Mahathir: Siapa arah bunuh Altantuya?

12:11PM – 2 Apr 2015 – MALAYSIAKINI

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kenyataan Sirul Azhar Umar bahawa dia hanya menjalankan arahan ketika membunuh Altantuya Shaaariibuu harus disiasat.Mahathir berkata, perkara itu melibatkan nyawa manusia dan “amatlah zalim” jika Sirul dibiar menjalani hukuman mati hanya kerana menjalankan arahan.

 

“Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan.”Sebagai pengawal peribadi Datuk Sri Najib (Razak), dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan.“Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul ‘merepek’, tidak ada siasatan yang dibuat,” katanya.

Menulis di blognya, Mahahthir juga membangkitkan sebuah “skandal” kapal selam dengan pembunuhan Altantuya.

Sirul sebelum ini berkata beliau hanya menjalankan tugas dan menjadi kambing hitam dalam kes itu.

Daripada tahanan imigresen di Australia, bekas anggota polis elit itu berkata sedang mempertimbang untuk mendedahkan segala-galanya kepada media tentang perkara itu.

Najib menyifatkan dakwaan Sirul bahawa dia bertindak atas arahan sebagai rubbish (mengarut atau merepek).

Sirul dan seorang lagi rakan dalam pihak berkuasa itu Azilah Hadzri disabitkan bersalah membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman gantung sampai mata.

Motif kepada pembunuhan itu bagaimanapun masih misteri.

Esok 6 tahun Najib jadi PM

Sirul bagaimanapun tidak hadir dalam prosiding akhir di Mahkamah Persekutuan keran berada di Australia. Dia ditangkap tidak lama kemudian.

Undang-undang negara kanggaru itu tidak membenarkan pihak berdepan hukuman bunuh dihantar pulang ke negara hukuman akan dilaksanakan.

Penganalisis politik Razak Baginda (kiri), yang dikatakan pernah menjadi rakan rapat Najib, pernah didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu.Beliau kemudian dibebas tanpa dipanggil membela diri kerana keterangan dikemukakan tidak cukup bagi membuktikan kes prima facie terhadapnya.Sementara itu, walaupun Mahathir dilihat semakin lantang terhadap pentadbiran Najib, terutamanya  dalam isu 1Malaysia Developement Bhd (1MDB), beliau tidak pernah secara terbuka membangkitkan kes Altantuya.

Langkah itu memperlihatkan bahawa Mahathir bersedia pergi lebih jauh dengan mempergiatkan lagi tekanan terhadap pentadbiran Najib yang sedia terhimpit dengan pelbagai isu.

Ini termasuklah isu kekayaan keluarganya, perbelanjaan kerajaan serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Esok genap enam tahun Najib bertugas sebagai perdana menteri.

Kit Siang: Hantar Dr M dan Pak Lah jumpa Sirul

Ahli Parlimen veteran pembangkang, Lim Kit Siang menyarankan satu misi pencarian fakta untuk menyiasat Sirul Azhar Umar berhubung motif pembunuhan Altantuya Shaariibuu.Dan dua calon terbaik untuk tugas itu, menurut Lim, ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“(Misi pencarian fakta ini perlu) melaporkan kepada Parlimen mengenai hasil penemuan mereka, termasuk apa yang patut dilakukan terhadap Sirul dan Azilah (Hadri), kedua-duanya berdepan dengan hukuman mati, walaupun Sirul telah melarikan diri ke Australia,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi ini, Mahathir menulis di blognya bahawa ramalan oleh masyarakat sekarang ialah Umno dan BN akan kalah dalam pilihanraya umum ke-14 kerana terlalu banyak tuduhan yang dibuat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menurutnya, tidak dijawab oleh Najib.

Salah satu isu utama, kata Mahathir, ialah misteri motif pembunuhan Altantuya.

Pada masa itu, Abdullah menjadi perdana menteri manakala Najib menjadi timbalannya.

3:50PM – 2 Apr 2015

Ku Li: Dr M hanya tuntut kebenaran

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad hanya menuntut penjelasan ke atas beberapa persoalan yang dilontarkannya.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu menjawab perkara yang dilontarkan itu.

“Sudah tiba masanya jawapan yang sebenarnya diberikan agar kebenaran terserlah dalam perkara ini.

“Saya pasti beliau (Mahathir) ada alasannya bila berkata begitu,” tambahnya apabila ditanya mengenai serangan terbaru Mahathir ke atas Najib hari ini.

Mahathir antara lainnya meminta polis mengenalpasti individu yang mengarahkan agar Altantuya Shaariibuu dibunuh.

Katanya lagi, BN dan Umno akan tewas dalam pilihan raya akan datang sekiranya Najib terus mengetuai pentadbiran negara.