Empat pelajar sanggup rogol rakan sekolah sendiri

SUNGAI PETANI – October 11th, 2011

Empat pelajar tingkatan tiga dan empat di sebuah sekolah menengah di Gurun dekat sini ditahan reman semalam dipercayai terlibat dalam kes rogol melibatkan seorang pelajar perempuan dari sekolah sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali (gambar) berkata, keempat-empat mereka berusia 15 dan 16 tahun itu didapati telah merogol rakan sekolah mereka di sebuah rumah salah seorang suspek di Gurun.

“Mangsa yang berusia belasan tahun dikatakan baru sahaja berkenalan dengan ahli kumpulan lelaki terbabit sebelum dibawa ke rumah salah seorang suspek.

“Mangsa kemudiannya dipercayai dirogol oleh keempat-empat suspek ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Hashim berkata, penahanan suspek dilakukan bagi meneruskan siasatan lanjut mengenai kejadian yang berlaku ini.

“Suspek dan mangsa masih dibawah umur dan kita menahan suspek untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan .

“Kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkan ke balai polis berhampiran atau ke IPD Kuala Muda,” katanya.