Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) ditembak mati

00 maip.jpeg kompleteAda tiga berita kematian yang dihebahkan di media semalam. Mereka adalah Allahyarham Pengasas TV Hijrah, pelawak/pelakun Ahmad Busu dan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JAIP. Innalillahi wainna ilaihi roojiun. Mari kita sedekahkan al-Fatihah kepada ketiga-tiganya.

Media banyak mengulas tentang kematian Allahyarham Ahmad Busu. Kami pula lebih terpanggil untuk mengulas kematian Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abdul Malek, 49 tahun.

Beliau dikatakan seorang pegawai yang tegas dan jujur dalam menjalankan tugas penguatkuasa. Ramai yang mengatakan pembunuhan beliau terkait rapat dengan tugas penguatkuasaan, kerana sebelum pembunuhan itu, beliau dikatakan mengetuai satu penggempuran markas Syiah di Karatong, Pahang. Sudah menjadi trend sekarang, penjawat awam yang jujur dan tegas menjadi sasaran penjenayah.

SERUAN UNTUK BERTENANG

Selaku orang awam, mari kita serahkan kepada kebijaksanaan pihak PDRM untuk menjalankan siasatan rapi. Sememangnya PDRM dikenali antara pasukan yang cekap dalam urusan penyiasatan menjejak penjenayah. Kami ambil kesempatan ini mengucapkan SETINGGI-TINGGI TAHNIAH atas kejayaan pihak PDRM kerana berjaya menjejaki pembunuh kejam ke atas pegawai Ambank baru-baru ini.

Jika benarlah pembunuhan ini terkait dengan unsur keganasan pengikut Syiah, maka jelaslah bahawa kes ini telah menampakkan trauma jiwa yang dahsyat terkait dengan fanatik agama yang berasaskan dendam. Ini adalah kesan dari penerimaan ilmu agama yang bertunjangkan emosi oleh hati yang tidak terpimpin oleh akal. Bukankah agama itu tiada paksaan?

Oleh itu, kami menyeru agar kita semua bertenang dan bermuhasabah diri dalam hal ini. Kita bakal bertanggungjawab dengan apa sahaja kesan akibat dari kegagalan kita mengawal emosi.

PERANG SAUDARA 

Selari dengan kes ini, kami ingin mengambil peluang untuk menjawab begitu banyak soalan pembaca yang memohon ulasan dan pendirian jujur dari Warga Prihatin sendiri tentang Syiah. Kami berdiam diri selama ini atas dasar tidak mahu mengeruhkan keadaan dan menyulitkan pihak berkuasa dalam menjalankan tugas mereka menangani gejala agama ini.

Bagi kami, Syiah dan Sunni adalah dua puak yang terbit selepas kewafatan baginda. Amat malang sekali kerana ia telah melibatkan insan-insan berjasa yang amat dikasihi oleh baginda Rasulullah saw.

Perselisihan antara dua puak ini telah cukup mengakibatkan begitu ramai korban jiwa, tidak begitu lama selepas kewafatan baginda saw. Dalam perang Jamal saja beberapa riwayat mengatakan kematian yang berbagai iaitu antara 10 ke 20 ribu jiwa. Dalam perang Siffin pula riwayat mengatakan antara 70 – 100 ribu korban jiwa.

Semua peperangan saudara yang berlaku ini berasaskan dendam dan perebutan kuasa ke atas agama dan ia berterusan sehingga hari ini. Sudah terlalu banyak pembunuhan terus menerus berlaku dalam siri perang saudara akibat konflik Sunni Syiah di Timur Tengah yang terlalu panjang untuk disenaraikan dari dulu hingga kini. Ini telah banyak membuka ruang kepada pihak munafik untuk masuk campur sehingga meletakkan ummat dalam sengsara, dipenuhi beban hutang dan penjajahan yang berpanjangan.

ASAS PUNCA PERSELISIHAN SUNNI DAN SYIAH

Sehingga hari ini ulamak masih berselisih pendapat tentang siapa benar siapa salah. Puak Syiah dikatakan memetik ketegasan kepimpinan Ali dalam Pemerintahan dan beberapa tindakan beliau yang dikatakan telah tidak disenangi beberapa pihak. Setelah dilantik menjadi khalifah, Ali telah menyampaikan pidato politik yang secara umum menggambarkan garis besar dari visi politiknya seperti berikut,

1. Sumber hukum dan dasar keputusan politik adalah kitab suci al-Quran. Ini dibimbing oleh Sunnah Nabi saw,
2. Mewujudkan nilai-nilai kebaikan ideal al-Quran dan menolak segala keburukan dalam masyarakat.
3. Tulus ikhlas dalam memimpin dan mengutamakan integrasi kaum muslimin.
4. Melindungi kehormatan jiwa dan harta benda rakyat dari segala gangguan kezaliman lidah dan tangan.
5. Membangun kehidupan masyarakat yang bertanggungjawab terhadap bangsa dan Negara dengan landasan ketaatan kepada Allah swt.

