PARENTING TIDBIT – TUNJUKKAN ANAK KEBAKTIAN KEPADA IBU BAPA

00 alfatihah

PARENTING TIDBIT – TUNJUKKAN ANAK KEBAKTIAN KEPADA IBU BAPA

Alhamdulillah, minggu lepas Warga Prihatin berjaya mendapatkan unit bas yang pertama. Ia dibeli dengan bantuan Syarikat Candid Syndrome yang dimilikki oleh Saiful Nang dan hasil sumbangan Wakaf Bas dari beberapa pembaca.

Isnin lepas, sehari selepas bas yang dibeli diserahkan kepada kami, kami mendapat berita kematian Allahyarham Pak Usu Haji Ahlan Bin Abdul Rahman. Beliau adalah bapa saudara kepada Dr Haji Masjuki, Pengasas RPWP yang telah dijadikan datuk angkat dan ikon insan prihatin yang masih hidup kepada anak-anak RPWP. Banyak jasa dan nasihat Pak Usu yang telah dinampakkan sebagai pelajaran kepada anak-anak selama ini.

Sebaik saja menerima berita sekitar jam 3 petang, kami bergegas mempersiapkan anak-anak, termasuk yang masih berada di sekolah ketika berita diterima. Kami segera berangkat ke Muar untuk membantu pengkebumian. Oleh kerana kematian berlaku di hospital dan semua anak-anak Pak Usu sudah berada di situ, maka jenazah dipersiapkan di hospital dan selesai dikebumikan sebelum maghrib itu juga.

Rombongan yang telah siap untuk membantu upacara pengkebumian tidak berkesempatan kerana rombongan terpaksa berhenti 20 minit bagi membolehkan anak-anak yang berpuasa hari itu berbuka. Namun sebaik saja tiba, anak-anak terus mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil. Kami pula harus segera berangkat pulang kerana jam 7 pagi esoknya kami terpaksa berangkat menghadiri jemputan khas majlis Maulid di Petaling Jaya.

Ada sedikit cerita menarik yang ingin kami kongsikan. Seperti biasa, anak-anak Prihatin tidak kami didik untuk mengutamakan juadah bila bertandang. Kami bergerak dengan bekalan yang cukup, terutama dalam kes kecemasan seperti ini. Pihak tuan rumah katakan yang mereka merasa bersalah kerana tidak menyiapkan juadah bagi anak-anak yang datang dari jauh dan bertahlil. Kami katakan itu tidak langsung kami harapkan, kami sangat memahami keadaan sulit menghadapi kematian dan anak-anak telah terdidik tentang itu.

Dalam perjalan pulang, kami berhenti di sebuah warung tepi jalan di Bakri dan memesan makanan untuk anak-anak buat alas perut sebelum meneruskan perjalanan. Alhamdulillah. Tidak kami sangka Allah tunjukkan sifat pemurahNya dengan menggerakkan hati pemilik Lan Tomyam & Seafood untuk tidak mengambil bayaran atas makanan dan minuman yang kami pesan. Mungkin mereka simpati kerana kami hanya memesan separuh sahaja dan sebahagian lain menghabiskan bekalan buka puasa yang tidak sempat dimakan waktu berhenti rehat awal tadi. Semuga Allah berkati sedekah jariah mereka.

Semalam genap seminggu pemergian arwah Pak Usu. Di samping doa harian yang tidak putus-putus, anak-anak turut mendoakan dalam tahlil khas malam jumaat dan majlis tahlil dalam program ziarah kemanusiaan di rumah nenek Rom, Melaka baru baru ini. Semuga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diterima segala amal dan diampuni segala dosanya.

PEMBELAJARAN ALAM MENDIDIK ANAK MENGHARGAI ORANG TUA

Menerangkan alquran dan sunnah yang mereka baca bersandarkan asbab dengan membawa anak berjalan, bekerja dan bermasyarakat adalah lebih mudah. Apabila mereka memahami secara alami / pengalaman, mereka akan dapat menghayatinya dengan baik. InsyaAllah mereka akan mampu menghidupkan ilmu melalui penghayatan yang bersandarkan pengalaman dan perlaksanaan kepada yang lain dengan mudah dan yakin.

Inilah yang kami maksudkan dengan ‘Pembelajaran Alam’ dalam usaha kami memenuhi tuntutan ‘Pengajian Islam Sepanjang Hayat’. Yang penting adalah keseriusan kita selaku murobbi kepada anak-anak ini untuk menampakkan apa saja pelajaran sepanjang perjalanan itu.

Sebelum kita mampu menerangkan kepada mereka samada melalui penjelasan kalam atau pemerhatian alam, para murobbi sendiri harus mampu menunjukkan uswah. Kami harus memperlihatkan akhlak dan adab bagaimana menghormati serta menghargai orang tua melalui cara berkomunikasi dan berinteraksi.

