EN DIN – UNSUNG HERO YANG TERLANTAR
Kumpulan pertama anak-anak RPWP bergegas ke Senawang menziarahi Bapa Angkat mereka yang terbaring kesakitan sebaik saja menerima berita sedih itu. Suasana pilu menyelubungi bungalo mujahid yang amat disayangi ini sebaik saja anak-anak tiba. Beliau ini telah berkorban harta dan diri bertahun-tahun lamanya namun kini terlantar akibat kesakitan. Perkarangan rumah dipenuhi rumput dan lalang, pokok-pokok bunga layu dan seakan-akan terbiar.
EN. KHAIRUDDIN MD. NOR
Sebelum RPWP ditubuh dan dibangun secara berdikit-dikit melalui kerja gotong-royong pada tahun 2005 dahulu, beberapa co-founders telah berhabis-habisan dalam segala segi. Mereka berhabis harta dan berkorban diri, melabur masa dan tenaga untuk pembinaan RPWP.
Mesra dipanggil Baba Din atau Cik Din, adalah seorang dari mereka. Beliau adalah pengusaha stesen minyak Petronas di atas bukit Lavenda Height, Senawang, Seremban. Keuntungan perniagaan beliau disalurkan untuk memenuhi kekurangan apa saja yang dihadapi oleh RPWP, samada untuk membeli tanah, bahan binaan atau mencukupkan perbelanjaan bulanan bilamana saja ada keperluan.
Isteri beliau Cikgu Zuriaty (Mama Ti) pula mengalami penyakit LELAH dan darah tinggi yang agak serius. Namun begitu beliau dan anak-anak beliau kesemuanya turut mewakafkan diri secara sepenuh masa sebagai tenaga pengajar anak-anak dengan sukarela sejak awalnya. Setiap malam mereka datang untuk melakukan tugasan masing-masing. Setiap hujung minggu atau cuti umum, hanya di RPWP lah tempat mereka menghabiskan tenaga.
Cik Din yang memang telah mengidap sakit tulang sejak 2005 belakang telah beberapa kali terlantar di wad hospital akibat kesakitan itu. Tahun lalu beliau terlantar dan telah menjalani satu pembedahan di HUSM Kubang Krian setelah dirujuk oleh Hospital Seremban.
Sepanjang 8 tahun bersama, beliau turut melakukan kerja berat sebagai buruh kasar walaupun tidak diminta kerana tidak sampai hati melihat rakan lain bekerja. Sepertimana co-founders yang lain, beliau tidak mengira kedudukan sebagai usahawan, berlumpur, berpanas melakukan kerja berat secara sukarela demi menjayakan projek membangun anak bangsa. Sewaktu pembelian kren baru-baru ini, beliau adalah antara penyumbang utama yang mencukupkan pembayarannya.
TETAPI sejak bulan lepas beliau sukar bergerak dan sering keluar masuk wad. Kes beliau dirujuk ke HUKM namun tiada kesan positif. Sebelum Aidil-Adha lalu beliau menjalani rawatan tradisional di Kelantan namun masih tiada perubahan.Sewaktu malam raya beliau solat atas kerusi kerana tidak mampu duduk bersila lagi (lihat gambar)
PAGI TADI beliau diberitakan tidak mampu bangun kerana terlalu sakit sehingga mengalir air mata. Kaki menjadi kebas dan hanya terbaring kerana masalah slip disk yang sangat kritikal. Kini beliau sudah hampir hilang upaya dan terlantar di rumah tidak mampu bangun. Makan minum dan urusan kada’ hajat juga atas kerusi.
Menurut doktor, hanya kurang 20% lagi untuk saraf tunjangnya terhimpit penuh dan melumpuhkan beliau secara kekal. Pada masa yang sama, khidmat bakti beliau masih ditagih anak-anak Prihatin. Perniagaan Stesyen Petronas beliau juga sangat diperlukan untuk menampung kos bulanan dan pembangunan RPWP.
JIKA ADA DIANTARA ANDA SENDIRI ATAU KENALAN ANDA SEORANG DOKTOR YANG MAMPU UNTUK MEMPERCEPATKAN RAWATAN BELIAU ATAU MUNGKIN ANDA BOLEH TAG ATAU SHARE KEPADA MEREKA, MUNGKIN BABA DIN BOLEH DISELAMATKAN.
Allahyarham Khairi baru saja pergi menghadap Ilahi meninggalkan kami. Ramai tenaga kerja ko-founder yang lain sudah menghidap berbagai penyakit yang serius disana sini. Kami rasa tidak sanggup kehilangan mereka buat masa ini, kerana terlalu banyak kerja dan tugas yang perlu kami laksanakan sendiri untuk membela nasib anak-anak asnaf, anak yatim dan membangun watan pertiwi…
Gambar gambar ini diambil oleh kumpulan pertama anak-anak yang datang menziarahi Baba Din mereka. Masing-masing menyaksikan sendiri bagaimana setiap malam dan hujung minggu Baba Din dan Mama Ti datang berbakti di RPWP sahingga mengabaikan rumah sendiri. Kawasan bungalo beliau dipenuhi rumput dan lalang. Lalu mereka ambil inisiatif membersihkan kawasan sebelum pulang.
Alhamdulillah kami bersyukur atas sikap keprihatinan yang mereka warisi.