PENDIDIKAN SATU PERLUMBAAN ZAMAN BATU.

00 jenayah 2PENDIDIKAN SATU PERLUMBAAN ZAMAN BATU.

Kami dipanggil untuk memberikan pendapat kami tentang perlaksanaan SPPBS (Sistem Penilaian Berasaskan Sekolah) oleh admin kumpulan pembantah perlaksanaan SPPBS. Lalu kami membuat sedikit semakan dan kajian mendalam tentang SPPBS dan mengapa sebahagian yang tidak bersetuju dan ada sebahagian pula yang bersetuju.

Pada mula kami mendengar pengumuman perlaksanaan SPPBS, kami merasa gembira kerana sistem pendidikan kita mula menghampiri sistem Talaqqi yang diamalkan dalam konsep pendidikan Islam zaman nabi dahulu. Sistem itu mampu menghasilkan cendakiawan Islam yang pintar dalam segala bidang. Barangkali, islah kali ini dengan pengenalan SPPBS akan membuka lembaran baru dalam sistem pendidikan di Malaysia. Tetapi, ia masih terlalu awal untuk kami nyatakan ia baik ataupun buruk. Kadangkala, satu idea itu baik hanya pada peringkat idea tetapi pada peringkat perlaksanaannya, ia jadi lain pula nanti.

Apa yang merungsingkan kami ialah, walaupun perlumbaan pelajar di peringkat pusat mula berkurangan tetapi perlumbaan sekolah bagi menjadi sekolah terbaik pula akan menjadi lebih sengit dari biasa. Dengan SPPBS ini, perlumbaan ini mungkin akan mengundang lebih banyak kegilaan lagi antara kakitangan pendidik pula.

JENAYAH PENDIDIKAN ALAF BARU

Di Rumah pengasih Warga Prihatin kami ajar anak-anak kami agar jangan menipu. Apapun pencapaian mereka dalam peperiksaan biarlah itu pencapaian yang sebenarnya. Kami redha dengan apa saja asalkan ia benar menggambarkan pencapaian dan kemampuan sebenar. Itu memudahkan usaha kami membaiki mana yang kurang. Kami sering tegaskan itu semasa mereka memberitahu kisah rakan-rakan meniru menggunakan talian internet melalui smartfone dalam peperiksaan dan dibiarkan oleh guru. Banyak kes jenayah pendidikan termasuk mengupah guru untuk menyiapkan tugasan murid dan mendapat markah tinggi. Anak sikaya ini juga yang akan menerima habuan hadiah lumayan oleh sekolah dan ibubapa.

Berita soalan bocor di musim peperiksaan seperti yang disiarkan di media semalam sudah menjadi sangat lumrah. Ia berlaku saban tahun di negara ini. Walaupun ia bingar seketika di media dan parlimen, namun akhirnya senyap begitu saja dan itu kekal menjadi paksi penilaian kepada anak-anak kita. Dari sumber yang dipercayai, ada cikgu-cikgu yang terpaksa memberikan markah yang lebih kepada murid yang lemah dalam pelajaran hanya kerana mahu mengekalkan prestasi guru besar sekolah itu.

Kami tidak pelik dengan kes soalan bocor kerana sebelum ini, sering anak-anak kami lapurkan bahawa mereka dipanggil secara tertutup untuk cikgu berikan JAWAPAN BOCOR (bukan lagi soalan bocor) sejurus sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Kami terkejut dengan tindakan sekolah itu. Apabila artikel menyentuh isu pendidikan kami utarakan, ramailah yang komen rupanya ia telahpun menjadi satu perkara biasa. Ramai pelajar dan guru turut mendedahkan aktiviti yang sama di sekolah masing-masing asalkan sekolah mereka mampu mendapat ranking yang baik dan pastinya ada ganjaran besar untuk pendidik-pendidiknya. MasyaAllah… sistem pendidikan jenis apakah ini?

