Dyana, tayang badan untuk kutip dana
Wan Syamsul Amly, Astro Awani | Kemas kini: Mac 05, 2015
Ketua Penerangannya, Haryaty Hamdzah berkata, aksi itu juga boleh dikategorikan sangat memalukan selain menyifatkan ia tindakan tidak manis dilakukan seorang wanita muda.
“Wanita muda tidak boleh menggunakan aksi sedemikian untuk menarik perhatian, lebih-lebih lagi untuk mengumpul dana.
“Ia perlakuan yang memalukan, Dyana harus fikir cara lain yang lebih sopan daripada bergambar dengan gaya sebegitu di bilik tidur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Aksi Dyana untuk mengutip dana yang didakwa Puteri UMNO kurang sopan di sebuah majalah antarabangsa – Gambar Facebook Dyana
Haryaty mengulas tindakan Dyana dengan memakai baju putih di bilik tidur dan dipaparkan di majalah Marie Claire.
Ia merupakan sebahagian daripada kempen ‘Wake Up To A Good Cause’ bagi tujuan pengumpulan dana bagi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).
Kempen itu menyarankan kepada personaliti tempatan untuk merakamkan foto mereka tanpa solekan dan Marie Claire akan mendermakan RM10 untuk setiap foto yang dimuatnaik ke laman sosial Instagram.
Selain Dyana, ia turut disertai pelakon Sharifah Amani dan model Carmen Soo.
Dalam pada itu kata Haryaty, Dyana harus memikirkan cara yang lebih sopan daripada bergambar dengan aksi-aksi di bilik tidur untuk mencari dana.
“Selain dia ahli politik, Dyana perlu buat pendekatan ke arah kemasyarakatan dan tidak mengeksploitasi tubuh badan.
“Selain tidak sesuai dengan agama Islam sendiri dengan aksi yang memalukan, dia juga harus berfikir cara lain yang lebih sopan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, Dyana juga dinasihat untuk memikirkan cara lain yang lebih dekat dengan masyarakat jika mahu mengutip dana.
“Dia boleh berjumpa masyarakat atau menganjurkan majlis yang lebih baik untuk mencari dana. Kita bukan budaya barat untuk tayang tubuh ke sana ke sini semata-mata untuk tujuan berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, Dyana pernah menggemparkan negara dengan beberapa keping gambar di media sosial yang memaparkan aksi dua individu mirip Dyana dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dalam keadaan berpelukan mesra.