Saiful Nang Travelog Haji – 3

Saiful Nang Travelog Haji – Hari Ke-3
00 tl 3
Hari ini sempat saya bertugas untuk merakamkan foto-foto candid pelanggan saya di ruang dalam masjid. Memang fotografi adalah larangan besar dalam masjid tetapi nampak gaya ia sudah ada kelonggaran bagi kamera-kamera kecil. Lalu saya bawa beberapa kamera kecil yang hebat untuk kerja-kerja itu. Anda sendiri boleh lihat siaran langsung dari Masjidilharam bagaimana berkelicap lampu-lampu denyar kamera di sana sini.

Sebelum ini saya banyak menceritakan tentang keganasan Jemaah haji dari Indonesia yang menggunakan formasi kayak jentera penyodok tanah untuk mara menghampiri Hajarulaswad. Sesiapa sahaja di laluan mereka akan ditolak ke hadapan atau ke tepi.

Beberapa hari ini, saya berkesempatan melihat mereka ini di tempat Saie pula. Saya lihat mereka ini agak kasar dan itu negatif tetapi dari sudut pandang yang lain, saya lihat mereka KUAT kerana mereka sangat bersatu. Benar mereka bersatu untuk kepentingan kelompok mereka tetapi mereka berjaya juga kerana penyatuan itu.

Dalam satu ketumbukan Jemaah mereka terdapat sekitar 100-200 orang sekali jalan. Jemaah haji Malaysia biasanya dalam kumpulan sekitar 20-30 orang sahaja. Itupun apabila sampai tempat Saie dah tinggal 10 orang (paling ramai).

200 orang Jemaah berarak bersama dengan mutawwif yang sehebat Sultan Al-Fateh jeritannya. Semasa bertalbiah, boleh kedengaran gema suara mereka di lapangan tawaf. Semasa di laluan Saie juga, mereka menguasai ruang bunyi dan juga ruang lalu.

Saya sempat berkenalan dengan sebahagian mereka semasa saya melalui kawasan-kawasan mereka berehat di lantai dua masjid. Saya bertanyakan mengapa Jemaah dari Indonesia sangat bersatu. Jawapan ringkas yang mudah untuk saya fahami ialah, jika mereka terpisah dari ketumbukan mereka, ongkos untuk mereka pulang ke hotel sangat tinggi. Mereka tidak datang ke Mekah dengan telefon bimbit yang ada kad sim tempatan, mereka hanya dipimpin oleh mutawwif mereka sahaja. Ada yang datang tanpa wang saku. Jika ada wang saku itu hanya cukup-cukup membayar dam.

Dari sisi yang lain, saya pula lihat Jemaah-jemaah kulit hitam dari Negara-negara Afrika juga tidak kurang hebatnya. Semasa Saie, mereka seakan sebuah ketumbukan perang yang laju, sihat, pantas dan lantang suaranya.

Dalam hati, saya terfikir yang mereka ini semua dari negara yang miskin. Kerana kemiskinan itu mereka bersatu. Tidak pula saya lihat negara kaya yang memiliki jemaah menyatu sebegitu.

Satu lagi hujjah saya kutip. Kita bersatu apabila susah dan kesenangan membuatkan kita menjadi terlalu berdikari sehingga kita tidak memerlukan sesiapa. Kesusahan membuatkan mereka saling bergantungan antara satu sama lain dan kekal bersatu.

Cerita di hadapan mata saya membuat saya memikirkan bagaimana dahulu Nabi dan sahabat-sahabatnya yang kaya raya melucutkan kekayaan mereka dan sama-sama meletakkan segala kekayaan itu dalam satu system Baitulmal. Sahabat yang kaya tetapi memilih menjadi fakir itu hanya bergantung kepada baitulmal untuk segala keperluan. Itu juga satu faktor penyatuan dalam Islam.

Catitan perjalanan

SAIFUL NANG
Makkatul Mukarramah