perlaksanaan kerana kami nampak Islam perlukan ketegasan, bukan sekadar ceramah-ceramah biasa yang memenuhkan nota dan quota sahaja.

Kami minta maaf kepada penganjur. Kami harap dapatlah penganjur redhakan perkongsian ini kerana artikel ini tiada niat mengaibkan sesiapa tetapi hanyalah untuk menjadi pelajaran kepada yang lain yang tidak dapat bersama pada hari itu. Redhakanlah asbab yang menjadi laluan ilmu kepada yang lain untuk sama-sama membuat koreksi ke arah Islah Islamiah yang kaffah.

InsyaAllah, rahmat Allah untuk anda semua

Dilaporkan oleh
WARGA PRIHATIN