Kekecewaan itu tidak habis di situ. Kami juga mengetahui dari sumber kami dan juga dari apa yang telah dipaparkan di dalam suratkhabar tentang kes murid lemah yang dikurung agar tidak ikut mengambil peperiksaan. Ini semua satu perlumbaan gila yang akhirnya menganiaya generasi kita. Yang jadi kurang prestasi itu pun tidak lain hasil dari perlumbaan gila itu juga. Apa sebenarnya yang kita cari?

Di samping kelemahan kaedah pendidikan oleh para ibubapa dan beberapa faktur lain, anak yang kurang baik pencapaian itu juga datang dari budaya perlumbaan. Anak-anak yang pandai lebih cenderung memajukan diri sendiri dan bukannya membantu yang lain. Untuk apa dibantu jika itu hanya menyebabkan mereka kehilangan masa untuk berusaha dan berkemungkinan pula yang dibantu itu kelak mampu memintas tempat mereka dalam perlumbaan pendidikan itu.

SISTEM PENDIDIKAN TIDAK KOPERATIF

Nabi SAW bersabda, “Assobiyah itu tidak Islam”. Tapi budaya negetif dalam sistem pendidikan sekarang telah mengamalkan sikap ini, mementingkan kelompok sendiri. Setiap sekolah mempunyai rahsia yang tidak dikongsikan kepada sekolah-sekolah lain. Dikhuatiri sekolah lain akan mengatasi ‘ranking’ mereka pula nanti. Sekalipun ada program post-moterm di semua peringkat dan berlaku perkongsian tetapi ia tidak secara telus. Masih ada rahsia yang BAIK mahupun yang BURUK yang masih disimpan sebagai wacana rahsia sekolah terbabit agar kekal menjadi sekolah terbaik mengatasi yang lain.

Secara kes, kami memerhatikan bagaimana perlaksanaan sistem pendidikan koperatif berlaku di Finland berbanding Malaysia. Walaupun kami mengesan sistem di Finland masih banyak yang tidak Islamik, namun itu lebih Islamik dari perlaksanaan dalam Negara Islam sendiri buat masa ini. Tidak ada murid yang dibiarkan tercicir dan semua akan dibangunkan bersama-sama.

Perlumbaan akademik yang kita amalkan ini hanya merugikan semua. Anak didik yang dihasilkan hanyalah menjadi robot yang tiada perasaan. Bagi yang baik pencapaiannya pula, mereka hanya menjadi seperti sebuah robot mesin penghafal dan pemburu pingat sahaja. Ingatlah bahawa kejayaan Sultan Muhamad Al-Fateh itu adalah atas dasar pembangunan koperatif yang berjemaah, bukan kaedah kompetetif yang mementingkan kejayaan individu. Putera raja yang kaya dikeluarkan dari istana untuk membangun bersama yang miskin atas semangat kerjasama bersaudara.

PEMBENTUKAN GENERASI PENGHAFAZ DAN BUKAN PENGAMAL

Maaf jika kami katakan kenyataan pahit ini. Dari kes-kes yang dalam kajian kami di kalangan pelajar Malaysia di dalam dan luar Negara, tidak dinafikan pelajar Malaysia mampu untuk jadi yang terbaik dari segi pencapaian akademik. Malangnya apabila masuk ke lapangan kerja, mereka ini menjadi orang yang tidak mampu berfikir dan bukan menjadi pelaksana yang baik.

Fenomena ini amat jelas sekali kerana rumah kami tidak putus-putus dihadiri oleh pelajar universiti. Anak kami yang berumur 16 tahun pun pandai menilai lemahnya tahap sahsiah dan akhlak kakak/abang yang hampir menamatkan degree. Pernah pelajar degree dalam program CSR yang ikut kami mengambil sedekah perabut ditegur keras tuan rumah, seorang CEO kerana masalah akhlak. Katanya jika beliau yang interview pengambilan, jangan harap beliau nak ambil dia bekerja. Kami terpaksa katakan itu bukan anak kami, itu adalah pelajar Universiti yang sedang berprogram bersama kami.

