DOA BUAT PM & IDEA PENYATUAN MENURUT AL-QURAN


Ramai yang memberitahu kami hajat mereka untuk melihat secara dekat apakah yang kami beri sebagai cenderahati kepada Perdana Menteri dalam foto majlis berbuka puasa di Seri Perdana tempohari. Bagi tidak menghampakan mereka, kami paparkan softcopy apa yang kami cetak dan bingkaikan untuk PM dengan tajuk “DOA BUAT PM”.
SEBAGAI ORANG ISLAM yang seharusnya menjadi contoh yang baik, sentiasa menjadi uswah (contoh tauladan) dan rujukan kepada dunia, kita harus set minda dan matlamat hidup kita untuk mencari kesejahteraan dan redha Allah semata-mata. Itulah ISLAM (Islam = SALAM, SEJAHTERA, SELAMAT).


ROBOHKAN PEMISAH (Partition)

Tidak kira kita dari PARTI mana (yang bermaksud partition, puak atau perpecahan), harus kita terima hakikat bahawa PM adalah PM untuk semua rakyat Malaysia dan bukan PM untuk Barisan Nasional sahaja. AYUH KETEPIKAN SEKETIKA unsur parti. Dekatkan diri kita dengan hidayah ALLAH. Soal kita setuju atau tidak dengan perlantikan PM itu, hakikat yang harus kita terima sepanjang 5 tahun ke hadapan. Kesejahteraan negara kita banyak terkait dengan kebijaksanaan kepimpinan tertinggi kita pada hari ini. Jadi jika kita biarkan kepimpinan tertinggi ini bingung dan bercelaru terlalu memikirkan TENTANGAN berbanding KEMAJUAN, bermakna kita menzalimi diri sendiri. Kita juga menempah kesengsaraan diri dan anak cucu kita untuk jangkamasa itu. Jangan terikut ikut dengan kehendak sebahgian kecil haters yang memang akan sentiasa berfikiran negatif. Jangan pula terlalu ikutkan nafsu-nasfu beberapa individu yang laparkan kuasa di puncak.

ISLAM DITEGAKKAN DENGAN JUMLAH YANG SEDIKIT

ISLAM tertegak atas dasar menawan hati manusia, kerana kualiti akhlak yang tiada tolok bandingnya. Bukan dengan paksaan dan caci maki. Bagaimana mungkin sistem undi mampu menaikkan ISLAM?… fikirkanlah.

 

Demokrasi memberikan ruang majoriti yang sebahagiannya tidak ada kredibiliti memilih dan menghakimi siapa yang akan dipilih. Sudahnya, SIAPA POPULAR dia menang SIAPA BIJAKSANA tak tentu lagi boleh menang. Sistem undi memecahbelahkan manusia. Bagaimana? Jika kita sorot kembali semasa kekhalifahan, mereka tiada kempen politik dan tidak ada pilihanraya. Pilihan ditentukan oleh Majlis Syuro yang menetapkan secara rasiona dan bukannya populis. Yang jadi pemimpin tidak berkempen untuk dipilih dan yang dipilih pula TIDAK BOLEH MENOLAK pemilihan itu. Cara Islam begitu menjadikan semua umatnya bersatu hati tanpa dipecahkan oleh tujuan undi-undi.

Tatkala Rasululullah SAW menerima wahyu pertama dulu, keseluruhan umat adalah masyarakat yang jahil. Jika baginda mengikut kehendak majoriti, maka sampai bilapun Islam tidak akan tertegak. Begitulah keadaan kita sekarang. Jangan cuba untuk menipu diri sendiri dengan mengatakan kita sekarang sudah ISLAMIK sepenuhnya, sedangkan keadaan AKHLAK umat tidak melambangkan keIslaman itu. Yang berparti atas nama Islam sekalipun masih menggunakan kaedah undian untuk naik memimpin dan masih mempromosi diri sendiri untuk dipilih.

