Salam Maulidurrasul.

00 MAULUDAlhamdulillah selesai sudah perlaksanaan ritual sambutan Maulidur Rasul yang menjadi ‘kewajiban’ bagi umat kita zaman ini. Indah sekali pelbagai uniform baju melayu yang diperagakan dalam perarakan di merata-rata tempat. Berkayu-kayu gulungan kain pelbagai rupa warna serta kain-kain ‘samping’ dan tudung berbagai jenis dan kualiti. Berbagai-bagai rupa sepanduk dan hiasan perarakan yang berbagai rupa juga telah dapat kita saksikan pagi semalam.

Alhamdulillah berbagai juadah rohani dan jasmani disajikan kepada jemaah yang turut hadir meraikan majlis dan program sambutan di sana sini. Banyak makanan dan minuman disajikan. Banyak juga ceramah, qasidah, nasyid dan hiburan keagamaan yang dijadikan halua telinga dan santapan minda.

Pakaian ala arab kelihatannya telah menjadi trend yang diterima ramai saat ini. Semua pentas dihiasi dengan kumpulan berpakaian jubah dan serban. Sesetengahnya dengan selempang kain, samada batik, pelekat atau serban. Sampai penceramah di Majlis yang kami hadiri semalam menyindir fenomena ini.

Seluruh negara cuti, tidak bekerja untuk memberi peluang kepada program sambutan ini. Pejabat tutup semua. Yang nak baharui cukai jalan, yang nak bayar bill setempat, yang mengajar dan belajar, yang nak sembur nyamuk Aedes dan banyak lagi tugasan biasa telah dihentikan sehari, sempena Maulidurrasul.

MISI RASUL

Apa yang ingin kami tekankan dalam rencana ini ialah apakah ciri penting yang menjadi agenda atau misi Rasulullah, yang membuatkan Allah mengutuskan rasul untuk kita? Sila perhatikan dari ayat-ayat dalam gambar hiasan yang di paparkan kerana misi ini terpapar jelas di situ.

Perhatikan 3 ayat yang sama dalam 3 surah yang berbeza. Satu saja perbezaan yang dapat di lihat dalam satu dari ayat-ayat itu iaitu yang diletakkan dalam surah 48, al-Fath ayat 28, iaitu WAKAFA BILLAHI SYAHIIDA (DAN CUKUPLAH DENGAN ALLAH MENYAKSIKAN). Selain itu semuanya sama sahaja.

KUNCI KERASULAN

Fatihah itu adalah ibu atau inti kesimpulan quran. Ia dipanggil Fatih (pembukaan). Itulah kunci pembuka quran yang membuatkan kita mampu memahami segala hazanah dalam ayat-ayat, surah-surah, juzuk-juzuk dan segala bahagian yang ada dalam quran itu. Pengalaman kami membenarkannya. Tanpa mengaitkan mana-mana ayat dengan Fatihah, agak sukar kita mencari maksud asas ayat-ayat Allah.

Kunci membawa fungsi pembuka (fatih) dan pengunci (ikatan/akidah). Tanpa memiliki kunci, kita tidak akan dapat membuka sesuatu hazanah yang terkunci. Setelah kita memiliki hazanah, kita harus mengunci diri dan hati pula agar sentiasa terikat dengannya dan agar ia tidak hilang dari kita. Itulah falsafah di sebalik kunci.

Begitu juga dengan kunci bagi ketiga-tiga ayat berkaitan kerasulan itu. Ia merujuk kepada,

1. Allah (Dia) YANG MENGUTUSKAN Rasul – Segala-galanya KERANA DIA, bukan dengan kehendak, atau suka-suka para rasul sendiri. Itulah perintah yang datang dari sang Pencipta segala-galanya.

2. Rasul diutus DENGAN HUDAN (PETUNJUK) – Ini membuatkan semua para Rasul bertindak dengan panduan ilmu, bukan dengan kehendak sendiri. Ia jauh berbeza dengan kita sekarang.

3. DIEN AL HAQ – Agama yang paling benar. Kebenaran itu kerana kualiti petunjuk yang Allah bekalkan. Yang menjadikan cara hidup (Dien) lain menjadi batil dan terbatal, menjadi gagal dan tidak mampu mensejahterakan kita adalah kerana ia dibuat atas dasar sangkaan manusia.

4. DIZAHIRKAN – maksudnya dimenangkan dan ditonjolkan berbanding segala fahaman, segala cara hidup (dien) yang ada di atas mukabumi semuanya. Jika ilmu dan manual yang benar yang digunakan, pasti kejayaan dapat ditonjolkan. Kerana itu dien yang hak akan pasti mampu timbul, menang, menonjol dan apa sahaja istilah yang ingin kita gunakan untuk menzahirkan kemenangannya. Namun semua itu memerlukan GERAK KERJA dan PERLAKSANAAN yang strategik dan tersusun. Fungsi pengaturan itu jugalah yang diusahakan oleh Rasululullah saw.

