KESUSAHAN MEMATANGKAN : PERDANA MENTERI PERLU NASIHAT TELUS TANPA INTEREST

Pada hari ini, kami mahu membawa semua khalayak pembaca melihat kepada satu sudut yang jarang diceritakan oleh sesiapapun tentang Perdana Menteri Malaysia.

YAB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak ialah insan yang dilahirkan di atas dulang emas. Ibunya Tun Rahah binti Tan Sri Noah merupakan orang senang, anak kepada speaker Dewan Rakyat ketika itu. Ayahanda pula seorang Perdana Menteri dan pastinya mereka dari golongan bangsawan. Hatta, Perdana Menteri ke-3 Tun Hussein Onn juga merupakan bapa saudara PM.

Mendapat pendidikan tinggi sepenuhnya di United Kingdom dan beliau kembali ke Malaysia dengan tahap kefasihan Bahasa Melayu yang sangat rendah. Walaubagaimanapun, beliau ialah seorang yang bijak dan mampu menguasai semula Bahasa Melayu dalam jangkamasa yang singkat. Kini beliau mampu berpidato dengan baik dalam bahasa antarabangsa, Inggeris dan Melayu. Pernah menjadi ADUN termuda sekali dan pernah menjadi Menteri Besar yang termuda menerajui Negeri Pahang Darul Makmur.

Jika kita susur kembali dari Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra merupakan seorang Putera Raja. Kemudian disambung oleh Tun Abdul Razak yang juga dari golongan bangsawan. Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn merupakan anak Menteri Besar Johor dan pengasas UMNO (Datuk Onn Jaafar).

Hanya Tun Dr. Mahathir datang dari keluarga marhaen tetapi dengan tekad dan semangat beliau, Tun Dr. Mahathir mampu menjadi peneraju Negara yang terulung dan masih lagi disebut-sebut dunia sebagai salah seorang pemimpin terbaik. Sehinggakan Vladimir Putin, Presiden Russia pernah bertemu Tun di kediamannya semasa Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri. Pada Vladimir Putin, Tun Dr. Mahathir ialah idola beliau dalam kepimpinan.

Tun menerajui Malaysia pada zaman revolusi Malaysia dari sebuah Negara pertanian kepada Negara industri. Pembangunan imej Malaysia melalui projek-projek ikonik juga menempatkan Malaysia dalam “Peta Dunia”. Beliau merobohkan persepsi barat bahawa Malaysia masih hidup dalam hutan, menombak ikan, menyumpit kera dan masih berumah di atas pokok kepada sebuah Negara berdaulat.

Misi Tun Dr Mahathir diteruskan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga merupakan anak seorang tokoh politik dan cucu kepada seorang mufti Syeikh Abdullah Badawi Fahim. Pada ketika itu, Tun Abdullah (Paklah) mengetengahkan konsep Islam Hadhari yang memasukkan unsur-unsur Islam dalam perlaksanaan kerajaan dengan kepercayaan bahawa Islam itu syumul dan mampu menjadi sistem terbaik dunia jika berjaya di implemen dalam Negara Malaysia. Pendekatan Pak Lah agak subtle dan tidak bersifat revolusi tetapi Pak Lah menghadapi masalah untuk memahamkan perlaksanaan Islam dalam sains pentadbiran kerajaan yang sepatutnya merapatkan masyarakat bukan Islam dengan Islam tetapi sebaliknya menjauhkan mereka darinya.

Sekarang tiba Datuk Seri Najib sebagai PM Malaysia untuk penggal yang kedua. Ada perbezaan besar antara silver-spoon & gold-spoon child berbanding survival Tun Dr. Mahathir yang bangkit dari latar belakang yang sukar. Merasai kesukaran pada awal umur merupakan satu ujian yang menjadikan seseorang itu lebih bijak. Kita mampu lihat dari pelbagai contoh seperti Nabi Agong kita, Nabi Muhammad SAW yang asalnya membesar sebagai anak yatim, penggembala kambing, menolong rombongan perdagangan nendanya sebelum mampu menerajui perniagaan Saidatina Khadijah seterusnya menerajui penyatuan manusia atas nama ISLAM.

DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN

Tidak mustahil juga bagi mereka yang lahir di atas dulang emas seperti Sultan Mehmet Alfateh yang berjaya menunaikan aspirasi Nabi Muhammad SAW selepas 800 tahun kewafatan Nabi sendiri. Baginda mampu untuk menjadi bijak apabila ayahanda baginda meletakkan baginda di bawah nasihat 2 orang Sheikh yang mendidik baginda dan memperkenalkan baginda dengan kesusahan rakyat secara jelas dan nyata, TANPA INTEREST, no fear no favor. Dengan itu, baginda menjadi seorang raja yang hebat dan pemimpin antara yang teragung dalam sejarah peradaban Islam moden.

