Baca dan kenali quran – Tak kenal maka tak cinta

00 kudap petang iqra
Baca dan kenali quran – Tak kenal maka tak cinta
Ketenangan hati akan terhasil apabila hidup kita dipenuhi dengan maklumat, ilmu pengetahuan yang dapat menunjukkan halatuju kehidupan yang jelas dan pasti. Kata-kata kita juga tidak mudah merapu, akan jadi berisi dan mudah difahami. Itulah suasana syurga. Semua itu hanya didapati dengan berbekalkan pedoman dari alquran. Minuman ilmu yang lazat dan segar, tidak memanaskan dan tidak memabukkan.

Tanpa memahami dan menyerahkan diri bertawakkal dengan petunjuk quran, kita akan sentiasa berada dalam keadaan tidak tentu arah. Emosi sering tergugat, kata-kata kita mudah merapu dan tidak jelas maksudnya. Hidup jadi resah dan apa sahaja kerja buat kita akan menemui kebuntuan dan kegagalan. Ini kerana ilmu yang kita minum selain dari quran dan hadis adalah bersifat panas dan memanaskan. Kadangkala minuman ilmu itu memabukkan kita. Itulah suasana neraka.

Surah 35. Faathir

32. Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan diantara mereka ada yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah karunia yang amat besar.

33. syurga ‘Adn mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka di dalamnya adalah sutera.

34. Dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan duka cita dari kami. Sesungguhnya Tuhan kami benar-benar Maha Pengampum lagi Maha Mensyukuri.

35. Yang menempatkan kami dalam tempat yang kekal dari karunia-Nya; di dalamnya kami tiada merasa lelah dan tiada pula merasa lesu.”

Dengan ilmu dan petunjuk yang jelas, kita jadi rajin dan tidak mudah lesu dan menyerah kalah. Pakaian sutera dalam environment syurga adalah analogi sistem kehidupan yang kita pakai. Ia sangat lembut dan selesa. Pakaian yang halus dan mengikut bentuk badan. Ia sesuai untuk segenap lapisan.

Itulah sistem kehidupan Islam yang harus dipakai untuk mendapatkan keselesaan, ketenangan dan kesejahteraan. Bukan cara hidup yang kasar dan kaku lagi hodoh di mata manusia.

Perhiasan kita dari emas yang berharga hasil galian bumi dan dari mutiara yang berkilau hasil enapan air laut. Itu nilaian dan keindahan hasil dari kepatuhan kita melaksanakan petunjuk quran dengan istiqomah.

Ya.. Kita harus istiqomah dan terus melaksanakan perintah Allah dengan sabar. Mutiara yang berkilau dan berharga itu terhasil dari enapan air laut yang masin, tersimpan dan terbentuk rapi dalam karang cengkerang pada jangkamasa yang cukup lama.

Emas juga harus di gali dan diayak didulang dengan sabar dan teliti. Di kumpul sedikit demi sedikit hasil galian itu sebelum dijadikan perhiasan. Bukanlah semua yang diceritakan itu boleh terhasil dengan semalaman atau setahun dua.

Kudap petang
Rabu 3 J.Awal 1435 (5 Mac 2014)