HARI INI DALAM SEJARAH – KES LIWAT II: HUKUMAN PENJARA ANWAR KEKAL LIMA TAHUN
HARI INI DALAM SEJARAH
KES LIWAT II: HUKUMAN PENJARA ANWAR KEKAL LIMA TAHUN
PUTRAJAYA – TERKINI : Hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal bermula hari ini. Pelbagai reaksi ditunjukkan oleh orang ramai berikutan keputusan itu. Ada yang seronok dan ada yang mengamuk.
Berita TV memaparkan suasana agak tegang di perkarangan Istana Kehakiman. Unit Anggota Simpanan Persekutuan turut dikerah untuk mengawal keadaan, khususnya ketika kenderaan yang membawa Anwar Ibrahim dipandu keluar dari situ.
Berikut adalah beberapa reaksi yang tersiar di akhbar SINAR HARIAN. Semuga semua pihak, termasuk keluarga dan penyokong Anwar dapat bertenang dan mencari hikmah di sebalik semua ini. Kita hanya mengulangi sejarah atau menciptanya. WAMAKARU WAMAKARALLAH, WALLAHUKHOIRULMAAKIRIIN.
NASIHAT BEKAS MB SELANGOR
SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihati keluarga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya isteri serta anak-anaknya supaya tabah menerima keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat II yang diumumkan hari ini.
Kata Abdul Khalid menerusi laman mikro Twitternya, beliau menyifatkan apa yang berlaku adalah ujian dari ALLAH terhadap Anwar dan keluarganya.
“Saya berdoa kepada ALLAH semoga keluarga Anwar diberi kekuatan dalam menempuh dugaan yang mencabar ini,” katanya seperti yang dipetik menerusi posting tersebut.
Mahkamah Persekutuan sebentar tadi memutuskan Anwar bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.
Keputusan sebulat suara yang dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria itu menolak rayuan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Bagimanapun, mahkamah ditangguhkan sejam bagi pihak pendakwaan mengemukakan hujahan berhubung hukuman terhadapnya.
Arifin membacakan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
PENYOKONG SAIFUL SYUKUR KEPUTUSAN MAHKAMAH
PUTRAJAYA – Alhamdulillah, syukur di atas keputusan yang memihak kepada Mohd Saiful Bukhari Azlan,” demikian reaksi penyokong Saiful selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah terhadap tuduhan meliwat hari ini.
Jurucakap tersebut Zulkarnain Mahdar, 48, berkata, keputusan tersebut jelas membuktikan bahawa Mohd Saiful berada dipihak yang benar sekaligus menepis dakwaan Saiful mereka-reka cerita mengenai kesnya tersebut.
“Kami yakin ini keputusan daripada ALLAH, yang hak tetap hak, yang batil tetap batil.
“Akhirnya ALLAH membuka kebenaran tersebut,” katanya kepada Sinar Online hari ini.
Sementara itu menurut seorang lagi penyokong Mohd Saiful yang juga Presiden Pertubuhan Suara Aspirasi Malaysia, Suhaimi Adnan, 42, berkata, beliau berharap dengan keputusan tersebut Mohd Saiful Bukhari akan tampil dengan lebih berani ketika berhadapan dengan masyarakat.
“Keputusan ini akan beri semangat baharu kepada Mohd Saiful Bukhari,” katanya.
KERAJAAN TEGASKAN MAHKAMAH NEGARA BEBAS
Kelihatan polis melakukan permantauan keselamatan di luar Istana Kehakiman Putrajaya, hari ini.
Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN
SHAH ALAM – Kerajaan mengeluarkan satu kenyataan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mensabitkan kesalahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu beliau.
Kenyataan itu memetik seorang jurucakap kerajaan sebagai berkata, hakim-hakim dalam kes ini membuat keputusan setelah menimbang semua bukti secara berimbang dan objektif.
Katanya, Malaysia mempunyai badan kehakiman yang bebas dan sebelum ini terdapat banyak juga keputusan yang membawa hukuman terhadap tokoh kerajaan.
“Laporan polis terhadap Anwar Ibrahim dibuat seorang individu secara peribadi – pekerja dan pembantu peribadi Anwar, bukan oleh kerajaan. Sebagai mangsa serangan seksual yang serius, dia berhak membawa kesnya ke mahkamah.
“Dalam kes ini, semua proses dilaksanakan dengan lengkap dan komprehensif, yang memakan masa beberapa tahun. Proses itu kini selesai dan kami menyeru semua pihak terbabit supaya menghormati proses undang-undang dan keputusan penghakiman,” katanya.
SAIFUL SUJUD BERSERAH
SHAH ALAM – “Berkat doa, istiqamah dan sabar selama tujuh tahun, pada hari ini, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan bahawa dakwaan saya selama ini benar, dan saya seorang saksi yang ‘credible’,” kata bekas pembantu peribadi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohd Saiful Bukhari Azlan berkata, dia dan keluarganya menghormati keputusan yang diputuskan mahkamah hari ini.
“Seawal tujuh tahun dulu, dari mula saya membuat laporan polis hinggalah ke saat ini, apa yang saya mahukan sebagai pengadu dan rakyat di negara ini adalah aduan saya keatas perlakuan Anwar Ibrahim keatas saya disiasat dan diadili, tidak lebih dari itu.
“Juga sebagai hamba ALLAH yang tidak sempurna ini, saya menjalankan tanggungjawab, menegakkan kebenaran agar saya tidak disoal diakhirat nanti,” katanya yang dipetik blog peribadinya http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com.
Katanya, yang pasti, apa yang penting kini, saya dan keluarga kehadapan.
“Saya berdoa semoga ALLAH SWT terus memberi perlindungan, rezeki dan kemudahan dalam segala urusan saya.
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama saya secara langsung atau tidak langsung selama ni. Allah sahaja mampu membalasnya,” katanya.
SEDIKIT VIDEO SUASANA DI PERKARANGAN MAHKAMAH
SUASANA awal penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan sokongan pada sesi keputusan rayuan akhir Liwat II di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini.
https://www.youtube.com/watch?v=XMjCcEUdDYo
SUASANA Awal Penyokong Saiful pada sesi keputusan rayuan akhir Liwat II di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini.
https://www.youtube.com/watch?v=KPnWdyqGHPg