Rahsia Kahfi 16 – keperluan membina semula fungsi Masjid (Bahagian 1)

00 GUA 16RAHSIA KAHFI 16 – KEPERLUAN MEMBINA SEMULA FUNGSI MASJID BAH 1

QS: 48. Al Fath 29. “Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang yang ingkar, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka bersama ruku’ dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka nampak pada wajah mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya karena Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang yang ingkar. Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar.

Masjid adalah tempat sujud, dan ia dari kata pokok sujud. Sujud pula terkait rapat dengan pengabdian dan solat. Solat adalah saluran perhubungan kita kepada Allah. Apa yang terkandung di dalam amalan solat itu ialah bahan tarbiah, saluran petunjuk dari Allah untuk kita, hambaNya. “WASTAINU BISSOBRI WASSOLAH (mintalah pertolongan dengan sabar dan solat)”. Pemberian petunjuk itulah cara Allah menolong kita.

Melaksanakan apa sahaja petunjuk dari Allah, dari bacaan Fatihah dan ayat quran dalam ritual solat itu menjadi tanda bahawa kita sujud kepada Allah secara aktual. Hasil sujud dari solat itulah yang memberikan kesan pembangunan. Kerana itulah solat itu dikatakan sebagai ‘tiang agama’, iaitu tunggak ibadah besar yang mampu menggalang dan membangun agama secara ritual dan aktualnya.

Sebaliknya, jika kita hanya baca sahaja tetapi tidak melaksana sepertimana yang Allah perintahkan dalam surah yang kita baca dengan sepenuhnya, itu tanda kita tidak sujud. Kerana itulah solat kita tidak menjadi penolong dalam kehidupan kita. Sebab itu juga Allah perintahkan agar kita memahami apa yang kita baca dalam solat, jangan seperti orang mabuk yang tidak mengerti apa yang kita ucapkan.

An Nisaa’ 43. “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan,..”

Ilmu itu sangat penting dalam Islam. Dengan ilmu dan kefahaman yang mendalam, seorang hamba akan menjadi yakin dan beriman, sentiasa tenang dan sejahtera tanpa keresahan dan gundah gulana. Semua gerak kerja kita akan menjadi teratur dan mudah berjaya. Kita tidak mudah panik dan terjerumus ke lembah durjana dan celaka. Itulah hakikat syurga, yang telah nabi katakan sebagai ‘taman-taman ilmu’.

Demikian juga telah banyak sekali Allah jelaskan bahawa dalam syurga itu tiada perkataan yang sia-sia, ada sungai yang mengalir di bawahnya dan para penghuni syurga pula saling tanya menanya. Semua kalimah dan bicara syurga itu ada unsur ilmiah dan bermanafaat. Ilmu tidak putus-putus mengalir. Hubungan baik dan habit tanya menanya sesama penghuni membuatkan aliran ilmu sentiasa mengalir ibarat sungai. Pepatah Melayu mengatakan ‘malu bertanya sesat jalan”. Ini juga sesuai dengan sabda nabi SAW bahawa kunci ilmu itu adalah bertanya.

Kerana itu jugalah Allah larang kita melakukan apa sahaja dengan ikut-ikut, tanpa ilmu. Malangnya kita semua ambil mudah dan masih terus menerus membiarkan diri dalam keadaan yang jahil dan tidak tahu apa yang kita lakukan saban hari. Kita rasa Islam sudah tegak dan akan terus tegak tanpa kita berusaha mencari dan menggali ilmunya. Tanpa ilmu itu kegemilangan peradaban Islam tidak akan dapat dipertahankan.

Kefahaman ilmu agama itulah yang melayakkan kita mewarisi agama ini dari para nabi dan rasul dengan bijaksana dan sempurna. Ilmu itulah yang menambah keyakinan atau iman terhadap agama dan mampu menghasilkan kesejahteraan apabila kita mampu melaksanakannya dengan sempurna.

QS: 17 Al Israa’ 36. “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipersoalkan nantinya.”

QS: 10. Yunus 36. “Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.”

Apa yang dihuraikan di atas menunjukkan dengan jelas fungsi Masjid sebagai pusat pendidikan, pusat penyampaian maklumat dan dakwah kepada masyarakat Islam. Inilah keperluan paling utama dalam pembangunan dan pertahanan komuniti Islam itu.

Apabila ini gagal dilaksanakan secara aktual, maka agama dan masyarakatnya tidak akan terjaga. Umat akan kembali jahil sejahil-jahilnya. Akhirnya kegemilangan masyarakat dan agama Islam akan runtuh dan perlu dibangunkan semula.

Sabda Rasulullah SAW.

Akan datang pada manusia suatu zaman, ketika itu Islam tidak tinggal kecuali namanya, alqur’an tidak tinggal kecuali tulisan/resamnya, masjid-masjid megah namun kosong dari petunjuk, ulamanya termasuk orang paling jelek, yang berada di bawah kolong langit , karena dari meraka timbul beberapa fitnah dan akan kembali (fitnah itu) padanya

– (H.R. Baihaqi Dari Ali R.A)

Dari siri yang lepas banyak kami kongsikan bahawa antara rahsia besar al-Kahfi adalah petunjuk kepada pemisahan dua zaman kegemilangan Islam. Setelah kejatuhan hasil dari fitnah Dajjal itu dikenalpasti, maka surah itu juga memberikan pedoman bagaimana untuk membangunkannya semula.

