Hudud tidak sesuai untuk negara kita, kata Tan Sri Musa Hitam

Hudud: Tidak Sesuai – Musa Hitam

Published on Sunday, 22 March 2015 20:37

Tan Sri Musa Hitam. Foto: www.malaysia-chronicle.com

Tan Sri Musa Hitam. Foto: www.malaysia-chronicle.com

PETALING JAYA: Hudud tidak sesuai untuk negara kita, kata Tan Sri Musa Hitam.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai bekas pemimpin UMNO, beliau percaya sejak penubuhan lagi sehingga hari ini, pendirian UMNO jelas bahawa Hudud tidak sesuai untuk sebuah negara berbilang kaum, berbilang agama seperti Malaysia.

“Dari awal lagi, saya secara peribadi berpendapat bahawa Hudud tidak sesuai untuk negara kita,” kata Musa dalam satu kenyataannya, Sabtu.

Sehubungan itu, tambah beliau, UMNO perlu mengambil pendirian tegas mengenai pelaksanaan Hudud di Kelantan.

“Isu tersebut mempunyai implikasi yang sangat panjang untuk negara ini, kedua-dua di dalam dan di peringkat antarabangsa,” katanya yang kini berada di Cordoba, Sepanyol menyertai sesi meja bulat Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF).

Beliau juga berkata bahawa pihak pembangkang tidak seharusnya berpura-pura seperti mereka tidak tahu apa-apa.

Musa menyatakan bahawa rakyat tidak perlu terkejut dengan rang undang-undang Hudud PAS, kerana mereka telah memperjuangkan sejak sekian lama.

“Jika saya salah mengenainya, maka UMNO perlu menyatakan pendirian mereka secepat mungkin. Isu ini adalah penting dan tidak boleh diketepikan, “katanya lagi.

Sementara itu dalam perkembangan serupa, Sinar Harian melaporkan, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menjelaskan kenyataannya sebelum ini, bahawa tiada keperluan untuk kerajaan PAS Kelantan melaksanakan undang-undang Hudud di negeri itu pada masa ini.

“Saya tidak menolak Hudud atau menolak hukum ALLAH,” kata beliau sambil menyambung bahawa Kerajaan PAS Kelantan sepatutnya memfokus perkara lain yang lebih penting daripada memberi keutamaan kepada soal pelaksanaan Hudud di negeri berkenaan.

Beliau berkata, PAS nampaknya lebih mendahulukan hukuman itu daripada memberi keutamaan kepada perkara lain. Mereka sepatutnya menumpukan usaha membangunkan Islam dan bukannya menghukum orang Islam.

“Bukan saya menolak Hudud apatah lagi menolak hukum ALLAH, tapi setakat ini saya rasa negara kita sudah maju sejak berpuluh tahun kebelakangan ini dan tiada rakyat yang tercicir tidak kira beragama Islam,” katanya kepada pemberita, Sabtu.

Nur Jazlan berkata, kerajaan Pas Kelantan sepatutnya lebih memberi keutamaan kepada soal membantu rakyat di negeri itu yang terjejas teruk akibat banjir hujung tahun lalu.

Terdahulu, Dun Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam apabila ia dilaksanakan kelak di negeri ini.

Dilaporkan kesemua 44 ahli dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan termasuk 12 Adun BN.

 

 

 

 
-FMT