Sains Kahfi 6 – KEMBALIKAN FUNGSI MASJID DALAM KHARIAH DAN RUMAHTANGGA

00 gua 6.jpeg smallSains Kahfi 6 – KEMBALIKAN FUNGSI MASJID DALAM KHARIAH DAN RUMAHTANGGA

Antara rukun fe’li yang paling penting dalam solat ialah sujud, iaitu tanda penyerahan dan pengabdian seorang hamba. Tempat atau rumah tempat sujud ini dipanggil masjid. Itulah hakikat kepatuhan perlaksanaan segala ketetapan yang telah ditetapkan dalam al-kitab (quran). Itulah dia IBADAH, yang datang dari kata pokok ABDI, perlaksanaan yang menggambarkan PENGABDIAN seorang HAMBA tanpa dakwa dakwi.

PERANAN MASJID atau rumah peribadatan ini sangat besar bagi pembangunan peradaban umat Islam. Ceramah seorang ustaz di TV al-Hijrah baru-baru ini menjelaskan bahawa peranan MASJID di zaman Rasulullah SAW adalah ibarat sebuah universiti. Maknanya masjid adalah tempat pengembangan dan penyebaran ilmu dan maklumat yang sangat meluas.

Sesuai dengan maksud itu, harus kita renung dan tadabbur semula hadis yang menyatakan “Solat itu Doa”. Bahkan dalam surah at-Taubah ayat 103, semua naskah terjemahan menterjemahkan kalimah “WASOLLI ALAIHIM” itu sebagai “MENDOALAH” bukan “SOLATLAH ATAS MEREKA”. Sangat bertepatan dengan makna DOA itu sebagai seru, DAKWAH itu menyeru, DA’IE itu pendakwah/penyeru. Marilah kita realisasikan hakikat solat itu doa sebagai wadah aqimuddin yang membangun ummah di setiap jumaat.

Dalam proses pendidikan atau tarbiah ummat di masjid ini, apa yang penting ialah peranan murobbi (rabb) yang berilmu untuk mendakwahkan dan menyampaikan ilmu. Itulah proses menghubungkan (mensilah) ilmu Allah dan wasiat rasul kepada ummat. Proses inilah yang menjamin ketahanan dan pertambahan progres pembangunan ummat yang telah sekian lama hibernasi Islamnya ini.

APA SITUASI MASJID KITA HARI INI?

Jangan malu untuk mengakui bahawa masjid kita sudah tidak begitu bermanfaat dalam proses mempertahankan akidah dan menggembeling usaha pembangunan ummat. Beberapa kerat dari kalangan kita berulang alik untuk solat lima waktu dengan sekadar melakunkan ritual rukun fe’li dan qauli solat yang sama setiap hari di masjid. Semuanya di ulang tanpa penghayatan apa yang dilakunkan dan apa yang dibaca. Majoriti musollin tidak tahupun apa yang mereka baca. Inilah yang Allah katakan dalam surah annisa’ 43 “..jangan kamu solat dalam keadaan mabuk sehingga kamu tahu apa yang kamu kata..”

Di hari jumaat pula, kita hanya hadir untuk berkumpul setiap minggu mencari tiang masjid menyandarkan tubuh untuk lena, bukan khusyuk mendengar khutbah. Yang tidak dapat tiang akan menundukkan kepala dan badan sehingga tersungkur sujud sambil duduk menghirup air liur yang meleleh ke kaki akibat khusyuknya lena. Kita sedar untuk terpinga-pinga bangkit solat pun kerana dikejut orang sebelah.

Imam yang membacakan surah dalam solat juga ramai yang tidak tahu apa yang dia baca. Pilihan imam bagi kita ialah yang pandai menghafal dan melagukan bacaan sahaja. Khatib yang membacakan khutbah juga jauh berbeza. Mereka membacakan khutbah, bukan berkhutbah. Maksudnya, mereka hanya mengikut sahaja apa yang ditulis oleh Majlis agama atau sesetengah masjid mengikut teks dari ketua parti mereka. Seharusnya mereka mentausiahkan juga hal ehwal semasa masyarakat setempat dalam khariah mereka, yang telah mereka syurokan bersama majlis syuro di khariah itu.

Selebihnya masjid hanya menjadi tempat kita mencari pahala, meletakkan pisang di tangga untuk sajian orang ramai. Ummat pula berebut datang awal untuk mengambil peluang. Ada yang awal awal lagi sudah ambil beberapa sisir pisang untuk dipunggah dan diletakkan dalam raga motor buat sajian keluarga di rumah.

Sekali sekala kita himpun manusia mendengar ceramah Maulidurrasul, Awal Muharram, Israk Mikraj, sembahyang raya, menikahkan pasangan, bersunat dan sebagainya. Jelaslah peranan masjid yang sebegitu besar dan penting untuk mendidik dan menyedarkan manusia sudah lama berakhir. Inilah salah satu dari tanda berakhirnya zaman kegemilangan Islam. Berikut telah nabi SAW sabdakan,

Akan datang pada manusia suatu zaman, ketika itu Islam tidak tinggal kecuali namanya, alqur’an tidak tinggal kecuali tulisan (resam) nya, masjid-masjid indah/megah namun kosong dari petunjuk, ulamanya termasuk orang paling jelek yang berada dibawah kolong langit , karena dari meraka timbul beberapa fitnah dan akan kembali semula (fitnah itu) padanya (H.R. Baihaqi Dari Ali R.A)

Surah 9. At Taubah

107. Dan ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan, untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka Sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan.” Dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta.

