HAJI LUTFI LOKMAN – IKON USWATUN HASANAH ERA MODEN

Salam Aidilfitri kepada semua pembaca. Semalam posting kami tentang konflik perkahwinan yang tidak disangka menjadi SANGAT viral walaupun ramai Likers fb kami sedang bercuti memperlihatkan komen-komen yang menunjukkan kesedaran bahawa kita sudah bingung dan jauh dari fitrah. Sempena Hari Eid al-fitri (Kembali Fitrah) ini, kami kenalkan kepada anda seorang ikon yang kami ulangceritakan kepada anak-anak kami agar mereka mengambil uswah dengan cerita itu.

Haji Lutfi Lokman atau dikenali oleh anak-anak Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) sebagai Baba Lutfi ialah individu yang bertanggungjawab menjadi laluan kami sehingga dikenali oleh Perdana Menteri Malaysia. Bermula dari perkenalan beliau dengan salah seorang pengasas RPWP secara online pada tahun 2006 dahulu telah membawa beliau ke RPWP beberapa bulan lepas. Dari ketika itu, kami berkenalan dengan beliau dengan lebih rapat lagi. Dari hanya seorang pelawat, sehingga kini menjadi sebahagian dari kami di sini. Dalam cerita beliau ada banyak pelajaran yang mampu kami rungkai sebagai contoh-contoh baik seorang manusia Islam.

KAHWIN AWAL

Haji Lutfi Lokman merupakan seorang graduan dalam Pengajian Bahasa Arab & Syariah dari Umm Al-Qura University, Makkah. Beliau amat meminati fotografi dan itu beliau jadikan sebagai salah satu dari aktiviti beliau sepanjang berada di Kota Mekah. Beliau berada dalam pengajian dan seterusnya menyambung kerjaya beliau di Kota Mekah dan di Jeddah.

Lahir pada tahun 1983, beliau sangat determine dengan apa yang dimahukannya. Sebelum menjejakkan kaki ke Kota Suci Mekah untuk menyambung pengajian beliau, telah disemat di dalam hati mahukan seorang isteri dari kalangan yang fasih berbahasa Arab. Alhamdulillah, jodoh beliau telah tertulis dengan seorang anak gadis Melayu kelahiran Kota Mekah yang ibu bapanya berasal dari Negeri Kedah Darul Aman. Isteri beliau (Najwa Abdul Rahman) pada ketika itu baru berusia 18 tahun dan dipisahkan dengan jarak umur 5 tahun berbanding beliau sendiri.

Perhubungan antara Lutfi dengan isterinya Najwa sebelum perkahwinan sangat terkawal. Mereka tidak pernah sekali pun keluar bersama selain berutus surat melalui adik Najwa dan pertemuan yang dihadiri oleh ibu bapa Najwa sendiri. Kemurnian hubungan itu berterusan sehingga pada kebetulan waktu ibu dan bapa Lutfi mengerjakan ibadah haji dan disitu Lutfi membuka mulut menyatakan niat untuk mengahwini Najwa. Niat yang baik disambut baik dan dipermudahkan oleh kedua-dua belah pihak. Pekrara ini juga sudah jarang berlaku dalam keluarga moden kini yang lebih mengutamakan kemampuan harta berbanding kemampuan ilmu.

Malangnya, Lutfi yang mendapat penajaan dari Kerajaan Arab Saudi mengalami keputusan kewangan apabila 5 bulan tertangguh beliau tidak mendapat pendanaan yang biasanya dimasukkan secara bulanan sebanyak SDR840 (Sekitar RM700). Beliau terpaksa berpuasa dan mengikat perut untuk tempoh 5 bulan itu sambil melakukan aktiviti-aktiviti kerja sambil belajar bagi survival beliau di sana.

Selepas 5 bulan, biasiswa beliau masuk sekaligus dengan satu amaun yang besar tetapi cukup sekadarnya bagi melangsungkan sebuah perkahwinan yang ringkas di tanah suci Mekah bersama isteri beliau Najwa. Beliau meneruskan pengajian dengan segala keterbatasan dana yang hanya cukup untuk seorang sahaja.

