MALAYSIA NEGARA ‘KAMI’ BUKAN ‘KAMU’

 

MALAYSIA NEGARA ‘KAMI’ BUKAN ‘KAMU’


Dari dahulu sampai kini
Jauh sudah kita menjelajah bumi
Jauh kita belajar dan memerhati
Pelbagai peradaban dan mencari pekerti 

Hujan emas di negeri orang
Hujan batu di negeri sendiri
Yang cantik molek milik orang
Walaupun hodoh itulah saudara sendiri

Akuilah, Malaysia ini negara kita
Kembalikanlah semangat mencari merdeka
Tak kira Melayu India mahupun Cina
Tak kira bangsa, budaya dan agama.

Itulah semangat nenek moyang terdahulu
Itulah penyatuan yang tidak mengenal bulu
Itulah perjuangan dengan matlamat yang satu
Itulah pengorbanan mereka untuk anak cucu…

Islam bukanlah agama penjajah
Islam bukanlah agama rasuah
Islam bukanlah agama yang murah
Islam agama terbaik dan menjadi uswah

Malaysia bertuah ini negara kita
Tempat kita sama-sama berusaha
Dari yang buruk menuju seruan Yang Esa
Dari porak peranda menjadi sejahtera

Ini negara tumpah darah kita…

Jika buruk, cantikkanlah
Jangan hanya sekadar berkata..

Jika kotor bersihkanlah
Bukan sekadar tutup hidung saja..

Jika rosak, baikilah
Bukan hanya cekak pinggang dan meminta minta,

Jika kurang lengkapkanlah
Buka sekadar mengharap jasa..

Ini tempat kita…
Ini tempat anak-cucu kita
Ini tempat akhlak ditempa
Ini tempat tokoh dicipta..

Carilah jalan membantu pemimpin kita
Biar siapapun dan apa parti politik mereka 
Rapatkan saf dan satukanlah tenaga
Hentikanlah fitnah dan adu domba..

Tangan mereka mungkin sudah penuh..
Kadang terlepas pandang 
Bukannya kerana mereka pengotor.

Tangan mereka mungkin penuh…
Terkadang yang buruk tak sempat dibaiki
Bukan kerana mereka suka keburukan.

Fikiran mereka mungkin kusut…
Banyak masalah dan diasak kemelut
Kerana itu kadangkala mereka juga kalut.

Mana yang silap kita betulkan
Mana yang salah kita maafkan
Mana yang terlupa kita ingatkan
Mana yang jahil kita ajarkan..

Mana yang bongkak kita tinggalkan saja..

Itulah Pemimpin yang tidak amanah dan gila kuasa
Itulah Pemimpin yang hanya tahu mengumpul harta
Itulah Pemimpin yang tidak perdulikan nasihat rakyatnya
Itulah Pemimpin yang membiarkan marhaen sengsara…

Wahai pemimpin sedarlah kalian semua…

Hidup ini tidaklah lama… 
Esok lusa ke liang lahad juga kita
Semua perbuatan bakal ditanya
Adakalanya bukan di kubur, tetapi di dunia…

Banyakkanlah muhasabah, kurangkanlah propaganda
Banyakkanlah beristighfar kepada yang Maha Esa
Apabila terlantik, sebelah kaki sudah di neraka..
Rasuah dan pecah amanah perbuatan paling hina.

Tiada manusia yang tiada khilaf…
Hentikanlah budaya menuding jari..
Gantikan dengan budaya meminta maaf..
Jika mahu dihormati dan disayangi..

InsyaAllah sekalian rakyat akan terbela
InsyaAllah negara akan aman sejahtera 
InsyaAllah kemurnian Islam akan ketara
InsyaAllah Malaysia akan unggul di mata dunia

Yang sejahtera dan mensejahterakan itulah ISLAM
Itulah kehendak al-Kholiq untuk sekalian isi alam
ITULAH SYURGA DUNIA DAN DARUSSALAM

Itulah impian kita semua…
Untuk Malaysia negara tercinta

WARGA PRIHATIN