LEPAS DISIASAT POLIS, SPRM ANJUR SOLAT HAJAT PERDANA

LEPAS DISIASAT POLIS, SPRM ANJUR SOLAT HAJAT PERDANA

Timeline hampir kesemua media dipenuhi dengan berita ini sejak petang semalam. Sedih dan sayu membaca apa yang ditulis serta gambar yang disiarkan oleh para pemberita. Diberitakan ramai yang khusyuk berdoa sehingga menitiskan airmata.

Sama-samalah kita doakan agar para pegawai dan anggota SPRM dapat menjalankan tugas mereka dengan gigih, telus dan saksama. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul

Kami telah teliti semua artikel mengenai berita ini dari semua saluran media untuk mendapatkan kesahihannya. Kami petik dari semua sumber agar dapat kita hayati beritanya.

“Allahumma Salaamatan Fiddien”

WARGA PRIHATIN

* * * * * * * *

PUTRAJAYA – Ogos 04, 2015 : Kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyertai Majlis Solat Hajat Perdana hari ini bagi memohon agar institusi itu diberi kekuatan untuk terus kukuh dalam menyelamatkan negara daripada gejala rasuah. Ia telah diadakan di bangunan pentadbiran SPRM di sini selepas solat Zohor, dipimpin Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Zakaria Jaffar.

Tazkirah ringkas dan doa memohon supaya SPRM dapat meneruskan perjuangan membela maruah agama, bangsa dan tanah air disusuli selepas itu.

Antara kandungan doa berkenaan ialah: “Kami memohon kepada-Mu, ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk melaksanakan tugas dengan sebaik-baik mungkin. Berilah bimbingan dan petunjuk bagi mencapai kejayaan dalam melaksanakan tugas kami memerangi perbuatan rasuah yang mungkar dan penuh dengan dosa.”

Zakaria turut memohon supaya Allah memberi kekuatan kepada pegawainya mempertahankan masyarakat dan negara daripada dicemari dengan rasuah dan penyelewengan.

“Rasuah ini berpunca daripada perbuatan yang haram. Rasullah kata, orang yang memberi dan menerima rasuah masuk neraka. Nak cegah orang masuk neraka ini satu pekerjaan yang berat, yang besar. Jadi, kita kena minta tolong daripada Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui yang akan menunjuk jalan membantu kita melaksanakan tugas terbaik dan paling mulia,” katanya.

Zakaria, 58, yang akan bersara secara rasmi pada 12 Oktober ini berkata, sepanjang 35 tahun khidmatnya dalam agensi itu, beliau menganggap perjuangannya ialah “mencegah individu daripada terjerumus ke neraka”.

“Daripada masuk kerja, sampai habis pencen, 35 tahun berjuang mencegah orang daripada masuk neraka dan saya menjadikan sepanjang hidup itu sebagai satu ibadah. Apabila saya keluar daripada (SPRM) ini, saya pindahkan apa yang saya yakini kepada semua warga SPRM, supaya sepanjang masa apa yang dibuat ini menjadi ibadah di sisi Allah,” katanya.

CAWANGAN SPRM SELURUH NEGARA

Selain di Putrajaya, beberapa cawangan SPRM negeri turut bersama menganjurkan solat hajat.

Antaranya di Negeri Sembilan di mana solat hajat didirikan selepas solat dhuha sekitar jam 9 pagi dan dihadiri 36 kakitangan termasuk Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Datuk Shaharom Nizam.

Sementara Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abd Aziz Aban mengambil peluang menyampaikan amanat dan pesanan kepada pegawai dan kakitangan yang menjadi jemaah solat hajat.

Selain itu, SPRM Johor, Melaka dan Terengganu turut diadakan pada Isnin dan Selasa.

SIRI PENAHANAN PEGAWAI SPRM

Solat hajat ini dilakukan selepas beberapa pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan bagi membantu siasatan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setakat ini, beberapa pegawai SPRM telah ditahan dan diambil keterangan berhubung kes kebocoran maklumat siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Antara yang telah ditahan untuk diambil keterangannya ialah Pengarah Operasi Khas Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Forensik Datuk IG Chandran dan pegawai SPRM, Tuan Roslan Tuan Mat.

Semalam, polis Cawangan Khas menyoal siasat Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin bagi membantu siasatan dalam kes kebocoran maklumat siasatan 1MDB.

Manakala bekas Ahli Lembaga Penasihat SPRM Tan Sri Rashpal Singh ditahan Sabtu lalu kerana dipercayai berkaitan dengan laporan pertemuannya dengan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di London.

Polis Cawangan Khas turut menyerbu pejabat Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairi mencari dokumen berkaitan syarikat pelaburan negara yang sarat dibebani hutang berbilion ringgit itu. Serbuan di pejabat Sazilee di Bahagian Operasi Khas SPRM Putrajaya itu turut merampas sebuah komputer riba, malah kediamannya juga diperiksa.

Sazilee, pegawai yang dipinjamkan daripada Jabatan Peguam Negara, antara 3 yang ditahan minggu lalu selain Rashpal dan Sekretariat Kewangan dan Pasukan Petugas Khas Pentadbiran Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Jabatan Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur.

KREDIT BERITA & FOTO : BERNAMA, SINAR HARIAN, MALAYSIA KINI, ASTRO AWANI, TMI,

Warga Prihatin's photo.
[fb-e url=”https://www.facebook.com/wargaprihatin/posts/10154086219427786:0″]