Ali juga dikatakan sebagai orang yang suka berterus terang, tegas bertindak, tidak sukakan perpecahan (minyak dan air), dan tidak takut celaan siapapun dalam menjalankan kebenaran. Antara tindakan Ali setelah dibaiah yang kononnya tidak disenangi ialah,

1. Memecat ketua daerah lantikan Usman dan menggantinya dengan yang baru.
2. Mengambil kembali tanah-tanah dan hibah yang diberikan Usman kepada famili dan kaum kerabatnya tanpa jalan yang sah,

Alasan Thalhah, Zubair dan ‘Aisyah menentang Ali dikatakan hanya semata-mata karena menuntut ditangkapnya pembunuh Usman. Namun ada yang meriwayatkan sebenarnya mereka memiliki alasan lain. Sebahgian sejarawan mengemukakan bahwa penentangan Aisyah terhadap Ali disebabkan oleh sentimen pribadi.

Syalabi, Ahmad dalam tulisannya, Sejarah Kebudayaan Islam, 2007 menyatakan, antara ketegangan ini disebabkan oleh pendirian Ali yang memberatkan Aisyah dalam peristiwa hadis al-Ifki (Kisah Tuduhan Palsu). Ketika diminta pendapat oleh Nabi saw tentang kejadian itu, Ali mengatakan; “Wahai Rasulullah, tidaklah Allah akan menyusahkanmu sedang wanita selain dia masih banyak. Dan tanyakanlah kepada Barirah mungkin ia dapat memberi keterangan yang jujur kepadamu”.

Jawapan Ali ini dikatakan telah melukai perasaan Aisyah. Ia menunjukkan seolah-olah Ali menyetujui isu yang sedang beredar bahwa Aisyah telah meyeleweng dari Rasulullah saw. Paling tidak Ali dilihat sebagai tidak menunjukkan pembelaannya terhadap Aisyah disaat posisinya benar-benar tertekan dengan fitnah itu. Antara beberapa isu besar yang juga turut diperkatakan ialah,

a) Nabi dikatakan pernah berwasiat bahawa selepas kewafatan baginda, Ali seharusnya menjadi Khalifah. Malangnya diriwayatkan bahawa Ali tidak mengumumkan wasiat itu dengan jelas kerana menghormati sahabat nabi yang lebih tua lalu wasiat itu tidak diketahui oleh para sahabat yang lain. Antara rasional saranan perlantikan itu adalah kerana,

1. Ali paling hampir dengan Nabi dan mendapat pendidikan langsung dari baginda sejak kecil dan diriwayatkan sebagai anak kecil yang pertama menyatakan keimanan kepada Rasulullah (9-13 tahun berbeza riwayat).
2. Ali ada pertalian darah, sepupu yang dijadikan anak angkat dan seterusnya menjadi menantu kesayangan Nabi. Ini sesuai dengan firman Allah – “orang yang mempunyai kekerabatan lebih diutamakan”.
3. Ali terlatih menjadi berani dalam perperangan dan perjuangan, jujur dan banyak pengetahuan agama hasil didikan dalam keluarga Nabi. Banyak menumpaskan musuh dan meriwayatkan hadis Nabi saw.
4. Ali masih muda dan ada masa yang cukup untuk memimpin dan membangun ummah. Penukaran pemimpin yang terlalu kerap akan menyebabkan ketidaksetabilan kepimpinan dan membantut pembangunan.

b) Dendam Aishah terhadap Ali kerana tidak berbaiah kepada ayahnya Abu Bakar selepas perlantikan khalifahnya – Sewaktu Ali sibuk mengurus jenazah Rasulullah saw, Abu Bakar a.s. telah dilantik sebagai khalifah tanpa kehadiran Ali. Ini dikatakan telah menimbulkan konflik yang berlarutan sehingga 6 bulan selepas itu baru Ali berbaiah dengan Abu Bakar. Tidak diketahui atas sebab apa Ali tidak ikut serta dalam majlis perlantikan itu. Adakah beliau tidak dipanggil? Atau beliau keberatan untuk memaklumkan tentang wasiat nabi agar beliau dilantik sebagai khalifah pertama.
c) Aishah mahu anak saudaranya, Abdullah bin Zubair menjadi Khalifah.
d) Aisyah tidak suka pada Khadijah dan Fatimah (politik keluarga).
e) Nabi hanya mengizinkan pintu rumah Ali saja yang boleh mengarah dan langsung terhubung menuju masjid, sedangkan pintu sahabat lainnya tidak dibolehkan.
f) Nabi Saw pernah menugaskan Abu bakar untuk melakukan sesuatu namun gagal, kemudian Ali mengambil alih tugas itu dan berjaya.

