Pemuda DAP Perak Beku Kerjasama dengan Dewan Pemuda PAS Perak

DAPIPOH: Pemuda DAP Perak membekukan segala bentuk kerjasama dengan Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Perak berkuatkuasa, semalam.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, ia selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Eksekutif DAP (DAPSY) berhubung perkara berkenaan.

“Selepas mesyuarat pada 19 Mac lalu, Jawatankuasa Negeri DAP Perak dengan sebulat suara memutuskan kita mengecam tindakan UMNO dan PAS Kelantan atas pembentangan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1993 (pindaan 2015) di Kelantan pada 18 Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Perak di sini, hari ini.

Ujarnya, pembentangan enakmen tersebut merupakan satu helah politik yang cuba memecah belahkan Pakatan Rakyat.

“Ia berada di luar dasar bersama parti berkenaan dan tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

“DAP Perak menganggap pembentangan Enakmen tersebut oleh PAS Kelantan tanpa persetujuan Majlis Presiden Pakatan Rakyat adalah satu penderhakaan dan helah yang sengaja bersubahat dengan UMNO.

“Ia bertujuan meretakkan perpaduan Pakatan Rakyat serta melanjutkan talian hayat kuasa kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini hanya tinggal nyawa-nyawa ikan,” katanya lagi.

Jelasnya, pembekuan kerjasama berkenaan akan berlarutan hingga parti PAS menyelesaikan pertelingkahan dalaman parti itu dalam Muktamar PAS yang akan diadakan pada Jun depan.

Sementara itu, Kor Ming juga berkata, pihak DAP Perak bercadang menganjurkan satu kongres nasional khas DAP bagi mengkaji dan membuat keputusan berhubung kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.

“Ini termasuk kemungkinan pembentukan ‘Pakatan Rakyat Baru’ demi memenuhi aspirasi rakyat Malaysia berbilang kaum untuk menggantikan rejim BN.

“Ia selaras dengan perjuangan Pakatan Rakyat untuk membentuk Malaysia yang adil, telus bersih dan berpaksikan kepada sistem demokrasi berparlimen,” tambah beliau.

Sebelum ini, Majlis Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY) melalui Ketuanya, Teo Kon Seong telah membuat ketetapan untuk membekukan semua bentuk kerjasama dengan Dewan Pemuda PAS Pusat yang merangkumi semua peringkat di seluruh negara.