Harga Makanan Kantin naik Mendadak – Perlu Bawa Bekal?
Dalam akhbar, BERNAMA turut melapurkan isu yang sama dan mengatakan yang pihak kerajaan akan melakukan siasatan. Sedikit petikan berita ada kami paparkan di link berikut,
http://prihatin.net.my/web2/2014/01/07/harga-makanan-kantin-sekolah-naik-disiasat/
BERPENDAPATAN TINGGI TAPI TANPA KEBERKATAN
Fenomena kenaikan harga dan pengurangan subsidi yang berlaku sekarang ini nampaknya sudah tidak dapat dielakkan. Peperangan di kalangan parti politik pula telah banyak menyebabkan pembaziran dan memakan keberkatan ekonomi negara bertuah ini. Perbelanjaan yang tidak sepatutnya seperti penganjuran berbagai-bagai majlis, jamuan, pesta, serta perhimpunan untuk tujuan kempen, pembelian t-shirt, uniform, mencetak banner, banting, poster, perjalanan untuk berkempen dan sebagainya telah turut menyumbang kepada fenomena ini.
KEBERKATAN adalah bermaksud kecukupan. Dengan fenomena kenaikan harga ini jelaslah pendapatan yang tinggi seakan-akan tidak membawa sebarang erti lagi. Dahulu anak sekolah cukup dengan berbekalkan wang siling, kemudian terpaksa bawa wang kertas biru. Kini minima mereka perlukan wang hijau dan kebanyakkannya telah membawa wang merah untuk belanja ke sekolah.
BAGAIMANA MENGATASI KENAIKAN BELANJA PERSEKOLAHAN?
Bagi yang bertanya bagaimana RPWP mengatasi masalah ini, sila rujuk kepada artikel kami sebelum ini dari link berikut. Apa yang dipaparkan dalam kisah ini adalah sama seperti apa yang kami amalkan. Antaranya ialah kami didik anak-anak kami berpuasa sunat Isnin Khamis dan membawa bekal ke sekolah.
http://prihatin.net.my/web2/2013/09/20/miskin-terhormat/
Apabila sesuatu gejala itu tidak boleh kita bendung, maka belajarlah untuk menjarakkan diri menjauhi gejala itu. Contohnya jika selama ini terlalu banyak pesta lagho dan banyak pula kes buang bayi 9 bulan selepasnya, maka masyarakat prihatin menegur pihak terbabit. Apabila tiada tindakan untuk menghentikan penganjuran pesta, maka lakukanlah usaha agar kita menjauhinya saja.
Merujuk kepada kenaikan harga makanan di kantin sekolah ini, ada lebih baik jika kita tukar pendekatan kita. Kami pasti ada yang tidak senang dengan pendekatan kami ini dan akan mengatakan tidak sanggup atas berbagai alasan. Kami sekadar kongsikan sahaja dan terpulanglah kepada masing masing untuk menimbangkan kewajarannya.
“Hai sekalian manusia, makanlah yang HALAL lagi BAIK dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu” – QS: 2. Al Baqarah 168.
Beberapa bulan dahulu anak kami ada menulis sebuah artikel merujuk kepada isu BEKAL KE SEKOLAH ini. Untuk itu kami kongsikan tulisan anak 16 tahun ini untuk sama-sama kita pertimbangkan apa yang tersurat dan tersirat dari luahan mereka.
=========================
BEKAL
“Makcik saya nak makan nasi lauk ikan keli berempah, sayur dan air milo ais”, pesan salah seorang anak muda di sekolah saya. Fenomena inilah yang berlaku kepada anak-anak di kantin sekolah. Penggunaan duit belanja ke sekolah jadi fenomena biasa kepada anak-anak sekolah sejak berusia tujuh ke lapan tahun. Tahukah kita ke mana terbuangnya duit yang diberikan?
Apa yang kami perhatikan sepanjang sembilan tahun bergelar pelajar, jarang melihat ada rakan-rakan sebaya untuk membawa makanan dari rumah untuk ke sekolah. Sehinggalah kami menjejakkan kaki ke Prihatin, barulah kami faham dengan jelas mengenai hakikat ‘bekal’ yang sebenar.
Di Prihatin, anak-anak dididik tidak menggunakan wang ringgit ke sekolah. Para ibu bersusah payah untuk bangun awal dan memasak bekal kami semua. Sebenarnya di sebalik bekalan makanan yang diberikan ada pelajarannya yang kami sebagai anak-anak perhatikan. Kesudian, kesanggupan, komitmen yang tinggi, keikhlasan dan yang paling penting kasih sayang dalam masakan itu dapat dirasai setiap kali kami menikmati bekalan yang disediakan. Yang lebih penting lagi, bekalan nasihat, kata-kata semangat dan pantang larang sepanjang keberadaan kami di sekolah turut dititik beratkan bersama bekalan itu.