Hadis tanda akhir zaman ini memberi hidayah kepada kita bagaimana untuk ‘mengenal tanda’ dan ‘mengesan’ samada kegemilangan Islam hasil usaha dakwah Rasulullah SAW dan para sahabat itu masih kekal atau sudah berakhir. Mari kita teliti satu persatu..

Benarkah Islam hanya tinggal NAMA? Benarkah Quran hanya tinggal tulisan yang tidak kita fahami dan hayati? Adakah kini kita hanya baca quran tanpa kefahaman, hanya sebagai adat resam ketika ramadhan, malam jumaat atau bila ada orang mati sahaja? atau hanya di majlis tertentu seperti majlis tilawah, maulidurrasul, awal muharam, nisfu syaaban dll sahaja?

Benarkah kita memilikki banyak masjid yang besar dan megah tetapi tidak berfungsi sewajarnya? tiada aliran ilmu di masjid kita semantapnya? Kita hanya ke masjid untuk bersolat atau bermajlis sekali sekala sahaja?

Ada tidak pelbagai golongan orang alim atau jemaah orang alim (ulama’) yang berbagai-bagai aliran kefahaman mereka? Ada tidak berlaku fitnah dan kecelaruan dari pelbagai orang alim ini yang akhirnya fitnah itu kembali kepada mereka sendiri? Benarkan ulamak kita kini hanya bercakap mengikut apa yang diperintahkan oleh golongan atasan (golongan langit) mereka sahaja dan melupakan hal ehwal qariah mereka?

Nah, inilah yang harus kita teliti saat ini. Kesemua ini memerlukan satu penstrukturan semula fungsi masjid dan pemahaman alquran yang tepat kepada semua ahli qariah untuk memperbetulkan halatuju hidup kita dalam beragama. Bila masjid hilang fungsi sebenar, itulah tanda jatuhnya peradaban Islam yang sebenar. Yang tinggal hanya masjidnya tetapi hilang fungsi dan isinya.

APA JADI MASJID KITA SEKARANG?

Selain daripada bermajlis sekali sekala, kita sudah sampai ke peringkat di mana Masjid hanya digunakan untuk tempat berhenti makan, buang air, mandi dan tidur si musafir sahaja.

Masjid juga telah menjadi tempat sasaran penagih dadah untuk hadir mencuri. Kecurian bukan sahaja ketika masjid kosong, malah telah ke tahap sewaktu jemaah sedang solat berjemaah. Jika dahulu mereka hanya hadir untuk mencuri kasut sahaja. Kini mereka berani mencuri beg tangan dan segala barang berharga yang diletak di sisi ketika jemaah sedang solat. Anda mungkin pernah melihat rakaman cctv yang beredar menunjukkan bagaimana aksi yang amat menyedihkan ini.

Baru-baru ini masyarakat dikejutkan pula dengan isu panas apabila ada orang menceroboh masjid sehingga mencampakkan kitab Quran ke lubang tandas lalu mencetus kemarahan yang melampau kepada ramai orang.

Bukan sekadar itu, kita juga tidak habis-habis disajikan dengan berita masjid dan surau yang sudah biasa dijadikan tapak selesa Si Jantan dan Si Betina melampias nafsu dengan zina. Bukan sekali dua, tetapi acapkali juga perkara ini berlaku dan disedari oleh Tok Siak yang datang awal ke masjid. Lebih malang lagi apabila ada berita dari kalangan kakitangan masjid sendiri yang melakukannya.

Inilah fitnah Dajjal hasil dari pemodenan dan kemajuan pembangunan yang harus kita bayar. Kesejahteraan hasil dari akhlak al-karimah insan beragama sudah kita gantikan dengan fitnah itu. Inilah yang wajib kita fahami dari surah al-Kahfi yang cuba kami kongsikan. Kerana itulah dalam surah ini diperintahkan kita mendirikan masjid di sisi gua itu.

“ sesiapa yang menghafaz (menjaga) 10 ayat permulaan surah Al-Kahf maka terhindar daripada dajjal” dan “sesiapa yang membaca 10 ayat akhir daripada surah al Al-Kahf maka terhindarlah ia daripada fitnah dajjal.” – HR Imam Ahmad daripada Abi Darda’ ra.

Penting sekali kita tahu bagaimana menjaga dan memelihara 10 ayat pertama itu. Iaitu dengan memahami dan mempastikan ancaman yang terkandung dari ayat itu tidak berlaku pada kita (sila rujuk siri yang lepas).

“Sesiapa membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit, untuknya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat.” – HR Ibnu Katsir Daripada Umar

Bahagian seterusnya ialah bagaimana cara untuk penstrukturan semula fungsi masjid ini.

Kudap Jumaat
Warga prihatin