Hari Raya Aidilfitri : Jauh Lebih BESAR pengertiannya berbanding hanya satu Pesta Makan.


Di antara Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang agak meluas ialah seperti caption dalam gambar di atas.

TAQOBBAL ALLAH – DIMAKBULKAN ALLAH
MINNA – DARI (DOA) KAMI
WAMINKUM – DAN DARI (DOA) KAMU
WAJA’ALNA – DAN DIJADIKAN KAMI
MINAL A’EIDIN – DARI GOLONGAN YANG KEMBALI (KEPADA AGAMA)
WAL FAIZIIN – DAN YANG MENANG (MELAWAN NAFSU)

Islam itu tertinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya. Ungkapan SALAM LEBARAN di atas harus kita lihat dari perspektif yang lebih tinggi dan mampu meninggikan martabat agama dan impak agama ini kepada ummah.

Sememangnya dari segi pengeritian bahasa, Raya Fitrah antaranya digelar sebagai RAYA SARAPAN. Itu jugalah yang kita dengar dari siaran Fikrah Ramadhan TV3 pagi tadi yang menyebut antaranya makna ‘Eidul Fitri’ adalah kita kembali fitrah dalam rutin kehidupan, di mana sepanjang Ramadhan kita tidak bersarapan dan di pagi raya kita disunnatkan sarapan. Itulah KEMBALINYA FITRAH (EIDUL FITRI) di pagi raya.

BEGITU REMEHKAH MARTABAT IBADAH RAMADHAN DAN PERAYAAN SYAWAL INI, SEHINGGA KITA TIDAK HABIS-HABIS MENGAITKANNYA DENGAN TABIAT MAKAN? JUADAH RAYA? DUIT RAYA? BAZAR RAMADHAN?

PERSEPSI HARI RAYA PADA PANDANGAN MASYARAKAT KINI

Sebut tentang hari raya, selain makan yang lainnya juga agak ganjil perlaksanaannya. Duit raya, mercun, rancangan TV khas raya, kemalangan jalanraya dan macam-macam lagi disebut selepas “Nama Hari Raya” itu sendiri.

Janganlah tukarkan HARI KEMENANGAN pada hari raya bagi meraikan kemenangan akal kita melawan nafsu menjadi HARI KEKALAHAN akal kita. Ramai juga yang mampu bertahan segala godaan bulan Ramadhan, tetapi yang susut 4 inci bertambah 8 inci semasa raya. Yang kain skirt dah labuh 20 inci dah makin pendek 30 inci semasa hari raya. Tak kurang juga yang berjimat semasa bulan puasa tetapi habis dibazir pada hari raya dek kerana nak melaram dan bergaya. Tak kurang pula yang mampu sabar dijalanraya sepanjang bulan Ramadhan tetapi kemalangan di malam raya kerana menurutkan nafsu tidak sabar, yang tahan nafsu pergi terawih bersama teman wanita semasa bulan puasa tetapi berzina semasa hari raya (Nauzubillah).

Kita telah berjuang selama 1 bulan lamanya, tetapi biasanya kembali kepada asal SEMASA kita merayakan kemenangan kita. Seperti anda baru memenangi sebuah pertandingan yang anda telah cubanya selama 1 bulan lalu anda menerima hadiah sebanyak RM1 Juta tetapi semasa meraikan kemenangan itu, anda BAKAR RM1 Juta itu. Itulah hakikat hari raya yang banyak berlaku kini.

Adakah lekeh sangat Hari Raya sehingga ia hanya dikaitkan dengan MAKAN, MERCUN, BALIK KAMPUNG dan JUALAN MURAH?

DOA KAMI KEPADA ANDA

Jika awal ucapan lebaran tadi merujuk kepada termakbul doa. Ia terkait dengan sesuatu yang sangat besar, ia satu penentu nasib umat, iaitu seru (doa), seruan (dakwah), dan Da’e (pendakwah). Setiap DA’IE harus sudah benar-benar faham dan mampu melakukannya, berdoa agar doanya berkesan di HATI dan di TANGAN & KAKI masing-masing. Lalu memanjangkan keberkesanan DOA itu kepada saudara karibnya.

Kembali Fitrah yang terkait dengan doa, dakwah Islamiah itu pastinya harus kita mantapkan dengan kembalinya kita kepada FITRAH AGAMA. Apa saja yang SEPATUTNYA berlaku, atau terhasil pada kesucian AGAMA ini dan kehebatan pada PENDOKONG nya (bukan sekadar PENGANUT), serta manusia disekitarnya. Itulah Fitrah sejahtera, selamat (SALAM). Fitrah persaudaraan, berkasih sayang, pemaaf, keprihatinan, berilmu, faham, kesatuan, pemurah, amanah, jatidiri, tolong menolong dan terlalu banyak fitrah yang tak larat nak sebutkan. Puasa itu adalah satu penjajaran semula fitrah kita yang telah lari sepanjang tahun sehingga penjajaran semula itu masuk ke landasan fitrahnya semula dan itulah yang kita raikan.

