Hamba seks dikurung

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 40 tahun mendakwa mengharungi detik hitam apabila dijadikan hamba seks sejak dua tahun lalu.

Difahamkan, sepanjang tempoh itu, mangsa dikatakan dikurung di sebuah rumah di Jalan Kuchai Lama dan setiap pergerakannya dipantau.
Akibat tidak tahan perbuatan suspek, mangsa membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee, Ahad lalu selepas melarikan diri daripada jagaan suspek.

Menurut sumber, mangsa dikatakan mengenali suspek berusia 40-an sejak dua tahun lalu sebelum berpindah ke kediaman lelaki itu.

Katanya, selepas beberapa hari tinggal bersama, belang suspek mula kelihatan apabila sering memaksa mangsa melakukan hubungan seks.
Malah, sumber itu berkata, mangsa mendakwa suspek bertindak lebih kejam dengan membelasahnya jika enggan menuruti kehendaknya.

“Walaupun berkali-kali dirogol dan dibelasah lelaki itu, namun mangsa tetap berdiam diri dan tinggal di rumah berkenaan. “Bagaimanapun, wanita itu nekad melarikan diri selepas tidak tahan dijadikan hamba seks dan mangsa belasahan suspek,” katanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan tetapi enggan mengulas kerana siasatan masih dijalankan.