Parenting Tips 30 : FALSAFAH KEJAR AKHIRAT DUNIA MENGIKUT?

00 akhirat dunia

Parenting Tips 30 : FALSAFAH KEJAR AKHIRAT DUNIA MENGIKUT?

Ramai sudah tahu ungkapan ini, tapi ramai juga yang tidak pasti dan berteka teki. Akhirnya polisi kehidupan yang besar dan mahal ini tidak ada erti sama sekali. Hanya semata-mata kita tidak memahami apakah logika atau sains guna disebalik ungkapan ini. Lalu kita tetap mengejar dunia meninggalkan akhirat. Akhirnya dunia juga kaput.

Kita semua sering menyeru agar sama sama kembali hidup berpandukan alquran dan sunnah. Itulah sarana akhirat, tapi ia terlalu umum dan kabur. Bagaimana harus kita mendekatkan diri kepada Allah melalui alquran dan sunnah?

Alquran itu diturunkan untuk memperbaiki akhlak manusia. Sunnah itu adalah susurgalur kaedah dan amalan perlaksanaannya. Nabi s.a.w. bersabda “Aku diutus untuk memperbaiki akhlak manusia”. “Akhlak nabi sendiri ialah alquran” kata Aishah isteri Baginda. Inilah dia laluan menuju AKHIRAT.

APA BEZA KITA DENGAN HAIWAN YANG DISEMBELIH DIDUNIA?

DUNIA itu jambatan akhirat. Jika Islam itu bermakna sejahtera, maka kita harus mampu mengecapi kesejahteraan itu di DUNIA hasil dari kepatuhan kita mengikuti sistem kehidupan agama ini. Barulah nanti kita yakin akan sejahtera di Alam Barzah sana.

Kita ini semuanya adalah satu spesis haiwan yang bernama manusia. Yang membezakan kita dengan haiwan hanyalah fungsi akal terhadap perintah agama. Tanpa pedoman dan pimpinan carahidup beragama, akan kekallah kita dengan ciri kehaiwanannya. Bapa akan rogol anak sendiri, yang besar akan tindih yang kecil, suami akan biarkan isteri bersosial dengan sebarang lelaki, tiada beza barang yang halal atau yang dicuri dan sebagainya.

Lahirnya kita semuanya jahil sepertimana haiwan juga. Kejahilan yang berterusan akan membuatkan kita terus menerus berperangai macam haiwan. Akhirnya segala bencana akhlak menimpa keluarga dan masyarakat kita, jahiliyah moden ini. Jika kita berkelana dalam kejahilan akan menyesatkan halatuju kita. Mengetuai keluarga dan negara dalam kejahilan akan menganiaya orang di bawah pimpinan kita.

APA ITU HAKIKAT AKHIRAT?

Bagaimana kita boleh mengejar akhirat jika akhirat itu sendiri kita tidak kenal? Kata pokok persoalan ini ialah AKHIR atau PENYUDAH. Itulah hari yang kita cari dan kejar. Hari perhitungan, hari pertimbangan, hari pembalasan dari hasil mengikuti aturan Allah..

AKHIRAT adalah hari di mana segala gejala kejahilan dan kerosakan akhlak masyarakat ini akan berakhir. Bagaimana ia boleh di akhiri? Itulah soalan yang berlegar di minda kita. Jawapannya ialah dengan meneliti dan mengikuti seluruh panduan yang telah Allah beri. Itulah panduan alquran dari Allah dan sunnah yang telah dilaksanakan nabi. Itulah ikutan yang dijamin nabi dalam khutbah terakhirnya di Arafah agar kita tidak sesat selama-lamanya.

PERANAN AKHLAK – SARANA AKHIRAT YANG MEMBANGUN DUNIA

AKHLAK adalah misi besar agama yang akan membezakan haiwan dengan manusia. Memperbaiki AKHLAK adalah tuntutan Allah untuk mengejar akhirat. Nabi junjungan kita telah menunjukkan contoh akhlak yang agung (KHOLQIN AZIIM) dalam misi meng-AKHIRI JAHILIYAH zaman baginda.

AKHLAK datang dari kata asas KHOLIQ (pencipta). Orang yang berakhlak adalah yang patuh kepada penciptanya. Ini kerana selaku Pencipta, baik apa saja ciptaannya pasti akan membekalkan aturan (RUBUBIYAH) atau manual untuk ciptaannya.

Dalam ayat pertama “IQRA’ BISMI ROBBIKA ALLAZI KHOLAQ”, Allah minta kita kaji dan fahamkan atas nama (..ism, ismu) Allah, apakah ATURAN (Rububiah) PENGATUR (Rabb) yang diperlukan untuk memperbaiki atau MENJADIKAN (kholaq) manusia.

Kerana itu, Kami ajar anak anak kami agar mengikut akhlak nabi semampu mungkin. Apabila akhlak sudah terbentuk, ia akan dengan sendirinya membentuk hasil yang baik di DUNIA ini.

Contoh amalan harian dalam soal patuh kepada pencipta (berakhlak) ialah kepatuhan kepada guru di sekolah. Anak kami sangat sayang guru dan pensyarah mereka, kerana di sekolah, merekalah pencipta dan pengatur anak-anak ini. Hasil DUNIA ialah mereka dapat kasih sayang dan perhatian, mereka dapat bimbingan dalam akademik.

