GURU DUDA ROGOL PELAJAR 11 DAN 13 TAHUN DIPENJARA 24 TAHUN DAN 12 SEBATAN

Guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah rendah di Lembah Kelang, Mohd Ezlie Azram Mohammad Khasasi (tengah) di hukum penjara 24 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Seksyen Selayang hari ini kerana didapati bersalah merogol anak muridnya.

KUALA LUMPUR 17 Feb 2017 – Seorang guru Pendidikan Jasmani sebuah sekolah rendah di Lembah Klang dihukum penjara 24 tahun dan sebatan 12 kali oleh Mahkamah Sesyen Selayang dekat sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan merogol seorang anak muridnya dalam dua kejadian pada tahun 2011 dan 2013.


 

Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan duda yang memiliki dua anak, Mohd. Ezlie Azram Mohammad Khasasi, 38, gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

 

Walau bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan bagi kesemua hukuman dengan syarat jaminan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM20,000 berserta seorang penjamin.

 

Mohd. Ezlie didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa antara pukul 1 petang dan 3 petang, 3 Disember 2011 ketika mangsa berusia 11 tahun sebelum mengulanginya pada pertengahan bulan Ogos 2013 sewaktu mangsa berusia 13 tahun.

 

Kedua-dua kejadian didakwa berlaku di rumah tertuduh di Taman Aman Siara, Batu Caves dekat sini.

 

Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat. – Utusan