Allah telah berikan Lutfi satu latihan yang semulajadi pada tempoh 5 bulan itu sehingga beliau mampu mencari sumber pendapatan lain selain dari bergantung hanya kepada biasiswa sahaja. Rezeki itu ternyata datang dari Allah, walaupun sibuk dengan pengajian beliau, Lutfi masih berkesempatan melakukan pelbagai perniagaan termasuk pernah satu masa membekalkan 1000 ekor kambing biri-biri untuk tujuan pembayaran “Dam” semasa musim haji juga umrah.

Rezeki yang tiba selepas kahwin ditambah lagi dengan kehadiran 3 orang cahayamata yang kesemuanya dilahirkan di Saudi. Ketiga-tiga cahayamata itu bernama Waseem, Naseem & Basmah. Rezeki semakin bertambah sehingga beliau meneruskan pengajian dalam bidang Syariah selepas menamatkan pengajian dalam Bahasa Arab di peringkat ijazah sarjana muda.

Beliau yang dikenali sangat ringan tulang dan ringan mulut itu mampu untuk menyara sebuah keluarga yang telah dikira besar bagi sebahagian keluarga di Malaysia ini. Pada beliau, keberkatan itu bukan bergantung kepada berapa banyak yang beliau dapati tetapi sedikit yang mencukupi. Berpuasa secara hakikat juga menjadi satu sarana keberkatan rezeki beliau sekeluarga. Tatkala beliau memperolehi laba besar dalam perniagaan kambing, beliau puasakan nafsu untuk menukar kereta kepada kereta baru yang lebih mahal dan juga menahan diri dari bermewah-mewahan.

BAPA & IBU YANG MEMBENTUK LUTFI LOKMAN

Beliau akui, apa yang telah terjadi kepada beliau sehingga menjadi seorang yang hafidz pada usia muda semasa di ‘Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu’ adalah pengaturan oleh ibunya sendiri. Ibunya seorang guru di Kuala Terengganu sementara bapanya pula bekerja sebagai seorang pelukis plan TNB di Dungun. Pengorbanan bapanya berulang alik antara Dungun dan Kuala Terengganu setiap hari menjadi satu inspirasi kepada beliau tentang pengorbanan seorang bapa demi untuk bersama dengan keluarga dan menjalankan fungsi seorang bapa secara konsisten. Bapa Lutfi merupakan seorang yang jarang marah tetapi sangat tegas dengan prinsipnya. Barangkali, itulah punca bagaimana Lutfi terbentuk akhlaknya. Seorang Hafidz Quran yang tidak mahu digelar Al-Hafidz dan seorang Haji yang rasa janggal digelar Haji menunjukkan sikap beliau yang ikhlas dan sangat takutkan kebaikan dan kelebihan itu membuatkan beliau menjadi takbur dan ujub. Hatta, artikel ini pun kami pujuk beliau dan atas dasar dakwah melalui uswatunhasanah, beliau bersetuju untuk kami

Ia agak selari dengan pendidikan di Prihatin sendiri yang mana pendidikan akhlak bukan satu pendidikan yang ada pedagogi khusus sebaliknya ia memerlukan satu pendekatan USWAH (Contoh tauladan). Lutfi bernasib baik kerana beliau lahir dalam keluarga yang terbentuk dengan akhlak yang baik lalu beliau sendiri mewarisi asas akhlak itu sebelum beliau naiktarafnya dengan kefahaman dalam teologi Islam.

PENDIRIAN ISLAM YANG TEGUH – ABAL-HAKAM (SUAMI) YANG DIHORMATI

Kami mudah mesra dengan isteri & anak-anak Lutfi yang ketiga-tiganya sangat mendengar kata. Isterinya pula sangat taat dan tidak banyak komplen. Pernah sekali beliau hadir ke Prihatin dan kami melayaninya dengan pelbagai isu perbualan sehingga melewati tengah malam tetapi isteri beliau, Najwa tetap menunjukkan muka riang dan ceria walaupun kami dapat lihat beliau agak kepenatan mendukung anak kecil sepanjang hari itu. Tidak sekalipun kami dengar beliau melontarkan isyarat untuk Lutfi cepat-cepat menghabiskan perbualan dan beransur pulang.

