Sains Fatihah #5 : Iyyaka nakbud waiyyaka nasta’in
Applied Science di sebalik “IYYAKA NAKBUD WAIYYAKA NASTA’IN”
(Hanya pada Mu kami mengabdi & hanya padaMu kami mohon pertolongan)
Prinsip diri dan praktik harian hidup kita hasil perlaksanaan yang tepat akan perintah Allah dalam ayat 1 hingga ayat 4 akan mampu membawa iktikad yang tertinggi untuk meletakkan Allah di tempat tertinggi dalam kalbu kita (ibarat Raja, Malik). Secara langsung kita akan merasai yang Allah menguasai hidup kita dalam dalam setiap urusan kehidupan harian (Ad-Dien) pagi dan petang. Sila rujuk Fatihah 1-4 di www.prihatin.net.my (kami rungkaikan Al-Fatihah ayat demi ayat untuk kita kenali mengapa Al-Fatihah itu seperti sebuah Al-Quran).
BAGAIMANA MENGABDI ?
Setelah itu secara automatik, kita akan merasakan diri kita amat kerdil di sisi Allah dan sanggup melakukan apa saja titah perintahnya. Itulah tahap pengabdian yang diperintahkan oleh Allah dari kita.
Setelah kita benar benar meletakkan diri sebagai pengabdi (Abid, Ubudiah) Allah, maka itu akan melayakkan diri kita untuk minta tolong apa saja HANYA dariNya. Meminta tolong HANYA dari Allah juga adalah sebahagian dari BUKTI yang kita benar-benar MENTAUHIDKAN ALLAH, mengakui kebesaran & kehebatanNya. Maksudnya, pengabdian kita akan terbatal, jika masih tergamak meminta tolong SELAIN dari Allah.
Sebenarnya, apabila maqam pengabdian tertinggi berjaya kita capai, kita sendiri sudah tidak ada selera untuk memohon selain daripada Nya. Kita akan merasakan petunjuk Allah itu PALING HEBAT & MENYELURUH. Segala permasalahan kita akan kita rujuk kepada Allah dengan penuh yakin dan rendah diri.
Al-Quran itu sendiri secara keseluruhannya ialah rangkaian pertolongan-pertolongan Allah yang telah diturunkan kepada Nabi untuk menangani segala (kami ulangi…SEGALA-GALA) permasalahan di atas muka bumi ini. Tetapi hari ini, kita jarang sudi nak membaca kitab ini. Kita lebih suka minta tolong dari konsultan yang dibayar berjuta untuk mengajarkan kita sesuatu yang mereka juga secara tidak langsung telah cedoknya dalam Al-Quran. Bagaimanakah kita nak jadi pengabdi yang baik jika pertolongan Allah yang sudah dikitabkan hanya kita baca pada bulan puasa atau pada malam Jumaat surah yang sama sahaja.
APA BENTUK PERTOLONGAN YANG ALLAH SEDIAKAN & BAGAIMANA?
Hakikat yang harus kita sedar ialah bahawa pertolongan yang akan Allah berikan HANYALAH berupa HIDAYAH & PETUNJUK (akan dijelaskan di fatihah 6). Jadi isi doa & permohonan yang kita harapkan dari Allah juga berupa petunjuk sahaja. Bekerja dan berusahalah dengan mengikuti petunjuk dan hidayah yang Allah berikan dengan tepat dan kita akan mendapat hasil nyata darinya. Bukanlah sekadar doa-doa dan mengharapkan keajaiban berlaku. Jika ditembak dengan M16 di kepala masih tetap bocor juga kepala tu walaupun kita baca Al-Fatihah banyak kali. Allah berikan hidayah dan petunjuk, tugas kita untuk LAKUKANNYA.
Di dalam alqur’an, Allah sarankan agar kita meminta tolong hanya dalam solat dan doa. Bahkan solat itu juga adalah satu kaedah doa,
Surah 2. Al Baqarah 153. “Hai orang-orang yang beriman, kamu mohonlah pertolongan dengan kesabaran dan solat; sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar”.
Kelak akan kami kongsikan sedikit hasil kajian dan praktik kami sekarang, iaitu bagaimana solat itu mampu menjadi sarana meminta tolong. Agak terlalu panjang namun waktu ini kami hanya meminta anda merenung & memahamkan hakikat kesemua 13 rukun dalam solat yang setiap satunya mengandungi unsur pendidikan & petunjuk tersendiri dalam aturan hidup harian yang sangat mensejahterakan bagi seorang Islam. Pertolongan paling besar selain dari unsur biologi, ialah sudut Psikologi & Sosiologi, kesan hidayah dalam keberkesanan pembangunan diri, keluarga, masyarakat & negara.
KAITAN PINTU & ISI RUMAH – IBU & ISIKANDUNG KITAB.
