SEJARAH PAS DAN PENGUASAAN KERAJAAN KELANTAN

Kelantan-Bn-Pas

PAS berjaya menguasai kerajaan negeri Kelantan melalui pilihan raya pertama selepas merdeka pada Ogos 1959 dengan memenangi 28 daripada 30 kerusi DUN. Profesor Zulkifli Muhammad selaku Timbalan YDP PAS Pusat yang menang di Parlimen Bachok telah berjaya menjadi salah seorang ahli Parlimen pembangkang yang paling disegani oleh kawan dan lawan.

Sebagai pembangkang di Persekutuan kerajaan negeri Kelantan sepanjang masa menghadapi cabaran dan diskriminasi kerajaan Persekutuan yang dikuasai UMNO bersama-sama parti komponannya yang membentuk Perikatan.

PAS Kelantan juga turut mengalami cabaran kepimpinan ekoran wujudnya perselisihan dan percanggahan sesama sendiri. Akhirnya, PAS Kelantan tidak mampu bertahan dan kerajaan Persekutuan menerusi kuasa-kuasa yang ada telah memagerankan kerajaan Kelantan pada tahun 1977.

Pilihan raya negeri Kelantan secara khusus telah diadakan pada Mac 1978. PAS hanya menang dua kerusi dan menjadi pembangkang di Kelantan. UMNO telah menguasai kerajaan dengan bersama-sama parti Berjasa serpihan PAS.

Era kebangkitan semula pengaruh PAS Kelantan berlaku selepas pilihan raya umum 1982. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat tampil sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan sekaligus sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. Kepimpinan PAS peringkat nasional berubah daripada kepimpinan tradisi nasionalis kepada kepimpinan ulamak. Akibatnya, sekali lagi PAS melahirkan parti serpihan, HAMIM.

Pilihan raya 1982, PAS memenangi 10 kerusi dewan negeri namun, lima daripadanya telah menyertai Hamim. Kemudian pada pilihan raya 1986, PAS masih memenangi 10 kerusi dewan negeri.

Hasil kepimpinan ulamak, hala tuju tarbiah disusun semula. Ustaz Yahya Othman berganding dengan TGNA melaksanakan kuliah untuk masyarakat umum dan usrah untuk Pemimpin PAS. Hasilnya kefahaman dan fikrah perjuangan semakin mantap.

PAS menang besar di pilihan raya 1990 kerana berlaku krisis dalaman UMNO Pusat dan BN Kelantan. PAS Kelantan telah berkerjasama dengan parti Semangat 46, serpihan UMNO yang dipimpin Tengku Razaleigh bin Tengku Hamzah.

PAS telah mendapat kekuatan berganda melalui kerjasama Angkatan Perpaduan Ummah (Semangat 46, Berjasa dan Hamim). PAS kembali menguasai kerajaan negeri Kelantan apabila kesemua 39 kerusi DUN dimenangi (25 – PAS, 12 Semangat 46, 1 – Berjasa, 1 – Hamim).

Kejayaan itu terganggu seketika bila mana Semangat 46 dilanda krisis lalu dibubarkan pada tahun 1996. Banyaklah gangguan daripada bekas pemimpin Semangat 46 yang telah kembali menyertai UMNO.

PAS Kelantan berjaya melepasi ganggu-gugat daripada usaha pecah-belah di antara kepimpinan kerajaan Negeri dengan Institusi Istana dengan begitu baik sekali. Prestasi pilihan raya 1999 terus melonjak dengan memenangi 41 daripada 43 kerusi dewan undangan negeri.

Kemenangan menguasai kerajaan negeri Kelantan untuk penggal ke 3 ini dibayangi kekuatan Barisan Alternatif (kerjasama PAS, DAP, Keadilan dan PRM) yang diterajui PAS di peringkat nasional. Kejayaan itu berterusan dalam pilihanraya seterusnya hingga kini.