Rakaman Latihan Nasyid Untuk Persembahan Istana di hadapan DYMM YDP AGONG

00 montage_agong0_1Gambar terkini DYMM RAJA PERMAISURI AGUNG yang telah Bertudung Alhamdulillah.

Beberapa hari yang lalu RPWP didatangi oleh wakil DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong untuk melihat kemampuan persembahan anak-anak RPWP. Istana berminat untuk memberi penghormatan kepada anak-anak RPWP membuat persembahan eksklusif dalam majlis rasmi sambutan hari keputeraan DYMM Seri paduka Baginda Raja Permaisuri Agung pada 8 Disember ini.

Ketibaan mengejut Y.Bhg Dato’ Najib dan isteri disambut dengan paluan kompang dan alunan selawat. Di dalam dewan dipersembahkan dua nasyid bertajuk “Ampuni Kami” dan “Baraqollah” secara ad-hoc. Kebetulan hari itu anak-anak padat dengan program luar. Mereka terpaksa dipecahkan kepada 3 kumpulan untuk memenuhi 3 jemputan berasingan.

Persembahan santai dan ad-hoc itu rupanya telah memikat hati beliau. Rakaman dari set hand phone beliau ditunjukkan kepada DYMM YDP Agung lalu baginda berkenan untuk mendapatkan persembahan kompang, selawat mengiringi keberangkatan masuk vvip ke dewan majlis di ballroom hotel Shangrila nanti. Untuk persembahan telah diperkenankan lagu ampuni kami dan baginda menitahkan satu lagi lagu khusus kegemaran baginda iaitu lagu ‘Tolong Kami Bantu Kami’ yang dipopularkan oleh allahyarham Tan Sri P Ramli.

Beberapa hari lepas itu pula anak-anak keletihan kerana sibuk membuat persiapan dan telah ikut serta dalam lawatan kemanusiaan ke Manong. Sambil memenuhi pelbagai undangan lain, dapatlah juga anak-anak berlatih secara intensif sehari dua sekembalinya mereka dari Manong. Khasnya mempersiapkan lagu permintaan khas dari baginda.

Dalam menjaga air muka anak-anak yatim dan asnaf, kami tidak pernah mengeksploitsi mereka untuk mengutip derma dari masyarakat. Walaupun ramai yang menawarkan agar kami sediakan tabung di restoran, masjid atau stesen minyak seperti rumah-rumah amal lain, namun kami tidak tergamak melakukannya. Jauh sekali untuk menyuruh anak-anak kami bertebaran merata tempat awam menjual tisu atau surah yasin bagi mengutip derma.

Azam kami ialah melakukan yang terbaik dengan kemampuan sendiri kerana Allah. Jika ada yang terasa ingin turut serta biarlah mereka lakukan dengan penuh kesedaran dengan menilai pengorbanan dan usaha kami serta menyumbang untuk kami meluaskan lagi skop dan skala kebajikan yang telah kami lakukan.

Sesungguhnya setelah hasil usaha kebajikan itu dapat dilihat kejayaannya, terutama apabila akhlak anak-anak didikan kami telah menyerlah di sana sini, pastinya ramai yang ingin tampil membantu dengan harapan mereka juga turut mendapat pahala. Bahkan ramai juga yang ingin menitipkan anak-anak mereka untuk turut dibina sahsiahnya di RPWP. Untuk itu kami tidak boleh menghalang sumbangan dari orang ramai yang berhasrat untuk sama-sama turut beramal sedekah melalui wadah yang telah kami sediakan.

Atas dasar itu anak-anak pada mulanya enggan menyanyikan lagu tolong kami bantu kami. “Bukankah kami tidak diajar untuk meminta-meminta, bahkan kami diajar untuk saling menolong insan lain“, ujar anak-anak kami. Namun kami terpaksa nyatakan kepada mereka, kita ini hamba rakyat yang taat dengan Rajanya. Walaupun kita tidak meminta untuk diri kita, tidak menjadi salan jika kita meminta bagi pihak lain kerana masih ramai lagi anak-anak yatim dan asnaf di luar sana yang memerlukan bantuan.

Kelmarin Y.Bhg Dato Najib datang lagi dengan seorang rakan kongsi beliau yang turut sama terlibat dengan pengurusan majlis ini untuk melihat perkembangan persiapan persembahan anak anak. Alhamdulillah beliau katakan kesemua persembahan yang ditunjukkan depan beliau ini sudah cukup baik, semuanya termasuk kompang, selawat dan nasyid. sudah macam langit dengan bumi bezanya dengan persembahan dari rumah anak yatim yang dijemput tahun tahun sebelum ini kata beliau… Subhanallah. Kami tidak berani komen kerana kami tidak pernah ikuti program mereka.

Ada beberapa perkara yang ingin kami kongsikan di sini. Pertamanya rakan Dato Najib pernah datang ke rumah ini 4 tahun dahulu atas urusan pembelian kayu. Beliau memang telah bertekad untuk membawa anak-anak rumah ini membuat persembahan di majlis DYMM Sultan Kedah atas Jemputan Yayasan Sultanah Haminah. Apabila diberitahu oleh Dato Najib untuk melihat persiapan persembahan di rumah ini beliau seakan tersungkur sujud kerana memang itu keinginan beliau sejak 4 tahun dahulu.

Keduanya kami mohon jika ada pembaca yang ada menyimpan salinan lagu asal nasyid lama ini agar dapat berikan linknya kepada kami agar kami dapat melatih anak anak dengan lagu asal. Setakat ini anak-anak menggunakan muzik yang dimainkan secara kasual dengan peralatan yang ada di rumah ini.

Sebagai buah tangan kami paparkan rakaman sewaktu latihan tersebut. Semuga dapat mengisi jiwa kita pagi ini. Mohon doakan agar anak-anak kami mampu menyentuh hati mereka untuk menjadi pemimpin yang lebih tawaduk dan prihatin, InsyaAllah.