108. Janganlah kamu berdiri/sembahyang dalam mesjid itu selama-lamanya. Sesungguh- nya mesjid yang didirikan atas dasar taqwa, sejak hari pertama adalah lebih patut kamu sholat di dalamnya. Di dalamnya mesjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.

MASJID RUMAH TANGGA

Rumahtangga ibarat sebuah masjid juga. Kerana itu pasangan yang berkahwin kita katakan bakal mendirikan masjid. Namun situasinya kini sama sahaja. Rumah dan rumahtangga sudah tidak lagi disusun untuk memupuk fungsi sujud dengan tersusun. Ia tidak lagi menggambarkan sebuah masjid, yang terdapat taman raudhah tempat warga berdipan-dipan dan mimbar tempat murobbi atau imam mentaklimkan warganya.

Dalam ayat 21 al-Kahfi dijelaskan bahawa murobbi (rabb) dalam keluarga atau masyarakat harus tahu hal ehwal dan setiap urusan ahlinya. Namun ini tidak lagi berlaku dalam keluarga moden kita. Seorang suami sudah tidak tahu apa urusan isterinya, terutama isteri yang bekerja. Apatahlagi yang lebih tinggi pangkat dari suaminya. Hari ini seorang bapa juga kurang tahu atau tidak ambil tahu urusan anak-anaknya. Anak-anak juga tidak lagi sudi untuk berkongsi urusan mereka dengan ibu bapa mereka.

Jika Murobbi sudah tidak berilmu, tentu dia tidak lagi mampu memimpin atau mengimami ahli keluarganya. Ahli yang tidak dipandu oleh imam yang mantap selaku bapa hukum (ABAL HAKAM) pasti akan menjadi haru biru dan tidak tentu hala tuju. Maka masing-masing akan hidup mengikut kemahuan sendiri lalu banyaklah berlaku perselisihan dan perbalahan, sepertimana ayat al-Kahfi 21 itu. Ini pasti akan mewujudkan situasi neraka, menafikan hakikat rumahku syurga ku.

Ahli yang tidak terdidik tidak akan tahu bagaimana dan apa yang harus diruku’ dan sujudkan, apa yang harus di taati dan patuhi. Anak dan isteri akan hidup dengan haluan sendiri, tidak patuh dan sujud pada arahan ayah atau suami. Inilah hakikat keluarga yang tonggang terbalik, keluarga 69.

Doa anak-anak untuk arwah bapa/ibu mereka akan berbunyi .. “KAMA ROBBAYANA SOGHIIRO” (sebagaimana mereka menjaga/mendidik/mengatur kami waktu kecil). Jika sebagai MUROBBI (pengatur/rabb) anak-anak itu kita tidak gali ilmu untuk mentarbiah/mentaklimkan/mendidik/mengatur anak anak kita, maka akan adakah anak yang tahu mendoakan kita kelak? Ayuh fikirkan.

RUMAHKU SYURGAKU

Suasana syurga adalah bilamana ahli-ahlinya hidup damai, tenang jiwanya kerana setiap diri ada rujukan dan peraturan, masing-masing patuh dan mengikutinya dengan ridha. Jelaslah bahawa syurga itu terbentuk apabila ada seorang murobbi (rabb) yang mampu mendidik dan mengatur jemaah ahlinya dengan rujukan yang mantap. Segalanya terpapar jelas dalam ayat berikut,

Al-Fajr Ayat 27
يأيتها Wahai
النفس Jiwa /diri
المطمئنة Yang tenang
Al-Fajr Ayat 28
ارجعي Merujuklah (kembali)
إلى Kepada
ربك Rabb mu
راضية (Dengan) keridhoan
مرضية Di ridhai

Al-Fajr Ayat 29
فادخلي Maka masuklah
في Dalam
عبدي Hamba-Ku (jemaah)

Al-Fajr Ayat 30
وادخلي Dan/demi masuklah
جنتي Surga-Ku

SERUAN KHAS JUMAAT INI

Mari kembalikan semula fungsi masjid dalam khariah kita agar benar-benar menjadi tempat sujud, agar benar-benar menjadi tempat solat, tempat menyeru seruan agama yang membangun DIEN (aqimuddin).

Pastikan imam, murobbi, daie masyarakat dan keluarga kita tahu akan urusan setiap ahlinya. Dalam khutbah jumaat pula, jika sekalipun ada mesej dari atas, ibarat hujan dari langit yang harus dibacakan, janganlah sampai mengabaikan tanggungjawab untuk mentausiahkan urusan perigi, maklumat dari bumi bawahan untuk dikongsikan melalui mimbar. Tausiahkanlah perkembangan isu serta masalah setempat juga.

Para imam/wali untuk masjid rumahtangga juga tidak kurang penting peranannya. Keluarlah mencari ilmu parenting Islam yang sebenar agar dapat mengimami keluarga dengan jelas. Dengan ilmu yang hak itu sahaja ahli keluarga boleh diatur dengan yakin dan sempurna.

“Benar sungguh-sungguh pada diri Rasulullah itu ada suri teladan yang baik”. Setiap para bapa dalam masjid rumahtangga dan imam dalam masjid khariah hendaklah menunjukkan uswah yang baik dalam melaksanakan segala isi tausiah dan tarbiah mereka. Janganlah pula jadi ketam yang menyuruh anaknya berjalan dengan betul.

Minda Jumaat
WARGA PRIHATIN