Jika kita ingin Malaysia sejahtera, Kita tiada pilihan, mesti bantu PM, tanpa mengira siapa yang terpilih dengan cara menyatakan kebenaran walaupun ianya pahit. Kebenaran input itulah yang menjadikan PM seorang yang mampu menjadi orang hebat dalam segala keputusan yang dibuatnya. Ironinya kini, Jika PM nak melawat sebuah tempat, apa yang dah reput pun akan jadi baru, jalan tak berturap pun boleh jadi berturap, bangunan tak siap pun boleh jadi siap, kawasan sampah pun boleh jadi taman permainan.

Cuba kita suakan kebenaran kepada PM agar beliau mampu untuk membuat keputusan yang bijak dari input yang telus dan betul. Bukan hanya hidangkan berita yang baik-baik sahaja kepada beliau sehingga beliau merasakan warga marhaen sudah kecukupan semuanya. Masaalahnya kini ialah terlalu ramai orang yang kaki kipas untuk projek semata-mata, tak kurang mereka yang mengampu untuk jadi calon pilihanraya, yang mengkritik pula bukannya ikhlas tetapi mereka mengkritik KERANA meraka mahu menjatuhkan PM dan seterusnya menggantikan tempat itu dengan diri mereka sendiri.

PERTEMUAN KAMI BERSAMA PM

Rumah Pengasih Warga Prihatin semasa penubuhannya bukanlah atas tujuan rumah kebajikan dan perlindungan anak yatim & asnaf TETAPI ia dimulakan dengan idea mewujudkan sebuah pusat pemikiran, penyelidikan serta pembangunan akhlak dan peradaban Islam dalam dunia sekarang ini. Anak yatim & asnaf kami adalah sampel pembangunan akhlak dan peradaban dalam skala prototaip.

Sistem Islam telah terbukti mampu membentuk tamadun sekalipun diturunkan ke atas bangsa paling teruk di atas muka bumi ini iaitu Orang Arab. Apabila satu formula itu sangat baik, apabila ia digunapakai secara komprehensif ke atas substance / material yang terburukpun akan mampu menukarkan yang buruk menjadi baik. Apatah lagi jika sistem Islam itu diimplementasi ke atas Orang Cina yang rajin, Jepun yang berdisiplin dan Melayu yang sopan santun itu sendiri?

Kami memilih untuk berkecuali walaupun ada tawaran tajaan dari badan berkepentingan politik tetapi kami berkongsi-kongsi sesama kami 20 orang pengasas supaya dapatan kami tidak perlu jadi berat sebelah ke mana-mana pihak bagi menjaga hati penaja-penaja kami.

Namun begitu, apa yang kami lakukan semuanya untuk kepentingan ummah dan manusia umumnya, sebab itu tiada dasar pintu tertutup. Jika sekali sekala kami `menerima SEDEKAH’, ia tidak lebih dari hakikat berlakunya perkongsian tentang 1 KEBENARAN dari individu yang nampak kerjabuat kami sebagai wadah ibadah yang BENAR (SIDDIQ), yang HAK (hakiki) lagi MURNI. Kami gembira melihat mereka yang ingin mendekatkan diri kepada Tuhan melalui kaedah SEDEKAH, tidak kira siapa individu itu dan dari mana asal usul politik, bangsa bahkan agama mereka sekalipun. Nah, pertemuan kami dengan YAB PM juga atas dasar yang sama.

Itulah hakikat SEDEKAH, iaitu suatu tanda yang mereka telah nampak dan membenarkan (menSIDDIQkan) suatu yang mereka lihat sebagai usaha yang BENAR / SIDDIQ. Hasil kajian & perlaksanaan (R&D) itu kami kembalikan semula dalam bentuk khidmat sosial, sebahgiannya kami sumbangkan dalam bentuk perkongsian petunjuk dan hidayah yang InsyaAllah akan mampu memecah kebuntuan umum.

Kami bertemu Perdana Menteri kira-kira 2 bulan yang lalu di pejabat beliau secara khusus. Perbincangan secara khusus itu menampakkan beliau kelihatan PRIHATIN tentang masa hadapan Malaysia. Tatkala beliau membuat penyerahan wang sumbangan ke tangan anak kami Nik Muhammad Harraz Nik Mat, kami melihat airmuka beliau memerlukan satu suntikan semangat dan INPUT JUJUR tanpa prejudis, tanpa kepentingan projek atau pangkat, tanpa ada niat menjadi calon atau bukan untuk sesuatu di luar dan keluar dari kepentingan Uluhiah, agama Islam & kesejahteraan rakyat itu sendiri.