“Bangsa yang hebat adalah bangsa yang belajar daripada kekurangan dan sanggup mencontohi kekuatan bangsa lain”. Itulah pesanan yang sentiasa disemai dalam jiwa kami.
Menyedari hakikat ini, ibu-ibu telah mengambil uswah (suri tauladan ) daripada salah satu bangsa yang terkuat di dunia yakni bangsa Jepun. Salah satu budaya yang sering dipraktiskan oleh ibu bapa mereka adalah dengan menyediakan bekal. Budaya ini diamalkan semata-mata untuk membentuk penyambung legasi yang hebat. Hasilnya, kita boleh lihat generasi mereka hari ini sentiasa memanfaatkan masa dengan ilmu walaupun di atas keretapi. Ini kerana, penggunaan bekal ini mendidik mereka agar sentiasa memanfaatkan masa.
Dengan adanya makanan yang dibekalkan, kami tidak perlu kalut menunggu-nunggu waktu rehat untuk berebut berlari ke kantin akibat takut kehabisan makanan kegemaran. Kami juga tidak perlu berasak-asak membeli makanan dan mendapatkan tempat duduk. Banyak masa dan risiko boleh diselamatkan dengan adanya bekalan makanan dari rumah.
“Kamu adalah apa yang kamu makan”. Bahan yang dimakan mampu membentuk seseorang insan. Selain bekalan makanan yang tersurat, sebenarnya ada pengubahsuaian yang dilakukan oleh ibu-ibu Prihatin. Bekal yang dimaksudkan adalah bekalan makanan dan minuman sebagai pendinding. Pelik bukan?. Mari kami kongsikan dengan lebih mendalam lagi.
Bekalan yang disediakan bukanlah untuk kekenyangan perut semata-mata. Tetapi, bekalan ini adalah untuk pengenyang hati dan pendinding prinsip berupa pegangan hidup. Untuk tujuan ini, bekalannya bukanlah mee, bihun, nasi goreng mahupun roti. Tetapi berupa nasihat, seruan dan banyak lagi yang dibekalkan kepada kami. Sungguhpun perkara ini adalah yang terbaik, namun ia sering terlepas pandang oleh segelintir ibu bapa. Bekalan inilah sebenarnya yang ditagih oleh dan sangat diperlukan oleh anak-anak sekarang.
Di Prihatin, setiap hari ‘bekalan’ inilah yang disemai ke dalam jiwa kami oleh ibu-ibu maupun bapa-bapa. Hasilnya, kami ‘sentiasa kenyang’ dan tidak mudah lapar dan haus bila berjauhan daripada kawalan mereka. Sekaligus kami terhindar daripada masalah sosial. Ternyata, bekalan ini lebih tinggi keperluannya berbanding bekalan wang yang berguni-guni tetapi sifar pengisiannya. Ini jelas kami lihat dari rakan-rakan kami yang mewah dengan wang lalu dengan wang itu juga mereka membeli rokok dan berpeleseran di pusat membeli-belah dan pusat video.
Dalam proses penyediaan bekal ini juga secara tidak langsung membentuk sikap para ibu. Mereka akan terdidik secara alami untuk bangun awal, ringan tulang dan sentiasa istiqomah dalam memastikan anak-anak ‘tidak kebuluran’. Kendatipun tiada kaitan darah daging, namun sikap keibuan ini secara tidak langsung mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan dalam diri segilintir anak-anak yang sudah tidak mampu merasai sentuhan seorang ibu. Kasih sayang itulah juga yang membuatkan kami tabah menjalani hidup di rumah yang serba kekurangan ini.
Tugas sebagai seorang pengatur rumah tangga juga akan lebih tersemai dalam diri para ayah. Ayah-ayah akan sentiasa mengingati isteri masing-masing semata-mata hanya untuk memastikan kami ke sekolah dengan keperluan yang mencukupi. Hal ini menyebabkan kami bangga sewaktu ‘menikmati bekalan’ tersebut walaupun kadang-kala ada juga ejekan dan sindiran yang dilemparkan.
Kepada Murobbi di Rumah Pengasih Warga Prihatin , terima kasih kerana sentiasa memastikan kami dan adik-adik cukup bekalannya untuk mengharungi kehidupan dunia yang mencabar ini.
Cetusan zam-zam
WARGA PRIHATIN