Kami mudah mesra dengan beliau kerana pendekatan pendidikan anak-anak kami di Prihatin agak selari dengan apa yang beliau praktiskan. Salah satunya ialah PRINSIP “Arrijal Qowwamun Alan Nisa” (Lelaki pemimpin Wanita). Memang agak tegas prinsip itu tetapi itulah yang beliau kongsikan antara faktor kebahagiaan rumahtangga ibu bapanya dan juga rumahtangga beliau sendiri. Kami di Prihatin juga mengakui keberkesanan pendekatan itu. Barulah seorang lelaki mampu menjadi `lelaki’ yang memimpin dan bukan hanya mendengar kata-kata isteri dan hanya berkata “Baik yang…ikut you lah yang…apa-apa lah yang… etc etc”.

ANTARA KERJAYA, KEPENTINGAN AGAMA & KELUARGA

Manusia moden berlumba lumba mengumpul dan sebahgiannya mencapai tahap `menyembah’ pangkat dan harta, hingga sanggup menggadaikan maruah, mengabaikan keluarga, khasnya apabila anak-anak terbiar kerana sang isteri turut berlumba-lumpa mencari nafkah siang dan malam. Lutfi memutuskan untuk mengutamakan keluarga, tidak mengizinkan isteri beliau keluar bekerja. ALHAMDULILLAH, Itu juga selari dengan PRINSIP dan praktis RPWP.

Sejak awal saat beliau menikmati rezeki hasil pencarian sendiri yang sedikit jumlahnya, beliau sentiasa ingat bahawa ada HAK ALLAH dari setiap perolehan itu, lalu beliau meng’infak’kannya melalui sedekah kepada pihak-pihak yang memerlukan setiap kali rezeki diperolehi. Alhamdulillah, keberkatan sangat jelas dirasakan dan rezeki beliau sentiasa kecukupan.

Satu ketika pula, beliau pernah dilimpahi dengan rezeki yang banyak dan telah terlalai dari menginfakkan perolehan rezeki. Akibatnya beliau telah merasa tidak tenteram dan jauh dari redo Allah. Rezeki dirasakan sempit dan kurang berkat walaupun banyak jumlahnya. Dengan segera beliau KEMBALI kepada fitrah INFAK yang telah sekian lama beliau amalkan dulu. Kini Alhamdulillah, beliau telah mendapat semula keberkatan yang pernah beliau kecapi dulu. Ini juga satu PRINSIP yang sangat selari dengan praktis RPWP.

Tidak ramai antara kita yang telah mendapat pendapatan sebesar SDR6800 di luar Negara mampu meninggalkan kesemuanya sekali kerana seorang bapa yang jatuh sakit. Lutfi telah bekerjaya dengan baik di sebuah syarikat berpejabat di Jeddah. Apabila bapanya diserang penyakit jantung dan terpaksa menjalani pembedahan menggantikan injap jantungnya dengan kos perubatan yang sangat tinggi. Beliau tidak mahu ketinggalan dalam menjaga bapanya.

Tanpa berfikir panjang, Lutfi berkemas dan bersiap untuk pulang ke tanahair selama-lamannya. Tidak sanggup beliau bermewah di luar Negara sementara bapanya yang uzur sangat perlukan sokongan anak-anak, terpaksa di papah oleh isteri (ibu Lutfi) saban hari.

Walaubagaimanapun, kekangan kewangan menunda pembedahan kepada bapanya. Tanpa berfikir panjang, beliau menggunakan foto-foto koleksi beliau sepanjang berada di Kota Mekah untuk dijadikan sebuah buku dan dijual pada harga RM130 sebuah. Ia merupakan buku yang sangat luarbiasa, foto-fotonya sangat cantik dan terlalu bersifat journalistik sehinggakan melihatnya sahaja membuat kita rasa seperti berada di sana. Benarlah kata pepatah, penceritaan dari gambar (ayat kasar) sangat mendalam dan mampu menyentuh jiwa, khususnya bagi mereka yang tidak ada masa untuk membaca huruf (ayat halus). Jadi, untuk hadiah kepada warga emas, atau mereka yang sibuk adalah sangat sesuai sekali.