Dari bentuk jemputan pertemuan secara private, bukan atas permintaan kami, tanpa kehadiran media dan diadakan di ruang pejabat peribadi beliau, suatu tempat yang bagi kami sangat berdaulat dan eksklusif itu, dapat kami lihat tahap kesedaran yang tinggi dan menampakkan yang beliau sangat ingin mendekatkan diri kepada ALLAH. Jika kita benar-benar ikhlas ingin melihat kesejahteraan berlaku, Kita harus sambut baik perkembangan ini.

Bagi kami, yang diperlukan oleh seorang Perdana Menteri yang telah ditakdirkan lahir di atas Dulang Emas ialah usul-usul dan buah-buah fikiran dari orang-orang susah sehingga beliau seolah-olah dapat merasainya sepertimana Sultan Mehmet Alfateh. Tun Perak, Bendahara Melaka dahulu juga merupakan keturunan orang senang yang mendampingi orang-orang susah. Beliau yang juga anak kepada bendahara Melaka yang pertama Sri Wak Raja Tun Perpatih Besar tetapi beliau berjaya membawa Melaka ke tampuk kegemilangan hanya kerana hubungan beliau yang baik dengan tentera Melaka dan rakyat-rakyat Melaka sehingga beliau dinobatkan oleh pensejarah moden sebagai 3 individu paling berkuasa dalam seluruh gugusan Melayu.

JELMAAN ILMU SEPANJANG 8 TAHUN MENITI KESUSAHAN

Memang benar kata orang tua, “bersusah dahulu bersenang kemudian”. Memang benar firman Allah, “di sebalik kesukaran ada kemudahan”. Kami di Prihatin tidak mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi semasa ditubuhkan secara fizikal pada tahun 2005. Maka, kami mengambil keputusan untuk membina sarana fizikal Rumah Pengasih Warga Prihatin ini dengan tulang empat kerat kami (Warga co-founder yang 20) sepertimana baginda Nabi sendiri memerah keringat menggali parit-parit Perang Khandak dan juga pembinaan Masjid Quba.

Jepun juga asalnya susah lalu mereka kembali naik semula menjadi tamadun yang gemilang di dunia pada masa ini. Orang Yahudi juga asalnya susah, ditindas kira-kira 70 tahun lalu tetapi atas kesusahan yang mereka alami itulah MINDA FIKIR MEREKA BANGKIT.

8 tahun, kami melaksanakan kajian yang menyeluruh tentang Sains Gunaan di sebalik Al-Quran & Sunnah, dalam pentadbiran yang saintifik seperti sistem Islam dalam penyatuan Madinah, penyatuan Mekah dan wilayah-wilayah Islam yang lain (bukan Islam acuan mana-mana parti politik). Ada pelbagai dapatan yang kami perolehi telah dikirim kepada Perdana Menteri sebagai ilham jujur pembangunan sebuah Negara dan menyatukan rakyat Malaysia yang kini semakin parah berpecah. Malangnya, Email kami kepada portal beliau juga tak tahu apa dah jadi. Beberapa pegawai PMO menampakkan yang email-email kami seolah-olah tidak sampai ke tangan PM.

Tiada guna ratusan ribu likes dan views di internet jika YAB PM sendiri tidak maklum. Kami menulis di facebook dan laman web kami dengan harapan ia dibaca dengan bacaan rasional oleh pemimpin tertinggi yang memiliki kuasa ditangan, dan setiap waktu bermesyuarat dengan YAB PM untuk menaikkan Malaysia atau menjahanamkan saja apa yang masih ada.

KESIMPULAN

Kita perlu bantu PM tanpa interest. Kekurangan beliau mungkin kelebihan kita dan kekurangan kita mungkin kelebihan beliau. Diharap ia mampu menjadi satu cetusan yang menjadikan Malaysia sebuah Negara terbaik di dunia dengan sistem Islam acuan Nabi bukannya acuan mana mana parti politik BIKINAN MANUSIA.

Cukuplah parti A dan parti B kedua-duanya menaburkan harta negara dan negeri untuk memenangi hati rakyat walhal membaca laporan dari Bank Negara sahaja sudah menunjukkan jelas yang Malaysia bukanlah dalam landasan ekonomi yang mapan dan sustainable. Kita kembali bersatu, duduk semeja untuk berunding untuk kepentingan negara bukan kepentingan individu tokoh-tokoh politik.

Saranan Ikhlas
WARGA PRIHATIN