Ahli syuro terdiri dari bijak-bijak pandai yang diiktiraf layak membuat pilihan dari aspek rasional. 1 orang setuju berbanding dengan 9 orang yang tidak setuju juga boleh menang jika rasionalnya MAMPU DICERNA AKAL DAN DIFURQANKAN ahli syuro. Kami tahu, pihak British dan penjajah-penjajah kita dahulu tidak suka artikel ini. Mereka berjaya menginstalasikan sistem undi menggantikan sistem monarki tulen sebelum ini yang menjadi sistem berdasarkan Islam. Dahulu, semua rakyat bersatu di bawah seorang Sultan / Raja yang didaulatkan. Rakyat tahu mereka tak mungkin jadi raja, maka mereka tidak perlulah berkempen mengadu domba orang lain untuk menjadi seorang Sultan. Jika mahu jadi seorang “Mamak Bendahara” pun perlu ada pembuktian keupayaan mereka terhadap Sultan yang memerintah.

Lalu sistem ini digantikan dengan 1 sistem undian atas dasar populis yang cenderung memburukkan antara satu sama lain. Malang betul kita menerimanya terus dari nenek moyang kita kononnya itu lebih baik dari sistem Islam. Sistem undi-undian ini sama sahaja dengan “judi” (lihat rujukan di hujung artikel anda akan lihat ayat larangan mengundi dan judi dibacakan seayat) kerana kita menggantungkan nasib kita hanya kepada “nasib”.  Sistem undian juga sama seperti sistem zaman batu, siapa kuat dia menang. Cuma lain sikit, siapa popular dia menang.

BANTULAH PERDANA MENTERI MALAYSIA (Bukan PM BN)

Mesejnya ialah, jangan biarkan YAB PM bertindak keterlaluan mengikut kehendak ramai. membelanjakan wang negara sebanyak-banyaknya untuk memenangi hati pengundi, itu akan mencipta rakyat & pemimpin yang rosak, dan negara yang bankrup. Penyatuan tetap tidak akan berlaku juga kerana telah ALLAH tegaskan, Emas sepenuh bumi pun tidak akan mampu menyatukan manusia (FIRMAN). Mari kita pohonkan doa agar beliau dihidayahkan ALLAH dengan kepimpinan yang bernas, sehingga beliau BERANI, TEGAS memutuskan sesuatu yang benar benar HAK dan BETUL biarpun ianya tidak populis dan tidak disukai ramai. Mari kita cari idea dan sumbangkan yang terbaik untuk PM laksanakan, kita patuh saja dengan idea yang ISLAMIK dan menyelamatkan itu. Kami yakin PM akan sangat bersyukur dan tunduk dengan kehendak rakyat yang ISLAMIK dan luhur. LETAKKAN ALLAH di kedudukan TERATAS dan tinggalkan sementara unsur politik dan parti dan anda akan lihat kesannya bersifat sejagat.

Pemimpin adalah ibarat gembala. Jika gaya kepimpinan hanya mengikut kehendak ramai, bermakna pemimpin itu kurang berilmu, kurang yakin dengan diri sendiri. Kita tidak mahu menjadi LEMBU yang menarik gembalanya, biarlah fitrah GEMBALA yang memimpin LEMBU (perhatikan hakikat SURAH AL-BAQARAH).

ATAS DASAR ITU, RPWP tidak partisan, tidak percaya kepada sistem undi yang semua orang boleh nampak yang sistem itu ialah sistem jahiliah. Jika ITU KAEDAH Demokrasi yang telah termaktub, mari kita laksanakannya sebagai sarana saja, bukan wadah sebenar membangun Islam.

Jika pemimpin dipilih mengikut sistem jahiliah, oleh majoriti orang yang jahil & ikut-ikut, yang hanya mengikut dakyah dan ceramah yang menyebabkan manusia jadi TAKSUB dan ASSOBIYAH, suka BERBALAH dan berdebat, bangkang membangkang, BERPECAH BELAH, sanggup MEMPERJUDIKAN NASIB UMAT, juga MEMABUKKAN (mabuk kuasa, mabuk undi, mabuk pangkat, darjat & harta) sehingga sanggup MELUPAKAN PERINTAH ALLAH maka SAMPAI BILAPUN Islam tidak akan bangkit. Ironinya kini, calun dan pemimpin sudah sampai peringkat dijadikan BERHALA oleh kita sehingga sanggup kita nafikan perintah ALLAH untuk MENYATU kerana ketaksuban itu. Tiada pemimpin manusia lebih besar dari ketetapan Allah. Tiada dalih perlu diberi jika penyatuan yang Allah mahukan. Nabi Muhammad SAW dah buktikan bagaimana baginda menyatukan Madinah dengan Islam dan penyatuan itu termasuk sekali dari golongan Yahudi & Nasrani yang kemudiannya hidup aman dalam agama mereka tetapi bersistemkan Islam.