Perhatikan dari firman di atas di mana Allah telah membuka jalan (fateh) untuk kita meminta tolong dariNya dalam Fatihah (surah pembuka), namun kaedah meminta tolong secara detail itu ada disediakan dalam Al-Qur’an. Inilah yang dikatakan Fatihah itu PEMBUKA pintu (surah pembuka) dan IBU KITAB, kerana segala isikandung yang ada dalam quran itu akan terkait secara lansung dengan al-Fatihah. Seperti membaca bahagian “Kandungan” dalam setiap buku, cerita lanjut, kenalah buka dan telaahlah kitab itu. Kitab yang tidaklah setebal Novel cinta “Budak Setan Trilogi” karangan Ahadiat Akashah yang mampu anda baca berterusan dan khatam dalam 1 hari.
(Nantikan bagaimana dapat kita kaitkan sains praktik dalam solat (yang mana Fatihah menjadi BACAAN WAJIB), yang terkait dengan kaedah meminta tolong & doa ini).
Contoh
- Jika kita menghadapi masalah hidup, katakanlah isteri kita nusyuz atau anak kita derhaka, maka kita pohon petunjuk dari Allah bagaimana harus kita selesaikan masalah itu. Setelah mendapat petunjuk, kita ikutlah petunjuk itu dengan tepat dan hasilnya masalah itu akan terlerai.
- Jika kita ingin mengusahakan sesuatu, contohnya ingin mendapat anak yang soleh dan membahagiakan. Kita pohon petunjuk bagaimana kejayaan harus kita capai, contohnya bagaimana harus kita menyiapkan diri agar mampu mendidik anak yang bakal lahir dengan sempurna. Kelak Allah akan kurniakan petunjuk bagaimana kita harus usahakan hajat kita itu dan InsyaAllah jika kita ikut petunjuk itu dengan tepat kejayaan akan kita capai.
- Kami beri contoh lebih tepat dari pengalaman membangun RPWP. Contohnya ketika kami mencari hidayah terbaik bagaimana membangun Warga Prihatin sebagai anak-anak permata negara, persoalan seperti berapakah sais jemaah co-founder & pekerja yang sesuai untuk memulakan projek ini, lalu kami dapati jawapannya dalam alQur’an (jawabnya 20 orang – surah 8 ayat 65).
Begitulah kesemua persoalan kami yang lain di tunjukkan oleh Allah melalui penelitian alQuran sebagai tanda Allah menolong kami mencari jalan keluar dari sebarang kebuntuan. INI TELAH MEMBUATKAN KAMI MENJADI TERLALU MINAT & SAYANGKAN ALQURAN? ANDA BAGAIMANA?
Raya kita sebulan bukan? jadi masih ada peluang untuk KEMBALI FITRAH dengan sungguh-sungguh meletakkan Allah benar-benar sebagai RAJA yang MERAJAI jiwa kita SETIAP HARI dalam amalan hidup BERAGAMA dengan agama Allah ini. Penuhilah titah perintah Allah, RAJA kita itu, banyakkan mohon ampun dan merendah diri sebagai HAMBA, ABID, UBUDIAH Allah serendah rendahnya.
SETELAH itu Allah beri tawaran, bahkan perintahkan kita untuk meminta pertolongan iaitu berupa hidayah, petunjuk, rujukan HANYA DARINYA sahaja, janganlah kita menyombong diri dengan meraba raba mencari hidayah dari wall facebook, dari bomoh, dari buku buku barat dan sebagainya. Itulah fitrah HAMBA terhadap RAJANYA, PENCIPTA & PENGATURNYA. Sebab Allah pasti murka & kecewa jika tawaran sebesar itu tidak kita hargai dengan meninta tolong darinya, apatahlagi menduakanNya dengan meminta rujukan dari selain Dia.
Jika anda masih belum dapat tangkap lagi maksud penjelasan di atas, abaikan saja, kerana kami sekadar berkongsi apa yang kami alami dan rasai setelah mendapat hidayah itu. Mungkin kami masih belum mampu menjelaskan apa yang sedang kami RASAI & FAHAMI dengan tepat. Itu kelemahan yang kami akui dan kami alu-alukan tokok tambah dari pengalaman anda pula (yang bernas saja, bukan copy paste sana sini yang menambah pening kepala).
INSYAALLAH akan kita sambung perkongsian iqra’ dengan ayat lain dalam FATIHAH agar benar-benar minda kita TERBUKA (FATEH) dan berminat untuk meneliti sains gunaan al-Qur’an KESELURUHANNYA.
Silalah LIKE, TAG, SHARE sebagai sumbangan amal anda mengajak manusia mendekatkan diri kepada ALLAH. Boleh juga anda download foto berkapsyen ini dan letak di header fb / blog anda untuk mudah memberi peluang fikir & zikir kepada yang lain.
Selamat Hari Raya EidulFitri, Maaf zahir batin.
Hasil IQRA’
WARGA PRIHATIN