Apabila sekolah dan juga anak murid sentiasa berlumba menjadi yang terbaik hanya dalam akademik, adakah lagi masa untuk aktiviti pendidikan yang bersifat holistik?. Rata-rata mereka akan menjadikan penghafalan sebagai satu jalan singkat untuk berjaya. Tak mampu menghafal mereka akan meniru. Mereka yang banyak bilangan A akan dipuja. Tempat ke 3-5 teratas akan mendapat hadiah dari sekolah. Kononnya sebagai satu galakan tetapi sebenarnya itu hanya merosakkan semangat koperatif anak-anak.

Ini hanya mendidik anak-anak kita menjadi orang yang menghafal tanpa berfikiran kritis untuk apakah pelajaran yang mereka hafal itu. Ukhwah sesama rakan sebaya juga tidak mungkin menjadi akrab atas dasar bantu membantu dalam pelajaran. Kami tidak menolak terus tentang keakraban itu, tetapi sistem yang kami lakukan tanpa peperiksaan kepada anak-anak kami menunjukkan mereka mampu menjadi lebih hormat menghormati.

Ada perkara yang Si A tidak faham dan akan dibantu oleh Si B atau C dan lain-lain. Begitu juga sebaliknya bila Si B tidak faham pelajaran juga akan dibantu oleh yang lain kerana setiap anak ada kelebihan dan kekurangan. Hasilnya, keakraban yang terjalin menjadikan mereka sebaik saudara sedarah sedaging. Jalinan kehidupan dengan sifat berkasih sayang, saling bantu menbantu ini yang ingin kami pupuk sebagai wadah kehidupan yang sejahtera dan amat membahagiakan mereka. Inilah jaminan keselamatan buat mereka khasnya apabila kami semua sudah tiada kelak.

PERIHAL ‘SPPBS’

Berbalik kepada Sistem Penilaian Berasaskan Sekolah ini pada pandangan kami akan memberikan lebih kerja kepada warga pendidik. Pastinya kita lihat corak bantahan yang timbul dari pemerhatian kami datangnya dari kalangan warga pendidik itu sendiri.

Kami tidak kisah nama apakah program itu, tetapi kami hanya mampu menunjukkan beza antara sistem pendidikan yang holistik dengan penekanan melebihi akademik semata-mata kepada satu sistem pendidikan yang seimbang. SPPBS ini kami lihat ada sedikit anjakan ke arah mewujudkan pelajar yang bukan menghafal dan baik dalam peperiksaan tetapi gagal dalam kehidupan.

Penekanan yang terlampau ke arah peperiksaan membuatkan anak-anak kita menjadi seperti seorang gladiator yang terpaksa membunuh lawan yang lain bagi menempah gelaran gladiator yang satu. Sedangkan kita mahu mereka ini bersatu dan bekerjasama lalu mencipta gemilang secara kolektif dan bukan individual.

Paling merungsingkan, itulah punca mengapa masyarakat kita hari ini lebih bersifat KEAKUAN (ananiah) dan sudah hancur KESATUAN (nahniah)NYA. Tidak lagi seperti zaman nenek moyang kita dahulu yang mengenali jiran-jiran seperti adik beradik sendiri. Buat rumah, pindah rumah, gali perigi, kenduri kendara bahkan kacau dodol menjelang raya juga dilakukan bersama-sama.

