Hala Tuju, Matlamat Pendakwah Kini Dipersoalkan

PERAK-TODAY-16IPOH: Keghairahan berdakwah dengan menggunakan pelbagai medium sebagai usaha mendekati hati penonton dan pendengar menimbulkan persoalan sama ada seseorang pendakwah itu benar-benar menjiwai tugasnya atau sekadar menjadi pelengkap kepada jadual program semata-mata.

Menurut Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, sejak akhir-akhir ini wujud kecelaruan berikutan lambakan pelbagai syarahan dan penyampaian dakwah yang mengikut ‘trend’ terkini.

“Pergaulan sosial semakin teruk dan perpecahan di kalangan umat Islam semakin ketara.

“Semua pihak harus menilai semula kesilapan yang telah berlaku,” katanya.

Katanya lagi, ada di kalangan pendakwah di Malaysia kelihatan seperti penglipur lara dan segelintir lagi membuat fatwa tanpa menepati  syarak.

“Ada yang membuat fatwa-fatwa hukum berdasarkan sesuatu yang dirasakan dapat menarik sokongan dan pembelaan di kalangan pendengar,” katanya.

Tambahnya lagi, ada juga yang digelar pendakwah ‘Bollywood’ sedangkan perkataan itu adalah ‘fasikh’ yang mana menerangkan filem yang menunjukkan ia tidak sesuai sama sekali.

“Contohnya pemahaman bahawa menghisap rokok itu haram, asap rokok mengandungi candu itu masuk ke dalam darah, darah menjadi mani dan mani akan menghasilkan anak dan anak itu adalah haram,”katanya.

Jelasnya lagi, sehingga kini, merokok juga tidak lagi difatwakan haram dan anak zina  yang terhasil daripada hubungan haram juga dalam Islam tidak dipanggil anak haram.

“Bila digelar anak haram, kita sudah merendahkan darjat manusia, manusia dijadikan Allah mulia dan anak yang dilahirkan tidak berdosa,” katanya.

Ujarnya lagi, wujud juga pendakwah yang mengambil kesempatan untuk meraih pendapatan dan kekayaan dengan meletakkan harga yang tinggi bagi memenuhi jemputan hingga tidak mampu dipenuhi oleh kebanyakan orang.

Katanya lagi, senario semasa juga memperlihatkan kecenderungan menyelit unsur humor dan lawak yang berlebihan dalam ceramah.

“Kesannya penceramah itu lebih dikenali dengan lawaknya berbanding ilmu disampaikan,” katanya.

Tegasnya lagi, kini ramai golongan pendakwah yang menjadi penghibur dan juga sebaliknya.

“Kita tidak mahu agama suci ini berdasarkan Al-Quran dan hadis Nabi dipermain-mainkan dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Bagi negeri Perak sendiri katanya, Peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013 diwujudkan sejak 28 Mac 2013 bagi memastikan pendakwah memiliki tauliah sebelum menyampaikan dakwahnya.

“Setiap orang yang datang untuk memberi dakwah dan mengajar di Perak mesti memohon kebenaran daripada Jabatan Mufti Perak dan hanya yang diluluskan akan dibenarkan memberi pembelajaran,” jelasnya.

Katanya lagi, peraturan itu telah diwartakan sebagai satu peraturan enakmen agama Islam supaya tiada kekeliruan timbul.

“Seluruh masjid dan kariah seluruh Perak dinasihatkan supaya tidak menjemput pendakwah yang tidak bertauliah.

“Jika ingin juga berbuat demikian, mereka perlu memohon kebenaran Pejabat Mufti atau melalui pejabat Agama Daerah bagi mendapat kelulusan,” katanya.

Comments

  • Shahrom Abd Wahid

    Saya sokong Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani. Beliau cakap betul. Berkatalah yang benar walau pahit sekali pun, terutamanya hal keagamaan. Islam itu ada 73 cabang? dan satu saja yang betul iaitu yang mengikut Al-Quran dan Sunnah Rasul. Tanggung jawab kita bersama untuk memastikan jalan yang kita ikuti jalan yang lurus seperti dalam surah Al-Fatehah.
  • Mohd Adam Shah

    Subahanallah.. benarlah..apa yg ku sangkakan selama ini..
  • Ghazali Gabrumeah · Top commenter · Works at TNBD Batu Gajah

    betul kata mufti, contoh ada seorang PU DIPERAK yang sepatutnya masuk pertandingan maharaja lawak,tapi trsilap. tapi bollywood tu gelaran orang yang bagi bukan dia sendiri gelarnya, cuma dia fasih brbahasa urdu, tidak salah kadang2 dia guna bahasa urdu. itu mufti kena faham
  • Demang Lebar · Top commenter

    YA LAH! KADANG RAMAI DIKALANGAN DEMA NI LEBIH TERSERLAH SBG PAK LAWAK DARIPADA PAK USTAZ ,KADANG KADANG SOALAN YG DIKEMUKAKAN SEOLAH OLAH MACAM DAH DIRANCANG,DGN SOALAN SOALAN BERBAUR LUCAH ,DAN TAK MASUK AKAL,