Dari sudut lain pula, kami terfikir satu perkara. Jikalah menjadi pemimpin membuatkan kita terpaksa melabur jutaan wang yang kita ada, jika jadi pemimpin buat kita jadi miskin, jadi pemimpin buat kita pakai baju second hand, jadi pemimpin buat kita kurang tidur, jadi pemimpin buat kita banyak kerja, jadi pemimpin buat kita terpaksa ikat perut….ADAKAH LAGI MANUSIA PADA HARI INI YANG MAHU MEREBUT POSISI ITU? Jika ada…itulah ciri-ciri pemimpin Islam.

Sekali lagi, kita tersepit dengan konstitusi dan perlembagaan Negara untuk menjalankan proses pemilihan pemimpin dengan undian, tetapi itu hanya satu sarana pemilihan dan Islam tak mungkin dinaikkan dengan cara itu sebaliknya BERSATU selepas pemilihan itu diputuskan. Selepas dipilih sesiapa yang berkuasa, tugas kita ialah bersama pemimpin sama-sama berganding bahu membangunkan Negara dan agama. Rakyat tidak semata-mata nak harap semua disuap dan diberi, pemimpin pula bantu dengan keputusan-keputusan bijak dan menjimatkan segala perbelanjaan berpadanan dengan keperluan mereka seadanya.

Perhatikan keterkaitan ayat-ayat berikut dalam surah 5, Al-Ma’idah ini,

5:90. Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, dan judi, dan berhala-berhala, dan mengundi dengan anak-anak panah, adalah perbuatan buruk, ia sebahagian daripada amalan syaitan; maka jauhilah ia agar kamu beruntung.

5:91. Syaitan hanya menghendaki untuk menyebabkan permusuhan dan kebencian antara kamu dalam arak dan judi, dan untuk menghalangi kamu daripada mengingati Allah, dan daripada solat. Mahukah kamu berhenti?

 

Haters akan katakana “Dah jadi lemah baru nak bersatu, masa kuat dulu taknak pula bersatu”. Di sini kami mahu lihatkan rasionalnya, jika orang dah kuat nak buat apa bersatu dengan sesiapapun? Betul kan? Memang ketika kita merasakan kita dah lemah dan lawan kita juga hampir sama kuat, itulah masa sesuai untuk bersatu. Aus & Khazraj mempunyai status quo (sama kuat) sehingga mewujudkan fenomena “vacuum of power”. Tidak Aus dan tidak juga Khazraj yang berkuasa di Yathrib sebaliknya golongan minoriti yang bersatu seperti Yahudi dan Nasrani yang masuk jarum nak memerintah. Lalu Nabi Muhammad hadir untuk menyatukan dua kuasa yang berstatus quo dan tidak dinamakan Aus sebagai Khazraj. Juga tidak dinamakan Khazraj sebagai Aus sebaliknya merombak nama-nama itu menjadi MADINAH (satu nama lain).

Selepas mereka bersatu, Islam mampu dikembangkan ke Yaman, Taif, Sham, Parsi, Makkah, Palestin, Damsyik, Cordoba dan banyak lagi. Tetapi titik mula sebuah ketamadunan itu ialah PENYATUAN. Jika masih tidak percaya dengan apa yang telah Allah wahyukan dengan pelbagai alasan, siapa lagi yang kita mahu sembah?

ISLAM ITU TERZAHIR SECARA JEMAAH, UMMATUN WAHIDAH

Terlalu kecil dan bersifat individualistik kiranya arak, judi, undi (tenung nasib), bahkan berhala itu hanya diletakkan pada gejala individu secara mukhamat. Kami melihatnya secara israeliat, secara mutasyabihat kepada siasah STRATEGIK politik Islam dari maksud ayat ayat itu. Yakin bermakna beriman, percaya, dan jika kita percaya mengapa harus kita teragak-agak untuk bersatu dan mengikut kaedah yang sunnah sedangkan bibir kita sentiasa berkata nak ikut Al-Qur’an dan Sunnah!.