5. KEHENDAK SYAHADAH MELAWAN TENTANGAN DAN KEBENCIAN – sepertimana sunnah Nabi yang menerima tentangan itu di peringkat awal, maka jika kita mulakan semula langkah baginda dalam situasi di mana manusia sudah kembali jahil ini, maka pengalaman yang sama juga bakal kita tempuhi. Ini kerana kejahilan telah membuatkan yang batil itu seakan fitrah, sedangkan ia hanya menjadi fenomena amalan yang sekadar lumrah dan kebiasaan bagi golongan yang telah kembali MUSYRIK sahaja. Kerana itu Nabi s.a.w. bersabda, di akhir zaman, di mana umat telah kembali jahil, agama yang hak akan menjadi PELIK atau ASING sekali di mata umum.

6. CUKUPLAH ALLAH SAKSI – di sini pentingnya kita bertawakkal. Jika kita MELAKSANA DAN MENGERJAKAN dengan pasrah, berserah diri kepada sistem dan strategi Islam, pasti Allah akan penuhi hasilnya, sehingga Allah, rasul dan orang-orang mukmin dapat menyaksikannya. Itu konsep syahadah. Itulah falsafah MUSLIM atau BERSERAH DIRI pada ISLAM melalui KERJABUAT, bukan SEKADAR CAKAP-CAKAP saja.

Dan Katakan: “BEKERJALAH kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan MELIHAT pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu KERJAKAN.” (QS 9. At Taubah 105)

LANGKAH/STRATEGI NABI MEMBANGUN AGAMA

Untuk tidak memanjangkan coretan ini, ingin kami kongsikan dapatan kami melalui PENGALAMAN PERLAKSANAAN. Dari kedudukan surah pada tiga ayat yang sering dipetik dalam majlis maulid ini, ia memberikan strategi yang tepat kepada kerja-kerja pembangunan memenangkan, menzahirkan, dan menonjolkan Islam di mata dunia.

LANGKAH PERTAMA : AT-TAUBAH (AYAT 33)

At-Taubah adalah satu-satunya surah yang tidak dimulai dengan BISMILLAH dalam Musyhaf alquran. Banyak penceramah yang memberi pelbagai alasan yang sangat membingungkan tentang ‘ketiadaan’ BISMILLAH dalam surah ini.

Dalam kupasan surah al-Kahfi TV3 baru-baru ini, ustaz jemputan mengatakan tiada Basmallah pada surah at-Taubah itu kerana surah itu menyatu dengan surah 8, al-Anfaal. Jika ada Bismillah maka ia tidak menampakkan penyatuan itu. Itu yang difahami oleh para ulamak katanya.

Dalam ceramah umum, yang ditayangkan berulangkali di Astro Oasis pula, selamba saja seorang ustaz bekas penyanyi Rock mengatakan surah ini diturunkan semasa perang, jadi Allah sibuk dan terlupa atau tidak sempat menurunkannya. Atau mungkin nabi lupa mencatitnya. Wajarkah kita sebagai hamba tergamak mengatakan Allah itu pelupa? Atau alquran yang begitu besar dan berdaulat boleh menjadikan nabi lupa mencatitnya? Selemah itukah? Selalai itukah Allah dan nabi dalam memartabatkan alquran?

Tidakkah ustaz ini tahu yang selain Bismillah itu pernah turun kepada Nabi Sulaiman, ia telah diturunkan sekali gus bersama 7 ayat dalam Fatihah, dan itulah satu satunya? Ulangan di surah-surah lain itu adalah sekadar letterhead atau peringatan kepada pembaca sewaktu ia dimusyhafkan, iaitu agar pembaca memasangkan Basmallah dan menolak regim syaitan (bertakwuz) sebelum membaca quran.

Jadi, ingin kami kongsikan bahawa jika kita masih tidak mahu BERTAUBAT, tidak sanggup menolak regim dan fahaman jahat syaitan, maka kita tidak layak berBasmallah. Tanpa Basmallah, jangan harap kita akan mampu membawa misi Fatihah dan seterusnya memahami serta memartabatkan seluruh isi kandung alquran.

Secara strateginya, pastikan kita telah MEMBERSIHKAN DIRI dari segala kekotoran hati dan minda kita untuk bertawakkal kepada Basmallah, untuk berbuat atas nama Allah, dengan faham dan perintah Allah. Sila lihat semula sains fatihah jika anda belum membacanya.

http://prihatin.net.my/web2/2013/08/13/sains-di-sebalik-bismillah/

LANGKAH KE2: AS-SAF (AYAT 9)

Selepas kita membersihkan diri dari dosa lalu, bertaubat dengan taubatan nasuha, kita dituntut berhijrah dengan sebenar-benarnya. Tidak lagi dibolehkan kita mencampur adukkan yang hak dengan yang batil. Hijrah ini harus dibuktikan dengan pembuktian jihad dengan harta dan diri. Dalam berjihad dan menjadi golongan yang dicintai Allah ini maka kita dituntut untuk membentuk satu saf, jemaah yang teratur dan merapatkan diri dalam saf itu.

