PEMAKLUMAN : TRIP SEKOLAH ALAM KE-7 PANTAI TIMUR.

sek alam 7 pengumumanPEMAKLUMAN : TRIP SEKOLAH ALAM KE-7 PANTAI TIMUR.

Sebenarnya, trip sekolah alam berjarak jauh ini dahulu kami lakukan setahun dalam 2 atau 3 kali sahaja disebabkan kekangan bajet. Sebelum ini kami banyakkan trip yang dekat-dekat sahaja. Alhamdulillah, kini sudah ada bas sebuah, bajet dapat dikurangkan hampir separuh. Pe’nombor’an trip ini kami tanda dari selepas kami memiliki bas sendiri. Jika nak dikira dari dahulu kita lakukan, mungkin ini trip yang entah ke berapa puluh kalinya.

Alhamdulillah, anak-anak masih lagi memberikan input pemerhatian yang tidak putus-putus. Tidak sempat pula kami tuliskan semuanya serentak untuk kami kongsikan kepada umum. Yang Tanjung Karang pun belum habis, Trip ke-3 di Baling juga masih banyak belum dikongsi semua.

Minggu lepas sahaja ada 2 trip jarak dekat secara ad-hoc yang anak-anak menggunakan sebagai input alam. Trip Sekolah Alam ke 5 mereka beraktiviti malam minggu memberi makan dan berkomunikasi dengan gelandangan di Kuala Lumpur. Hari berikutnya ada trip ke 6, hanya berhampiran sahaja dengan RPWP iaitu di Sungai Long. Lokasinya ialah tapak cadangan untuk komplek sekolah alam kami, sebuah hutan pinggir bandar dengan air sungai yang belum dicemari oleh sisa manusia.

TRIP KE 7: KL – KB – KT – KEMAMAN – KL

Itulah perancangan laluan kami. Pada 27 Mac kami telahpun mengajukan mohon perkenan Kebawah Duli Tuanku Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan Darul Naim untuk kami mengadap baginda. Baginda Sultan merupakan idola anak-anak sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang berikhtihar memartabatkan Islam. Kami juga harap, permohonan mengadap ini akan diperkenankan Kebawah Duli Tuanku. InsyaAllah. Jika ada pembaca yang rapat dengan baginda mungkin boleh turut membantu meyakinkan baginda.

Selain dari itu, trip ini akan menelusuri jejak kehidupan beberapa tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang khabarnya sedang sakit pada ketika ini. Maklumlah, homestay tempat kami menginap di Kota Bharu nanti hanya 50 meter dari Rumah Tok Guru. Mungkin kalau dapat bertemu pemimpin-pemimpin budiman mana yang sudi, kami lebih dari berbesar hati. Pemimpin adalah pemimpin. Kami tidak mengira parti politik. Seperti sebelum ini YB Dr. Shafie ADUN Bangi dari parti PAS yang sangat prihatin kepada kami dan kami sangat hormati. Begitu juga kami hormati YB Haji Sulaiman Abd Razak ADUN Permatang yang menolak segala protokol untuk bertemu kami, beliau akrab seperti saudara bahkan turut menghulur bantuan yang beliau mahu kami rahsiakan.

Jika dapat berjumpa MB Kelantan atau MB Terengganu, juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, kami juga sangat berbesar hati. Sekurang-kurangnya, anak-anak Warga Prihatin ada pelbagai input untuk diperhatikan dan dipelajari.

MISI LAWATAN

Misi untuk anak-anak kali ini ialah meneliti sejarah tokoh dan apakah disiplin di sebalik ketokohan tokoh-tokoh ini. Bagaimanakah zaman kanak-kanaknya, bagaimana ibu bapanya, bagaimana pembelajarannya dan sebagainya.

Di samping itu juga, anak-anak akan dibawa untuk melihat kerajinan-kerajinan tempatan seperti batik, songket, gasing, wau, keris dan sebagainya. Ini semua akan memberikan anak-anak bahan untuk mereka sintesiskan menjadi pelajaran yang baik dalam hidup mereka.

