Penduduk bantah bina kolam tadahan air
SERDANG – “Kami bantah sekeras-kerasnya projek pembinaan kolam tadahan air di sini,” demikian tegas kira-kira 50 penduduk ketika mengadakan protes membantah pembinaan kolam takungan di bawah pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Serdang Jaya di sini, semalam.
Dakwa penduduk, banyak lagi kaedah dan cadangan lain boleh dilaksanakan oleh pihak berkenaan bagi menyelesaikan masalah banjir di Serdang Jaya.
Sebelum ini, cadangan tersebut pernah diutarakan namun penduduk kecewa suara mereka tidak didengari malah pihak berkenaan membuat keputusan membina kolam tidak sampai 500 meter dari jarak rumah diduduki mereka pula.
Wakil penduduk, Aswan Kudus berkata, apa yang mengecewakan pihaknya apabila tiada perbincangan dibuat dan pihak berkenaan hanya mengadakan pertemuan dengan beberapa penduduk yang tidak tahu apa-apa mengenai pelaksanaan projek tersebut.
Katanya, bagi memberi laluan projek dilaksanakan, struktur tambahan dipasang di belakang rumah kira-kira 200 penduduk pula terpaksa di roboh.
“Ini bukan soal kerugian ditanggung penduduk sahaja tapi membabitkan keselamatan kerana kolam dibina di bawah menara pencawang elektrik.
“Dulu sini kawasan lombong, kemudian ditambak sebelum dinaikkan perumahan, bayangkan apa akan jadi bila ada kolam air bawah pencawang. Apakah jaminan pihak tersebut kepada keselamatan penduduk?” katanya.
Javani Md Dom, 60, pula mempersoalkan rasional pembinaan kolam takungan air di kawasan yang memang sering banjir sebelum ini.
Kawasan perumahan itu katanya, akan lebih kerap banjir kerana air berkemungkinan akan melimpah ke rumah penduduk jika tak dapat ditampung kolam, kelak.
“Tiada fungsi bina kolam itu, kawasan ini rendah, jika ada kolam makin banjirlah kawasan ini. Siapa perunding yang merancang projek ini? Kenapa tak bincang dulu dengan penduduk?” katanya.
Penduduk, Mariam Shaari, 59, berkata, dia bimbang menara pencawang tumbang menyembah bumi setelah wujudnya kolam tadahan di situ.
Dia turut berasa hairan kerana projek itu dibenarkan sedangkan ketika penduduk mohon untuk menanam pokok di situ, TNB tidak memberi kelulusan kerana bimbang akan wujud air dalam tanah.
“Mengapa pilih tempat ini untuk bina kolam. Kenapa masa ada loji berdekatan dulu ditimbus dan dibangunkan sedangkan itu adalah punca banjir,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Puchong, Datuk Mohamad Satim Diman yang menerima aduan penduduk berkata, kolam itu tidak perlu dibina sebaliknya pihak berkenaan seharusnya membesarkan sistem perparitan sedia ada.
Katanya, ada cara lain bagi menyelesaikan masalah banjir itu namun pihaknya kesal kerana cadangan alternatif dihantar penduduk tidak diterima pakai sebaliknya kaedah menyusahkan penduduk pula diambil.
“Bila buat projek ini, ada struktur belakang rumah penduduk akan di roboh dan mengapa mengambil keputusan yang menyusahkan penduduk.
“Fikirkan cara lain, saya boleh tunjukkan bagaimana nak selesaikan masalah banjir di sini,” katanya.
Beliau berkata, punca banjir di Serdang Jaya adalah kerana pihak berkenaan meluluskan pembangunan di tapak loji kumbahan yang ditimbus selain tidak menyelenggara sungai serta sistem perparitan dengan sempurna.
“Kalau projek diteruskan juga, penduduk akan terus membuat bantahan,” katanya