WAKIL DARI SEKOLAH CINA SUMBANGKAN BAJU MELAYU & TELEKUNG SOLAT.

RALAT : MAAF Kesilapan pada poster foto di atas, SMJK (CINA) bukan SMJK (China). Maaf atas kesilapan itu.

Ya, mereka adalah wakil pelajar-pelajar yang diwakili oleh ketua pelajarnya. Mereka hadir bersama guru-guru mereka yang juga bukan beragama Islam TETAPI yang uniknya mereka menyerahkan sumbangan Baju Kiring, Baju Melayu dan kain telekung solat orang Islam kepada kami sebagai satu tanda toleransi antara agama dan sesama bangsa.

Pagi khamis, 1 Ogos 2013 lalu RPWP dikejutkan apabila menerima kunjungan seorang GURU Penolong Kanan (Mr Chew), Cik Punitha, En Ravin (guru India) dan Ketua Murid Tingkatan 6 (Anakanda Wong), mewakili Guru-guru dan pelajar Tingkatan enam SMJK YU HUA untuk menyampaikan Sumbangan Baju Raya baru pelbagai rupa sempena Hari Raya Aidilfitri.

Guru Penolong Kanan: Mr Chew. Berasal dari Melaka. Beliau seorang yang amat disegani oleh anak murid. Sangat bersopan dalam berbual, tidak kekok apabila berada dalam masyarakat Melayu.

Atas semangat 1Malaysia, RPWP pernah membeli sebuah gendang 24 dan semasa dibawa melawat sekitar kompleks RPWP, anakanda Wong (ketua murid) yang juga merupakan ‘world champion ‘dalam pasukan gendang 24 (admin dah tengok bagaimana anakanda Wong performed di YouTube, ternyata sangat hebat pukulan beliau) ternampak gendang itu di sudut dewan. Beliau yang sangat berwatak mesra dengan sungguh-sungguh ingin mengajar anak-anak RPWP memukul gendang 24 jika benar-benar berminat. Malangnya kami Cuma ada sebuah dan team ini memerlukan 24 buah…

Menurut seorang guru pengiring, Pn Noraini yang mengajar di tingkatan 5 sekolah itu, para pelajar dan guru sekolah ini seringkali melakukan sumbangan seperti Hari raya begini. En Ravin pula merasa sama seperti Cik Punitha, iaitu gembira bila dapat sama – sama meraikan Hari Raya.

Pelajar Tingkatan 6 Aliran Sains sekolah ini adalah seramai 178 orang. 4 daripadanya adalah pelajar India dan tiada pelajar Melayu.

Mr Chew sangat tertarik dengan Dewan belajar, tempat anak-anak mencurahkan ilmu dan kreativiti. Beliau banyak juga mengambil gambar dan rakaman video rumah dan anak- anak. Difahamkan pihak sekolah ada page FB. Pihak pengetua menurut Mr Chew beria-ia untuk diambil gambar rumah dan anak-anak RPWP. Harapan BELIAU semoga hubungan ini berkekalan.

Nilai sumbangan, jenis sumbangan bukanlah sesuatu yang penting sangat untuk diambil kira, namun ROH dan semangat persaudaraan, persahabatan hidup bermasyarakat di sebalik sumbangan itu yang kami nilai tinggi. Perhatikan keakraban anakanda Wong dengan salah seorang anak kami yang cute, Ali Imran.

SEMANGAT 1MALAYSIA TIDAK SEKADAR SATU SLOGAN TETAPI SATU PERSAUDARAAN.

Kami sedar jurang perkauman masih menebal di negara kita, namun jika aktiviti sebegini di PERBANYAKKAN dengan tulus tanpa prejudis, semangat 1Malaysia yang hakiki tidak mustahil akan berlaku. Syaratnya parent, sekolah, kerajaan, ketua-ketua organisasi harus mulakan dahulu. Jangan harapkan billboard, iklan TV, logo di T-shirt dan satu-satu pihak saja yang beria-ia, sedangkan kita tidak ambil bahagian. Jika kaum-kaum di Malaysia ini mampu bekerjasama dan saling menyayang, anak cucu kita juga yang sejahtera. Oleh itu, ayuh gugurkan perkauman, Assobiyah. Itulah ajaran Islam, Itu pesan Nabi.

Alhamdulillah, kami bersyukur dengan apa yang ada, apa yang diberi dan akan terus berPUASA sehingga kesejahteraan keluarga, masyarakat dan Negara Malaysia jelas berlaku.

Terima kasih sekali lagi. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin. Hati-hati memandu, kami sayang anda LIKERS Warga Prihatin dan mendoakan keselamatan perjalanan anda semua.

Ucapan Syukur
WARGA PRIHATIN.