Setiap anak-anak akan diminta memberikan apa saja pelajaran yang dapat mereka kutip di sepanjang perjalanan. Mana yang kurang akan kami tambah agar mereka lebih jelas. Semua bukti keistimewaan dan kebaikan yang bersesuaian dengan Islam pada ikon Prihatin dari kalangan insan-insan yang diziarahi akan kami singkap untuk mereka ambil contoh tauladan.

KEPENTINGAN BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA DALAM ISLAM

Islam memerintahkan umatnya untuk berbuat baik kepada ibu bapa. Antaranya ialah firman Allah yang bermaksud,

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa.” (Al-Nisa: 36)

Katakanlah: ” Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh TuhanMu kepadamu, iaitu janganlah kamu sekutukan Allah dengan sesuatupun; dan hendaklah membuat baik kepada ibubapa.” (Al-An’am:151)

Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah Mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa 30 bulan.” (Al-Ahqaf : 15)

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa dalam kes tertentu, berbuat baik kepada ibubapa malah lebih utama daripada berjihad di jalan Allah sepertimana dalam hadis berikut ini,

Dari Abdullah bin Mas’ud – Aku bertanya kepada Nabi SAW: ”Perbuatan apakah yang paling dicintai oleh Allah? Beliau menjawab: ”Solat tepat pada waktunya”, kemudian aku bertanya: ”Kemudian apa lagi?” Beliau menjawab: ”BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA ”, aku bertanya: ”Kemudian apa lagi? Beliau menjawab : ”Al-Jihad fi Sabilillah.” ( H. R Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, seorang lelaki yang meminta izin berjihad kepada Rasulullah SAW, lalu baginda berkata: ” Adakah salah seorang daripada ibu bapamu masih hidup?” Berkata lelaki itu: ”Ya, keduanya masih hidup,”Rasulullah SAW berkata: ”Adakah engkau menginginkan pahala yang besar daripada Allah?” Menjawab lelaki tersebut: ”Ya,” Rasulullah SAW berkata: ”Maka kembalilah kepada ibu bapamu dan berbuat baiklah kepada keduanya. ( H. R Muslim)

Namun begitu, Allah melarang kita mentaati ibu bapa sekiranya ia melibatkan perkara mungkar. Allah nukilkan dalam surah Al-Ankabut : ayat 8

Jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereke.”

BAGAIMANA MENDIDIK ANAK BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA

Kunci terbaik untuk tujuan ini ialah kepimpinan melalui tauladan. Apa sahaja pendidikan yang kita usahakan untuk anak-anak kita bakal kembali kepada kita. Jika kita tunjukkan uswah dan didik anak-anak kita menghormati orang tua, kelak mereka akan menghormati dan mampu membahagiakan kita. Itulah suasana syurga bagi seorang warga emas dan itulah yang bakal menghidupkan kemurnian agama berteraskan akhlak dalam masyarakat.

Sabda Rasulullah SAW : “Berbuat baiklah engkau kepada bapamu, maka kelak anak-anakmu akan berbuat kepadamu, dan berlaku jujurlah, kelak isteri-isterimu akan berlaku jujur padamu”. (HR Al-Thabrani, Aisyah dan lain-lain)

Diriwayatkan bahawa seseorang telah berkata: ”Wahai Rasulullah apakah hak ibu bapa daripada anak-anaknya?” Rasulullah SAW berkata: ”Keduanya adalah kunci syurga dan nerakamu.” (HR Ibn Majah daripada Abu Imamah)

Perintah mentaati ibubapa juga banyak dinukilkan dalam quran. Perhatikan bagaimana KESABARAN dan KETAATAN Nabi Ismail a.s. ketika menjawab permintaan bapanya untuk menjalankan perintah Allah bagi menyembelih beliau.

Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” (Al-Shafat : 102)

BAGAIMANA BERBAKTI KEPADA IBUBAPA SELEPAS KEMATIANNYA

Selaku anak yang soleh, tanggungjawab berbakti membalas jasa ibu bapa tidak terbatas sewaktu hayatnya sahaja. Sabda Nabi SAW : ”Apabila telah meninggal anak Adam, maka terputuslah sekalian amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.”

Banyak cabang kebaktian yang boleh kita lakukan selepas ketiadaan mereka. Antaranya ialah doa, sedekah, puasa, haji, membayar hutang, memenuhi janji atau nazar mereka yang kita maklumi dan belum tertunai. Selain itu memuliakan kerabat terdekat mereka juga dituntut.

DALAM HAL MEMULIAKAN KERABAT IBUBAPA – isu arwah Pak Usu ini ada kaitannya. Kami didik anak untuk melaksanakan perintah hadis berikut, iaitu agar kita BERBUAT BAIK KEPADA KERABAT karib ibu bapa setelah kematiannya. Ia juga boleh menghapuskan dosa.