KESIMPULAN 

Berbagai aduan kami terima, perpecahan keluarga dan ketegangan jiwa akibat dari pelbagai fahaman agama. Kami juga amat bimbang dengan ungkapan ekstrim yang sudah menjadi lumrah keluar dari pemimpin tertentu sekarang ini. Antaranya seperti, darah UMNO halal, darah Sunni halal, darah Polis halal dan berbagai-bagai lagi. Sedikit tidak puashati saja terus main tembak dan bunuh.

Ingatlah semua. Harapan Islam kini hanya di bahu kita watan Nusantara. Di sini dakwah Islamiah ini telah terhenti dan tertidur. Sudah tentu disini jugalah tempat kebangkitannya semula. Islam itu agama ilmu dan kefahaman. Hanya kefahaman yang SATU sahaja yang mampu menyatukan kita semula. Kenanglah tangisan Nabi saw yang sangat bimbang akan perpecahan ini. Kenanglah pengorbanan semua sahabat yang telah menjayakan dakwah yang diwariskan kepada kita ini. Susah payah baginda berdakwah dan berjuang dengan pelbagai ujian, keIslaman sahabat telah dibunuh oleh golongan sendiri dengan sekelip mata saja. Hargailah jiwa, hentikanlah keganasan dan pembunuhan.

Kami mengajak pembaca mengambil jalan tengah. Ada baiknya kita ambil saja pendapat yang mengatakan peperangan antara Ali dan Aishah yang telah terjadi itu adalah angkara golongan munafik dan Khawarij yang bertujuan jahat, bukan atas keinginan Ali maupun Aisyah. Pewaris-pewaris MUNAFIK ini telah berjaya meniup api perang saudara hingga kini tanpa kita sedar.

Aisyah sendiri dikatakan hanya menunggangi unta dan tidak ikut dalam peperangan, juga tidak memerintah untuk melakukan peperangan. Ali pula telah memaafkan mereka yang sebelum ini menghunus pedang untuk memeranginya. Aisyah yang tewas telah dikirim kembali ke Madinah dengan dikawal oleh sepasukan wanita bersenjata lengkap penuh hormat. Ali juga berusaha memujuk Thalhah dan Zubair agar membatalkan niat untuk berperang. Beliau mengajak puak yang bertelagah agar mengingatkan hari-hari manis saat bersama Rasulullah S.A.W dan berperang melawan pasukan kafir. Abu Bakar, Umar dan Osman adalah sahabat yang dihormati dan dikasihi oleh Ali. Mengapa kerana ingin mempertahankan Ali sehingga ada yang sanggup mencela sahabat Nabi yang turut dihormati oleh Ali sendiri?

QS: 2. Al Baqarah 141. Itu adalah umat yang telah lalu; baginya apa yang diusahakannya dan bagimu apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan diminta pertanggungan jawab tentang apa yang telah mereka kerjakan.

Ingatlah bahawa kedua-dua HALUAN ini hanya terbit selepas wafatnya Nabi saw. Hari ini masing-masing sudah lari dari fakta sebenar. Berbagai fatwa dan doktrin agama dicipta untuk memuaskan nafsu dan menyesatkan manusia. Ibu bapa dan Jabatan agama wajib segera mengganda usaha mengisi kekosongan ilmu di jiwa generasi kita. Berbagai-bagai ajaran sesat mudah diterima kerana kejahilan kita. Hanya ilmu yang dapat menyelamatkan kita. Tangkapan demi tangkapan tidak akan mampu membenteng ancaman terhadap agama.

Marilah kembali kepada Islam yang asal, tinggalan Rasulullah saw. Kami yakin jika Saidina Ali dan Rasulullah saw masih hidup, baginda sendiri akan menghalang perang saudara dan pembunuhan yang berlarutan ini. Apabila perselisihan pendapat ini telah berlarutan, mari kita kembali kepada perintah Allah dalam surah 4 Nisa’:59 agar kita semua kembali kepada Allah dan rasul, kembali semula kepada alquran dan sunnah.

QS: 53. An Najm 23. Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan bapak-bapak kamu mengadakannya; Allah tidak menurunkan suatu keteranganpun untuk nya. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan, dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka.

Seruan ikhlas
WARGA PRIHATIN