Hari ini, kita terpaksa hidup sendiri-sendiri tanpa nikmat eratnya kemasyarakatan itu lagi. Jiran kelaparan, makan nasi lauk garam pun kita di rumah banglo sekitarnya tidak peduli, jiran sakit, bahkan dirompak dibunuh juga kita buat tak tahu. Sesama adik beradik, saudara sepupu juga kita bertanding, bukan berganding. Kita sanggup membiarkan anak saudara kita terus rosak akhlak asalkan nampak anak kita lebih baik dari anak-anak saudara kita. Ironinya jika kita mahu menegur pun akan lain jadinya. Kita sanggup berhutang menanggung dosa riba, makan rasuah dan pecah amanah demi memenangi pertandingan itu dan anak-anak kita yang memerhati akan meneruskannya juga.

Itulah salah satu natijah besar sistem pendidikan yang bersifat satu perlumbaan yang memberikan inspirasi megahnya kemenangan itu dengan hadiah-hadiah yang lumayan sedangkan mereka kehilangan “kemanusiaan” dalam diri mereka dalam perlumbaan yang mereka menangi itu.

SOLUSI & JALAN KELUAR KEMELUT PENDIDIKAN

Kami melihat dari satu pandangan positif mengatakan bahawa apa yang ada dalam sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini sudah baik tetapi kurang menyeluruh. Dengan itu, dalam rangka Projek Sekolah Wakaf Prihatin yang bakal kami usahakan tidak lama lagi, kami masih mengekalkan pendekatan akademik seperti sekolah-sekolah lain tetapi dalam masa yang sama memberikan tambahan ruang pembangunan yang seimbang untuk pembangunan akhlak.

Akhlak itu sendiri satu skop yang besar. Dalam akhlak itu ada disiplin, kemahuan, dayajuang, jatidiri, kreativiti dan banyak lagi daya yang sukar diukur menggunakan peperiksaan yang berpaksikan hafalan teks. Penilaian mereka kami ukur melalui konteks, penilaian gerakkerja dan tindakan harian di lapangan.

Pedagogi pengajaran tidak terhad kepada dalam kelas sahaja. Ia lebih bersifat koperatif. Abang dan kakak akan mengajar adik-adiknya sambil dipantau oleh guru-guru berkelayakan tinggi (sehingga tahap Doktor Falsafah dari Universiti Terbaik Dunia). Pendedahan akademik akan dilipatgandakan melalui perlaksanaan projek inisiatif yang mampu membuatkan anak-anak mudah faham (bukan menghafal) dan mampu dipraktis bila keadaan bersesuaian. Anak-anak akan didedahkan dengan pelbagai ujikaji dan penyelidikan yang mereka jalankan sendiri.

Itu semua mampu memberikan anak-anak keseimbangan pemikiran apabila otak kiri dan otak kanan kedua-duanya digunakan dengan baik. Ilmu yang ada akan terus digunakan dan diingati sampai bila-bila. Peperiksaan bukan satu isu besar kerana anak-anak tidak belajar untuk peperiksaan.

Pendidikan adalah bidang yang besar dan unik dalam kehidupan manusia. Apa yang telah kami laksanakan selama ini hanya pendidikan tidak rasmi yang bersulam dengan sistem persekolahan arus perdana. Walaupun ada kesan baik yang nyata namun ia belum boleh dikatakan sempurna kerana ada dua sistem berlaku dalam satu masa.

Seperti biasa, sukar untuk kami mengulas sesuatu yang belum pernah kami laksanakan hasil kajiannya secara eksklusif dan komprehensif. Izinkan kami lakukan R&D melalui projek sekolah ini dengan anak-anak kami sendiri. Insyaallah apa saja hasil baik dari projek sekolah yang bakal kami laksanakan nanti mampu kami kongsikan modulnya kepada kementerian jika diminta.

Jika kita masih juga keliru, ingatlah apa tujuan kita belajar. Jika hanya untuk mendapatkan sebanyak A yang boleh, ia sangat mudah untuk berlaku. Yang kita mahukan ialah pendidikan yang mampu memanusiakan manusia. Itulah yang bakal menjamin syurga dunia dan syurga di akhirat sana untuk kita dan anak-anak kita.. INSYAALLAH.

Cetusan minda
WARGA PRIHATIN