Larinya kita dari fitrah itulah yang menjadikan manusia selepas hari raya akan menjadi semakin ramadh (panas) dan ramadh lagi dan ramadh lagi sehingga kemuncaknya tibalah Ramadhan yang satu lagi untuk kita jajarkan semula diri kita kembali kepada FITRAH DENGAN TURUNNYA Al-Quran pada kemuncak Ramadhan itu sendiri ataupun kita panggilnya Nuzul Quran (Rujukan : Ramadh dari translasi Arab ke Melayu bermaksud PANAS). Betul hanya Nabi yang menerima Quran pada Nuzul Quran tetapi bukankah semuanya telah ada pada kita secara bertulis dan berkitab kini untuk kita rujukkan masalah kita yang lari dari fitrah Allah itu untuk kita mencari jalan kembali fitrah? Nuzul Quran itulah yang mampu menjadi turning point bagi orang yang berjaga (kalau terus lena dan tidur tanpa sedar dalam keadaan telah lari fitrah, itu tak dapat nak ditolonglah) banyakkan membaca, mengkaji situasi semasa berbanding FITRAH jika hidayah ALLAH dilaksana sepenuhnya. Itulah LAILATULQADAR.

Kami di WARGA PRIHATIN telah mencuba sedaya upaya di sepanjang RAMADHAN ini. Dalam kesibukan meneruskan kerja pembinaan, pendidikan anak-anak, memenuhi undangan buka puasa dll, telah kami usahakan untuk berkongsi hidayah ALLAH (yang baik sajalah, kalau terjumpa yang tak elok, itu kelemahan kami, bukan dari ALLAH) yang tercetus dari usaha kami yang ISTIQOMAH secara BERJEMAAH di RPWP di rumah usang ini. Itu bukti kami bukan selfish atau assobiyah.

Bagi yang tidak sempat menerima sms, atau status ucapan hari raya dari kami kerana telah siap untuk bercuti dan mungkin tiada pautan internet di desa, terimalah ‘Ucapan bersulam Doa’ dari kami semuanya di RPWP. Anggaplah segala artikel yang kami tulis di sepanjang RAMADHAN tahun ini sebagai doa kami yang istiqomah untuk anda sekalian yang kami kasihi.

Segala perbincangan, kupasan berkaitan isu kacau bilaunya ummat, isu Ramadh yang membuatkan ramai rakan fb menukar status kepada environment ilmiah Ramadhan akan terhenti. INILAH saat di mana kami dapat merasakan kesedihan dengan perginya RAMADHAN tahun ini. selepas ini perkongsian sebegini akan kembali sunyi. Yang bergambar sopan akan kembali menampakkan susuk tubuh seksi semula di wall masing-masing, maki hamun puak A dan puak B, pub, Karaoke, Kelab Malam yang pernah sepi seketika akan di ‘imarah’kan semula (kami harap ia tidak terjadi)…

Jika ada kebaikan dari hasil usaha kami, tidak perlu puji kami, pujilah ALLAH kerana segala hidayah dan kekuatan itu datang hanya DARI ALLAH. Jika ada yang kurang elok atau salah sama sekali, itu sebenar-benarnya dari kejahilan, kelemahan ilmu, kefahaman dan kurangnya amal kami, atau mungkin masih ada di kalangan kami yang belum benar benar BERSIH HATI dan BELUM KEMBALI FITRAH selaku umat ISLAM, dan kami ISTIGHFAR SEBANYAK-BANYAKNYA di atas setiap kesilapan kami.

KEMBALI KE KAMPUNG DAN KEMBALI KEPADA FITRAH.

Lazim bukan jika hari raya kita kaitkan dengan kembali ke kampung? Kerana di kampung itu ada asal usul kita, ada ibu dan bapa kita dan itu akan membuatkan kita kenal diri kita semula. Tidak kira kita bekerja di New York, London, Paris, Kodiang mahupun di Ceruk Tok Kun sekalipun, balik kampung seolah-olah satu kemestian. Itulah juga lazimnya dan selazim-lazimnya kita JUGA KEMBALI KEPADA FITRAH KITA. Kembali kepada Al-Quran & Sunnah sebagai rujukan untuk kita mengenal semula siapa diri kita. Untuk kenal semula yang kita ini hamba Allah yang hina dan bukan seorang jagoan yang tak mungkin mati. Barulah hati terdidik untuk tunduk dan kembali kepada fitrah…barulah bermakna hari raya fitrah anda nanti.

Boleh anda SEKALIAN MAAFKAN KAMI?

Hati-hati di jalan raya. Baru tiga hari 53 kematian telah dilapurkan. Beberapa kematian dan kecederaan serius, kebakaran rumah akibat MERCUN, juga berita sedih yang tidak pernah sepi saban tahun.

Agama itu nasihat. Kekuatan ISLAM adalah melalui praktik saling doa mendoakan, ingat mengingatkan dengan penuh kesabaran, dengan fakta kebenaran.

Salam Lebaran dari
WARGA PRIHATIN.