Pengalaman menunjukkan bahawa satu trip 3 hari dalam program sekolah alam adalah lebih baik dari 3 bulan belajar di dalam kelas. Ia banyak mencetus kaedah penjanaan benih pembelajaran “dari dalam ke luar (inner out)” serta “dari bawah ke atas (bottom up)” berbanding kaedah penghafalan dalam kelas. Ini adalah antara rahsia mengapa para nabi dan cendiakawan Islam zaman dahulu matang pada usia jauh lebih muda. 1 tahun sistem pembelajaran ALAM boleh menandingi 5-6 tahun pembelajaran KALAM. Itulah yang menjadi panduan kepada kami.

PINTU WAKAF & SEDEKAH

Seperti biasa, tidak mahu kami mengecewakan sekalian pembaca budiman seperti sebelum ini. Ramai yang ingin turutserta dalam projek ini walaupun tanpa jasadnya berkelana bersama, maka kami bukakan pintu wakaf SEKOLAH ALAM 7 ini secara rasminya. Sekurang-kurangnya, ada ruang yang kami sediakan untuk anda bersama-sama kami melalui ganjaran sedekah walaupun jasad belum dapat bersama.

BAGI MEMENUHI PERMINTAAN BEBERAPA PEMBACA YANG ASYIK BERTANYAKAN PELUANG UNTUK IKUT SERTA, MAKA KALI INI KAMI BUKAKAN PELUANG ITU KEPADA BEBERAPA ORANG (FIRST COME FIRST SERVED BASIS). JIKA KAMI TIDAK DAPAT MEMBELI BAS KE DUA, MUNGKIN KAMI AKAN CUBA MENYEWANYA. SILALAH HUBUNGI WAKIL KAMI. Apapun, segala pelajaran hasil dari pemerhatian alam itu nanti akan kami kembalikan kepada keluarga wakif atau penyumbang yang berhak menerimanya dengan penuh barakah, InsyaAllah.

Berikut ini adalah sedikit idea untuk anda mencongak apa bentuk pendanaan yang diperlukan untuk trip kali ini.

– Belanja perjalanan untuk 2 buah bas (1 bas sendiri + 1 bas sewa) dan 3 buah kenderaan marshall, berupa Van dan 4×4 dianggar berjumlah sekitar RM8000.

– Kos makan minum ala kadar sepanjang perjalanan pergi, balik dan di lokasi selama 4H3M untuk sekitar 100 peserta dianggarkan RM5000.

– Seperti biasa, penginapan 3 malam kami hanya dengan penginapan bajet sahaja. Kami akan sewa 2 buah homestay, satu untuk rijal dan satu untuk nisa’. Jika tidak cukup, sukarelawan pengiring bertugas biasa tidur atas bas atau di masjid sahaja. Anggaran sewaan homestay selama 4H3M di lokasi KB dan Kemaman ini dianggar berjumlah sekitar RM3000 keseluruhannya.

Wakaf boleh dalam pelbagai bentuk, samada berbentuk dana, makanan, penginapan, bahanapi kenderaan dan sebagainya.

Namun begitu, prinsip RPWP sejak dahulu memang tidak meminta-minta dengan paksa. Kami tidak meletakkan tabung anak yatim di sana sini. Menyuruh anak kami jual tisu atau bawa tempurung dan resit dengan meminta sedekah di merata tempat jauh sekali. Jika ada yang memberi gula-gula atau duit dengan cara melontarkan ke tanah sepertimana biasa kita lihat di majlis-majlis terbuka juga kami larang anak kami ikut mengutipnya.

Kami membuka pintu sedekah ini untuk memenuhi permintaan beberapa pembaca yang ingin ‘menitipkan’ amalan mereka melalui usaha kami. Allah melarang kita ‘menghalang manusia dari jalan Allah’. Ia juga menamampakkan bahawa sedekah di sisi Islam adalah satu ibadah yang amat besar basmallahnya. Ia perintah dari Allah bagi penerima (amil) dan pemberi, bukanlah ia sesuatu yang menghinakan.