QS: 9. At Taubah

11. Jika mereka bertaubat, mendirikan sholat dan menunaikan zakat, maka adalah saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui.

20. orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri mereka, adalah lebih TINGGI DERAJATNYA di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.

102. Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampurbaurkan pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang.

Hari ini ramai yang banyak bercakap, pandai berceramah namun tiada pembuktian dari segi gerak kerja. Ironinya, fenomena AMALAN dalam kamus ORANG KITA juga masih dalam bentuk lafaz bibir semata-mata tanpa memahaminya. Akhirnya apa yang kita kata tidak dikota. Tanpa kita sedar, amalan yang kita sangka Allah suka itu rupanya menjadi satu kebencian yang amat besar di sisi Allah pula.

QS: 61. Ash Saf,

2. Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

3. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.

4. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berjuang dijalan-Nya dalam saf yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.

LANGKAH KE3 : SURAH 48, AL-FATH (KEMENANGAN) AYAT 28

Inilah natijah kemenangan apabila kita berjaya mengikuti JEJAK RASUL, iaitu bekerja atau beramal menggunakan hudan dan pedoman tentang Dien yang hak ini untuk bertaubat dan meneruskan proses peningkatan darjat amalan kita SECARA BERJEMAAH. Biarpun pada peringkat awalnya kita dibenci seperti yang diterangkan tadi.

Apabila bukti kebaikan hasil dari melaksanakan semua sistem Islam, yakni Dien yang hak itu telah dapat disaksikan manusia, maka tiada lagi perlu kita takut. Yakinlah bahawa semua insan di muka bumi ini ingin hidup sejahtera. Jika kita berjaya tampilkan, perlihatkan kesejahteraan itu, tidak sukar untuk mereka menerima petunjuk Allah ini. Yang membenci juga akan ikut tunduk untuk turutsama menerima dan mengamalkannya. Mengapa? Ya kerana mereka juga ingin sejahtera.

Yang menjadi kekalutan kita kini ialah kerana semua yang bercanggah pendapat itu hanya sekadar berhujjah, melontar dan mendebatkan ilmu tanpa bukti kejayaan perlaksanaan dalam diri dan kelompok mereka pun. Ironinya, jika fenomena BERJEMAAH atau SAF ini dijadikan kunci pembuka dan pengunci minda untuk kekal berprinsip dengannya, kebanyakkan yang berdebat itu rata-rata menampilkan kapasiti peribadi. Mereka sangat individualistik biarpun datang dari sebuah jemaah. Inilah satu penafian, satu pendustaan terhadap ayat-ayat Allah yang seharusnya menjadi satu KETETAPAN yang telah dibukukan dalam KITABULLAH.

KESIMPULAN

Anak-anak kami bersama beberapa pengiring telah menghadiri satu majlis sambutan Maulidurrasul di sebuah masjid semalam. Antara isi ceramah ialah menempelak kita yang tidak kenal Allah namun beriya-iya ingin mempertahankan kalimah ALLAH. Kita juga banyak berbuat, beramal tanpa ilmu dan faham.

Pada masa yang sama terpaksa meninggalkan rumah yang dihadiri oleh 53 insan berhati suci dari sebuah kilang sempena cuti hari maulid semalam. Mereka datang untuk melakukan kerja bakti membina dan mengemas kompleks RPWP bersama sukarelawan sepenuh masa. Yang pakar dalam pendawaian telah membantu kerja pendawaian. Alhamdulillah penghawa dingin dan beberapa lampu telah terpasang untuk memberikan keselesaan anak-anak belajar, juga memudahkan bapa-bapa berkerja. Yang pandai menukang membaiki stor untuk memudahkan kami menyimpan barang. Yang pandai memasak ikut membantu ibu-ibu menyediakan sajian sukarelawan yang bekerja. Yang lain ikut menyapu dan membersihkan kawasan.

Yang manakah lebih mampu membangunkan Dien yang Hak ? Silalah jawab dalam hati..

Ceramah, perarakan serta segala perbelanjaan untuk perarakan Maulid seperti jamuan, nyanyian, pakaian, sepanduk dan sebagainya ? cuti maksiat, bertudung sehari dan buka semula esoknya?

Ataukah gotong royong oleh tetamu dari kilang itu? Atau pengumpulan dana untuk membina masjid? Membela si miskin,yatim dan asnaf? Atau bina sekolah dan apa saja sarana berkaitan buat mendidik generasi dengan Pembelajaran Islam Sepanjang Hayat seperti saranan Allah dan Rasul?

Iqra’ Maulid
WARGA PRIHATIN