KERANA TIDAK MASUKKAN BAJU PELAJAR DITUMBUK GURU DISIPLIN

ALOR SETAR, 08 FEBRUARY 2017. (ASM191S) Naharudin Azizan, 38, melakonkan semula bagaimana guru disiplin didakwa mencekak baju anaknya Nahar Danial Aiman. FOTO Shahrizal Md Noor

 

ALOR SETAR – Seorang pelajar lelaki tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini mendakwa dibelasah oleh seorang guru disiplin di sekolahnya atas kesalahan tidak berpakaian kemas ketika ke sekolah pagi tadi.

 

Pelajar berumur 16 tahun itu mendakwa dia ditumbuk di belakang kepala, muka, dan disepak di kaki di hadapan pintu pagar sekolah, pada jam 7.40 pagi kerana tidak memasukkan baju ke dalam seluar.

 

Selain itu, mangsa mendakwa, lehernya juga dicekak sebelum guru disiplin terbabit mengeluarkan kata-kata ugutan.

 

“Saya ketika itu tidak melawan kerana bimbang akan dibuang sekolah malah memberitahunya sakit di kepala namun tidak diendahkan sebaliknya dia mengugut saya dengan berkata: ‘hang tak kenal lagi aku siapa’.

 

“Selepas memukul saya, dia terus menyuruh saya beredar ke kelas namun kerana kesakitan susulan bahu saya pernah patah Oktober tahun lalu menyebabkan saya bimbang berlaku kecederaan dalaman sebelum menghubungi ayah memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Merbau, Jalan Datuk Kumbar, di sini, hari ini.

 

Bapa pelajar itu pula berkata dia terpaksa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sejurus kejadian itu memandangkan tindakan guru itu disifatkan keterlaluan.

 

“Saya tidak kisah sekiranya dia merotan untuk mendidik. Tapi dia seperti samseng dengan mencekik memukul dan menendang anak saya, dan saya tak boleh terima, biarlan polis ambil tindakan dan siasatan,” dakwanya.

 

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika di minta mengulas kejadian itu berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar untuk siasatan.

 

Terdahulu, jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah ketika dihubungi maklum dengan kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyelesaikannya.

 

“Kita juga akan mendapatkan maklumat daripada pihak sekolah terbabit untuk tindakan selanjutnya,” kata jurucakap itu.

 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. – Bernama/Metro