Begitu juga dengan Program Kembara Sekolah Alam ini, ia tidak bergantung kepada dana wakaf semata-mata. Seperti sebelumnya, di mana kami pernah buka wakaf tanah, wakaf kren, wakaf bas, wakaf kembara alam, misi bantuan kemanusiaan dan lain-lain. Kami tetap meneruskan pembelian dan program yang dirancang samada ada yang mewakaf atau tidak.

Kami bukakan pintu wakaf dan sedekah ini sekadar untuk memberi peluang kepada insan-insan prihatin yang tidak berkesempatan untuk berjihad bersama kami dalam jihad pendidikan membentuk generasi ini. Ia juga untuk memberi peluang lebih luas kepada yang masih tercari-cari di mana dan apakah amal anak Adam yang boleh terus menerus dijadikan bekalan amalan selepas matinya, yang jelas halatuju serta bersifat kekal dan lebih pasti hasilnya.

Islam itu berdasarkan misi NAHNIAH dengan berjemaah, bukan bersifat individualistik atau ANANIAH. Dengan membuka pintu wakaf ini juga kami harap lebih ramai yang akan merasakan RPWP ini adalah milik kita bersama. Anak-anak RPWP juga kami wakafkan kepada umum tanpa prejudis. Demi kepentingan generasi, kami minta mereka untuk InsyaAllah hidup bersama anak-anak lain, khususnya wakif dan munfiq yang dikenalpasti. Kami minta mereka berkongsi bekalan pendidikan yang terkumpul melalui semua yang kami usahakan selama ini.

Alhamdulillah, setakat ini, sekadar kerja-kerja mengurus jenazah, tahlil dan doa, atau untuk menceriakan pelbagai majlis dengan kompang, nasyid, gotong royong membantu golongan yang memerlukan dan lain-lain itu memang sudah menjadi lumrah bagi anak-anak RPWP sejak hari pertama lagi.

WAKAF BAS SEKOLAH ALAM KE 2

Selain dari wakaf Kembara Sekolah Alam ini, WAKAF BAS SEKOLAH ALAM juga masih di buka untuk kita dapatkan bas yang ke 2. Kami harap ia dapat menjawab pertanyaan dari mereka yang sering tertanya-tanya. RPWP telah membiayai lebih separuh dari kos pembelian unit bas yang pertama, bakinya telah didanai oleh sumbangan wakaf, Alhamdulillah. Dengan adanya bas milik sendiri, segala program boleh dijalankan dengan lebih murah dan lancar, tanpa terikat dengan jadual pihak ke 3. Lebih banyak program ad-hoc juga boleh disertai dengan adanya bas sendiri.

Dengan itu Jika ada yang berminat untuk mewakaf, bolehlah hubungi kami di talian berikut;

Puan Werda (Mak Long) – 013-5858789 (call, sms & whatsap)
Puan Irawanti – 013-5858460
Inbox ke Page FB “Warga Prihatin” atau email ke: prihatin@live.com
Anda juga boleh buka menu ‘alamat’ di website kami www.prihatin.net.my

Bagi yang ingin mengenali dan bersilatulrahim dengan kami di lokasi juga dialu-alukan. Silalah berhubunglah dengan nombor di atas. InsyaAllah jika tiada aral, kami akan adakan sessi bersilaturrahim di sekitar Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan pada malam 26 dan 27hb. dan di Kemaman pada malam 28hb. Datanglah bersama-sama keluarga untuk berkongsi buah fikiran bersama anak-anak RPWP dan juga penjaga-penjaga mereka.

Anda juga boleh tolong kami forwardkan / share posting ini kepada saudara mara, kenalan yang mungkin mampu membantu misi anak-anak untuk bertemu pemimpin-pemimpin negeri serta sebarang peluang pemerhatian alam yang unik di pantai timur mampu jadi kenyataan.

Terima kasih

WARGA PRIHATIN
Pengelola & Pengasas Program Sekolah Alam