Di rumah mereka sayang dan patuh kepada ibu bapa selaku pencipta dan pengatur hidup mereka. Yang kecil diajar mematuhi ketua mereka (abang atau kakak yang besar) yang membimbing mereka seharian. Hasil DUNIA ialah mereka saling disayangi, hidup teratur dan akademik berjaya (jika arahan ibu bapa untuk belajar dipatuhi) dengan akhlak itu. Tentunya ia bukan kerja sehari.

AKHLAK IKHLAS DAN HASILNYA DI DUNIA

IKHLAS adalah satu lagi contoh AKHLAK yang baik. Ia dari kata pokok KHOLAS atau berhabis-habisan dalam semua gerak kerja. Ia adalah satu tuntutan besar dari pencipta sebagai sarana mengejar akhirat. IKHLAS bukan dari kata bibir. Ia diukur melalui cara kerja kita. Sebab itu dalam surah IKHLAS tidak pun disebut perkataan IKHLAS. Ia diukur dari tumpuan kerja/amal, berbuat sepenuh hati untuk Allah yang SATU/ESA dengan mematuhi aturanNya tanpa berbelah bagi.

Bagaimana dunia akan mengikut dengan polisi IKHLAS?

Jika niat kerjabuat kerana Allah (Lillah), dengan Aturan/Rububiah Allah (Billah) biarlah dengan sempurna. Itulah IKHLAS. Melakukan kerja untuk kepentingan diri tanda tidak IKHLAS. Tidak mengikuti aturan yang diberikan sepenuhnya juga tidak IKHLAS. Tidak menghabiskan kerja yang diberi atau melakukannya dengan tidak bersungguh-sungguh juga tidak IKHLAS.

APABILA DISIPLIN ikhlas ini telah menjadi amalan, sudah pasti anak akan menjadi orang yang hebat dalam pelajaran dan kerjayanya. Itulah habuan DUNIA dari kejaran akhirat.

AKHLAK BERSUNGGUH-SUNGGUH & TIDAK MUDAH PUTUS ASA

Allah sangat bersungguh-sungguh dan tidak main-main dalam mendidik dan mengatur kita. Banyak sekali ayat yang sama Allah ulang berpuluh kali untuk menyedarkan kita.

Sebelum melakukan kerja, kami minta mereka berusaha tanpa jemu mencari ilmu dahulu. Supaya kerjabuat mereka tidak berteka-teki dan sangka-sangka.

Kami ajar anak-anak BERSUNGGUH dan jangan cepat putus asa dalam pencarian ilmu akhirat sebagai satu cabang AKHLAK, kehendak pencipta. Kami minta semua warga mengulang baca serta kaji alquran dan memahaminya. Kami minta mereka nyatakan kefahaman mereka dan cuba melaksana. Sekali salah atau gagal tidak mengapa, ulang lagi dan lagi. Yang penting jangan sekali-kali tinggalkan alquran dan sunnah yang telah diajarkan Nabi.

ALQURAN MINDED Itu antara akhlak besar yang ingin kami tanamkan. Alhamdulillah 6236 ayat alquran itu sudah mampu disusun puzzlenya untuk melakar GAMBARAN bagaimana MENCIPTA manusia, secara individu maupun kelompok masyarakatnya.

Terlalu banyak contoh-contoh mencipta kejayaan DUNIA melalui kaedah AKHIRAT yang Allah telah nukilkan dalam quran. Contoh-contoh lain bagaimana AKHLAK (sarana AKHIRAT) yang kita utamakan akan membantu pencapaian akademik (DUNIA) ialah,

• Dengar baik-baik dan perhati dengan tenang sewaktu belajar,
• Jangan banyak takwil (mengganggu) SEMASA pelajaran disampaikan.
• Tulis / notakan sendiri apa yang dipelajari sebagai perantaraan kefahaman.
• Taat perintah ibu bapa, orang tua, guru – itu memudahkan pembelajaran
• Belajar berjemaah, saling belajar dan mengajar.
• Belajar yang mudah dahulu,
• Selesaikan satu persatu dengan sungguh-sungguh,
• Spirit awalul (sentiasa menjadi golongan yang awal)
• Bersegera memenuhi perintah (penjelasan iftitah)
• Dan banyak lagi. Ada banyak ayat yang menetapkan akhlak itu.

KESIMPULANNYA – Biarpun kami tidak mendesak anak-anak ini mengejar degree, atau dapat 20A seperti kebanyakan ibubapa lain, yang jelas mereka juga menyerlah akademiknya di sekolah. Kesemua angkatan pertama anak-anak RPWP sedang belajar di Universiti. Ada yang mendapat CGPA 3.7 walaupun menyertai ROTU. Ramai yang dapat 5A UPSR, Mumtaz Sekolah Agama, Pemenang Anugerah EMAS – Anugerah Akademik dan Sahsiah Tertinggi peringkat sekolah dan sebagainya.

Falsafahnya mudah sahaja, apabila AKHIRAT berlaku, KIAMAT (KEBANGKITAN) pasti bersama. Kami hanya fokus pada AKHLAK selaku sarana akhirat. Ahlak yang baik itu akan menghasilkan komitmen pembelajaran yang baik. Hasilnya akan membuatkan anak kita bukan saja berjaya untuk diri sendiri, bahkan mampu berbakti kepada insan lain di dunia. Inilah misi RAHMATAN LIL ALAMIN.

Itu jugalah yang membuat hidup mereka di DUNIA ini bahagia laksana syurga. Itulah TIKET syurga mereka di AKHIRAT YANG KEKAL ABADI nanti InsyaAllah.

KUDAP KUDAP
Warga Prihatin