Diriwayatkan seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: ”Wahai Nabi aku telah berbuat dosa besar maka adakah aku dapat bertaubat daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: ”Adakah engkau mempunyai ibu?” Lelaki itu menjawab: ”Tidak.”
Rasulullah berkata: ”ADAKAH IBUMU MEMPUNYAI SAUDARA PEREMPUAN?” Lelaki itu menjawab: ”Ya.” Rasulullah SAW berkata: ’Maka BERBUAT BAIKLAH KEPADANYA.” (HR Tirmizi daripada Ibnu Hibban)

Riwayat yang menguatkan pentingnya silaturrahim ini adalah bahawasanya Nabi SAW memerintahkan untuk berbuat baik kepada emak saudara apabila ibu telah meninggal dunia. Nabi SAW adalah orang yang memuliakan saudara perempuan Khadijah setelah beliau meninggal sebagai contoh berlaku baik kepada emak saudara.

DALAM HAL SOLAT DAN PUASA untuk arwah ibubapa, ada beberapa hadis yang terkait. Antaranya ialah,

HR Darul Qutni: ” Sesungguhnya sebahagian daripada kebaikan setelah meninggal dunia adalah menyolatkannya dan berpuasa untuknya

Dari sumber yang sama disebutkan: ”Sesiapa yang meninggal dan atasnya kewajipan puasa, maka walinya wajib menggantikannya” (Hadith muttafaq alaih daripada Aishah).

HR Ibnu Umar meriwayatkan, “Bahawasanya beliau telah diperintah oleh Rasul SAW bagi sesiapa yang kematian ibunya, maka hendaklah disolatkan”.

MENGENAI HAJI DAN HUTANG, seorang perempuan dari Juhainah datang menghadap kepada Rasul SAW dan berkata: ”Sesungguhnya ibuku bernazar untuk pergi haji namun dia tidak dapat menunaikannya sehinggalah dia meninggal dunia, apakah aku dapat menghajikannya?” Rasul SAW berkata: ”Berhajilah untuknya, bukankah engkau ketahui jika ibumu memiliki hutang, maka kamu wajib melunasinya? Maka tunaikanlah kerana Allah yang berhak menentukannya.” (HR Bukhari daripada Ibnu Abbas).

DALAM SOAL DOA & SEDEKAH, disebutkan bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasul SAW: ”Sesungguhnya bapaku telah meninggal dan meninggalkan banyak wang dan tidak mewasiatkan apa-apa, apakah apabila aku mendermkannya dapat menghapuskan dosa-dosanya?” Rasul SAW menjawab: ” Ya,” (HR Muslim dan Ahmad – daripada Abu Hurairah).

Firman Allah, ”Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka, dan mendoalah untuk mreka. Sesungguhnya doa kamu itu ketenteraman bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (At-Taubah : 103)

Memberi makan atau membina tempat ibadah, sekolah dan perkumpulan sosial berunsurkan Islam dikatakan lebih afdal. Ia mampu mengekalkan ganjarannya selama mana sarana hasil sumbangan itu masih digunakan.

Para Sahabat berkata: ”Hendaklah orang yang bersedekah meniatkan sedekah untuk ibu bapanya sesungguhnya Allah akan menyampaikan pahala sedekah tersebut kepada keduanya dan tidak mengurangi pahala untuknya sedikitpun.”

”Dan orang-orang yang datang sesudah mereka, mereka berdoa: ”Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman: Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.”(Al-Hasyar : 10)

KESIMPULAN

Kita perlu didik anak-anak kita melalui sumber kalam. kemudian bawalah anak kita berjalan melihat bukti alam, jelaskan asbab dari apa yang disebut oleh kalam tadi. Tunjukkan kepada mereka contoh baik dan buruk agar mereka boleh membuat perbandingan dan mengikuti apa yang baik dengan jelas dan yakin.

Sewaktu kembara dan bertandang, beri mereka petunjuk tentang sistem hidup yang harus mereka pakai, termasuk disiplin berpakaian yang indah bersopan, akhlak berkomunikasi dan berinteraksi serta adab makan minum. Kawal mereka agar tidak berkeliaran sepanjang perjalanan dan bertamu.

Ajarkan mereka untuk membawa diri dengan akhlak, adab dan disiplin SEBAGAI TETAMU, SEBAGAI ANAK yang menghormati tuan rumah, orang tua dan sebagainya. Itulah SISTEM HIDUP yang dianalogikan sebagai PAKAIAN. Kebatilan harus mereka makan dan kebaikan harus dijadikan sumber ilmu, ibarat minuman lazat yang harus mereka minum. Namun ajar mereka agar tidak berlebih-lebihan, kerana itu adalah amalan syaitan dan Allah tidak menyukainya.

QS 7. Al A’raaf 31. “Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan, Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan”.

Kudap parenting
WARGA PRIHATIN.