Bagi yang mahu mendapatkan buku “A Glimpse of Makkah” yang beliau tulis dan foto juga dari beliau sendiri boleh dapatkan HANYA secara online di https://www.facebook.com/AGlimpseOfMakkah

Tak rugi anda membeli kerana beliau adalah orang yang menginfakkan pendapatan dari jualan itu untuk tujuan yang baik. Sedar tak sedar, pembeli juga telah menyumbang dalam usaha menyelamatkan nyawa bapa Lutfi sendiri.

Rezeki beliau agak baik apabila ditawarkan bekerja mengajar Bahasa Arab di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu. Tetapi beliau berhenti kerja apabila ditawarkan untuk bekerja sebagai seorang pegawai penyelidik seorang pemimpin tertinggi Negara.

Segala jualan buku itu telahpun beliau gunakan untuk menampung kos pembedahan bapanya yang akhirnya berjaya dijalankan. Selepas dari pembedahan dilakukan, kini beliau menginfak jualan buku-buku itu kepada kami di Rumah Pengasih Warga Prihatin. Kami faham dan kami jelas keadaan beliau selepas beliau meletakkan jawatan di sebuah tempat kerja yang paling dikehendaki oleh orang Malaysia. Beliau tidak lagi berpendapatan tinggi tetapi hasil jualan buku itu dengan hidup TANPA HUTANG membuatkan beliau bahagia dengan hidup yang beliau lalui.

Beliau tinggalkan kerjaya menarik di Jeddah, beliau tinggalkan kerjaya yang ringan tetapi bergaji tinggi di USZA dan selepas itu beliau tinggalkan juga kerja hebat bersama pemimpin tertinggi Negara yang biasanya dijaminkan pelbagai kemewahan dan peluang besar dalam pembangunan kerjaya dan semua itu beliau lakukan untuk mencari keberkatan rezeki. Beliau menjual buku-buku yang beliau terbitkan sendiri, walaupun tidak mewah tetapi beliau merasakan kegembiraan itu terbit dari hati dan itulah yang membawa keberkatan rezeki beliau. Walaupun sedikit tetapi mencukupi.

Kami sangat menyenangi beliau kerana antara Lutfi dengan kami, masing-masing memikirkan bahawa ILMU ialah rezeki terbesar kami dan bukannya wang ringgit yang habis bila dibelanjakan.

KESIMPULAN

• Berapa ramaikah antara kita yang semakin rosak dalam arus kemodenan?
• Berapa ramaikah antara kita dipimpin oleh isteri kita sendiri?
• Berapa ramaikan yang sanggup menolak kemewahan untuk seorang bapa yang sakit?
• Berapa ramai yang sanggup meminta isteri berkelayakan tidak bekerja untuk kepentingan anak-anak?
• Berapa ramai yang sanggup mengeluarkan infak bulanan, dalam keadaan mewah maupun sempit?
• Berapa ramai yang sanggup bernikah secara ala kadar sahaja?
• Berapa ramaikah yang sanggup mengakhirkan zaman bujang tanpa sebarang pertemuan (dating) dengan bakal isterinya?

Tatkala manusia berpusu-pusu melangkah ke hadapan, Haji Lutfi Lokman mengundur ke belakang terus kepada perlaksanaan cara Quran & Sunnah yang telah turun kepada kita lebih 1400 tahun dahulu. Itulah carahidup Islam yang MAJU. Jika perlu berundur untuk jadi MAJU dalam Islam, kami juga rela berundur dari kemodenan dan mencari paksi lama yang telah dilupakan atau telah digelar KOLOT bagi manusia moden.

Cerita ini akan terus kami ceritakan kepada anak-anak kami sebagai tauladan yang baik.

Diriwayatkan oleh
WARGA PRIHATIN