Kit Anti Histeria mula dipasarkan

  • Kit Anti Histeria mula dipasarkan
  • Mahyuddin (kiri) menerangkan mengenai Kit Anti Histeria kepada Asma (kanan).

PUTRAJAYA – Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan Kit Anti Histeria untuk mengubat masalah histeria yang kerap dihadapi pelajar di sekolah berasrama atau universiti.

Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan UMP, Dr Mahyuddin Ismail berkata, kit itu dihasilkan selepas melakukan kajian terhadap penyakit berkenaan selama lima tahun.

“Penyakit histeria bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi turut berlaku di United Kingdom, Amerika Syarikat, Taiwan dan beberapa negara lain.

“Kit ini dibuat mengikut kaedah Pusat Rawatan Al-Manarah, Rawang merawat pesakit histeria dan rasukan. Kaedah ini sudah digunakan pusat berkenaan lebih 20 tahun,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Kit Anti Histeria oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Asma Ismail di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya sudah mencuba kit tersebut di 11 sekolah di seluruh negara dan kesemua pesakit histeria berjaya disembuhkan dengan selamat.

Katanya, terdapat empat bahan di dalam kit itu terdiri daripada kayu penyepit, cecair lada hitam, cecair asid formik dan air yang sudah dibacakan ayat al-Quran.

Menurutnya, kit tersebut dijual dengan harga RM8,750 sekotak.

Katanya, harga itu termasuk kursus yang akan diberikan kepada pembeli kit tersebut.

“Kursus ini meliputi cara menggunakan kit ini dan apa yang perlu dilakukan untuk mengubati histeria,” katanya.

Mahyuddin berkata, mana-mana pihak yang ingin mendapatkan kit itu boleh menghubungi syarikat Ranum Merah Sdn Bhd sebagai pengedar yang sah.

WARTAWAN: MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Artikel Berkaitan