Raya yang Hilang.
Selamat Hari Raya semua. Sedar tak sedar dah habis bulan puasa dan dah masuk raya kedua dah. Semalam ada yang slim selepas sebulan puasa berjaya turun 2 saiz, hari ni dah terbukti ada yang naik balik 3 saiz. Makan usah dikiralah, hari raya sinonim sangat dengan MAKAN. Kita juga tak mahu orang label Islam ini agama makan.
Marilah kami kongsikan sedikit hasil iqra kami tentang fenomena raya yang tak sepatutnya terjadi tetapi sedang berleluasa terjadi di kalangan umat Islam sekarang. Sebelum itu mari kita lurut apa yang telah terjadi dahulu dan sekarang.
DAHULU
Lelaki Bujang : Raya ialah hari untuk tayang kereta baru, ranggi dengan sport rim 17 sambil-sambil cari gadis untuk jadi teman wanita.
Perempuan Bujang : Raya ialah hari menunjuk baju baru, dan susuk tubuh menawan dengan busana ketat terbungkus umpama lepat.
Lelaki Dewasa Berkahwin : Masa untuk jumpa kawan-kawan lama dan tengok rancangan Khas TV raya.
Perempuan Dewasa Berkahwin : Masa untuk bergossip tentang kawan-kawan lama dan tengok rancangan Khas TV raya.
Orang-orang tua : Untuk update siapa lagi yang belum meninggal dunia.
Kanak-kanak : Kutip duit raya di semua tempat yang mereka ziarahi.
SEKARANG
Lelaki dan perempuan yang muda, bujang atau berkahwin juga termasuk kanak-kanak semuanya SIBUK DENGAN GADGET mereka. Semua berkumpul tetapi mata pada tablet dan smartphone masing-masing. Hanya yang tua-tua masih kekal dengan aktiviti mengumpulkan senarai nama-nama rakan yang telah meninggal.
Jika diamati dalam-dalam, semasa zaman kanak-kanak kita dahulu kita merasa senarion sebelum ini pun sudah tidak sesuai untuk meraikan hari raya tetapi rupanya, ia tidak menjadi lebih baik pun. Zaman berubah, makin hilang silaturrahim antara satu sama lain.
Kita lupa tujuan mengapa kita pulang ke kampung halaman agar kita ini tidak mengira siapa kita, apapun gelaran kita, berapapun banyak duit dalam bank, apa sahaja jenama kereta, apapun kerjaya kita kita tetap pulang untuk lihat asal usul kita. Lihatlah selut yang kita berkubang semasa kecil dahulu. Lihatlah pokok yang kita panjat dahulu, lihat juga parit dan kali tempat kita mengail sepat dan puyu. Itu semua akan membuatkan kita tunduk dengan asal-usul kita yang sering dilupakan apabila hidup kita berubah.
Jika dulu memegang selut seperti satu nikmat keriangan kanak-kanak, tapi sekarang adakah kita menjadi lebih mulia dari itu? Sepanjang tahun yang penuh cabaran, kita sering tersasar dari fitrah dan kembalinya kita kepada fitrah itu ialah satu kembalian kepada asal usul yang baik ataupun fitrah yang baik. Lihat siapa ibu kita, siapa ayah kita dan ambil iktibar sempena hari raya. Bukan sekadar pulang untuk sibuk di hadapan tablet dan telefon pintar masing-masing.
TIGA TAKBIR
3 takbir dilaung menyambut Syawal. Mengapa 3 kali diulang-ulanginya. Takbir itu ialah perbuatan meng”akhbar” kan Allah (membesarkan). Hanya Allah sahaja yang berhak takbur kerana kita mentakbirkan Allah. Apakah yang kita takbirkan? apa yang kita besarkan? Jika ia hanya alunan suara mentakbir tanpa kita kenali maksudnya, apakah beza takbir itu dengan alunan muzik modern yang tidak bermakna apa-apa sekadar sedap di telinga sahaja?
Takbirkanlah tauhid-tauhid Allah. Takbir Ubudiah (pengabdi Allah), Takbir Mulkiah (Wilayah Allah) & Takbir Rububiyah (Perlembagaan Allah). Periksa balik dalam keluarga kita dahulu adakah telah kembali fitrah 3 takbir besar ini? Tidak ada Islam tanpa salah satu dari komponen tauhid Allah ini.
Periksa dahulu jika rumahtangga kita telah ada atau belum rububiyah ataupun aturan-aturan mengikut mahunya Allah? Atau kita hanya membiarkan rumahtangga kita menggunakan apa-apa sahaja aturan luar yang main rasa-rasa sahaja? Jika belum…apakah yang kita takbirkan?
Periksa juga adakah aturan kita itu telah ada tempat perlaksanaannya? Adakah rumah kita berjaya menjadi 1 dari mulkiah-mulkiah Allah? Adakah rumah kita sudah seperti syurga amannya dengan perlaksanaan rububiyah Allah tadi? Jika belum, sila periksa semula aturan milik siapa yang kita guna di dalam rumah kita sendiri?
Periksa juga, adakah keluarga yang kita pimpin sudah benar-benar mengikut aturan Allah? aturan keluarga mengikut spesifikasi Quran & SUnnah? Jika belum…pasti tiada syurga dalam rumahtangga itu.
Adakah telah kita akhbarkan Rububiyah (Aturan / Perlembagaan), Mulkiyah (Tempat / Wilayah) dan Ubudiah (Pengabdi)nya?
Jika belum, mungkin kita perlu habiskan keraian raya kita cepat-cepat untuk kita teruskan bekerja kuat sehingga kita mampu melaksanakan aturan Allah (Rububiyah) dalam rumah kita (mulkiyah) di kalangan ahli keluarga kita (ubudiah) yang akan menghasilkan satu sistem rumahtangga yang hebat acuan Allah.
Mulakannya dalam keluarga kita dahulu. Kembalikan keluarga kita kepada fitrah yang Allah mahukan…barulah kita berhak BERAYA SAKAN.
Salam Aidilfitri
WARGA PRIHATIN.