Jika kita ikhlas, bersama-sama kita sokong kepimpinan yang ada sekarang dengan menyalurkan idea bernas, nasihat yang baik dan peringatan tanpa jemu atas setiap kesilapan mereka tanpa sebarang cubaan untuk menjatuhkan mereka kerana mereka juga manusia biasa seperti kita. Kami yakin jika mereka nampak keikhlasan kita itu dan tidak merasa terancam, mereka akan merasa tenang dan bersyukur untuk menerima segala nasihat kita. Anak cucu kita juga yang selamat dan sejahtera.

Mari kembali kepada Fitrah ISLAM yang mampu bangkit bukan kerana jumlah yang ramai, tapi kerana KUALITI UMAT yang terbaik dan mampu memikat hati manusia sedunia. Ad-Dien, Agama adalah nasihat. Mari kembalikan fitrah ISLAM yang saling menasihati dengan kebenaran, dengan kesabaran penuh hikmah, penuh berakhlak dan tanpa kepentingan PERIBADI. Mari kembalikan fitrah ISLAM yang berkasih sayang, merasakan semangat persaudaraan seagama yang amat tinggi dan MENSEJAHTERAKAN. Semuga kita kembali ISLAM dan mampu mengISLAMKAN yang lain.

Wasallimu Tasliima. INSYAALLAH.

Salam AIDILFITRI, selamat kembali FITRAH kepada FITRAH ISLAMIAH.

Rayuan dari
WARGA PRIHATIN.

TEKS DOA BUAT PM:

Ya Allah, Ya Robbi.

Kami anak-anak yatim & asnaf Rumah Pengasih Warga Prihatin amat terharu dan bersyukur, kerana telah kau pertemukan kami dengan pemimpin tertinggi negara yang berjiwa prihatin, yang sudi mengasihi kami insan terpinggir di sudut dunia ini.

Ya Allah Ya Rahman,

Dengan rendah diri, setulus hati kami yang hina dina ini bermohon, Kau kembangkanlah keprihatinan pemimpin kami dan hambamu Haji Mohammad Najib bin Abd Razak, agar beliau mampu terus memimpin kami sebagai ulil-amri yang kau redhai.

Limpahkanlah kepadanya tolong dan kurniamu Ya Allah, iaitu kebijaksanaan dan kebaikan untuk terus melaksanakan tugas suci memimpin watan di bumi bertuah ini, menggalang negara yang berpaksikan agamaMu sehingga negara dan agama ini gemilang, menjadi uswah dan ikutan se-antero alam.

Ampunilah dosanya ya Allah, tutupilah sebarang aib dan fitnah terhadapnya, yang boleh menjejaskan kredibiliti kepimpinannya. Lindungilah ia deri segala bahaya, bencana dan khianat, dari mana dan apa pun jua.

Ya Allah ya Aliim,

Saban hari kami memerhati ibu bapa kami berbicara dan membingkar sirah & wahyu meneliti kaedah perpaduan bangsa dan agama melalui prototype perpaduan insan yang ibu-ibu dan bapa-bapa kami usahakan dengan darah, keringat dan airmata mereka, sehingga mampu membuktikan di atas jagatraya ini masih ada lagi hati-hati yang mampu disatukan walaupun tanpa sebarang ganjaran duniawi.

Oleh itu Ya Allah, Kami berdoa agar Kau ilhamkan juga PM kami dengan jalan & metodologi penyatuan ummat, berpandukan kaedahMu yang maha hebat seperti yang telah kau corakkan di dalam Al-Quran & Sunnah, sepertimana yang telah kau ilhamkan kepada Nabi Mu dalam piagam Madinahnya, juga perpaduan kabilah yang bertarung untuk hak reinstallasi Hajar Aswad melalui serban baginda.

Ya Allah, ya Latiif,

Semasa Al-Quran & Sunnah hanya menjadi dendangan dan lagu, tanpa pembongkaran isi sainsnya dalam perlaksanaan mengurus watan dunia yang semakin berpecah, Kau temukan kami dengan pemimpin prihatin ini yang sedang membawa misi perpaduan yang Kau mahukan, selari dengan misi yang diterapkan oleh ibu bapa kami di RPWP ini. Oleh itu ya Allah, kami mohon agar Kau satukan apa saja pengetahuan dari ilmuMu yang maha hebat berdasarkan pengalaman yang telah ibu bapa kami lalui dalam menyatukan manusia di RPWP selama ini untuk membantu PM kami melaksanakan wawasan murni beliau untuk menzahirkan perpaduan itu dengan penyatuan 1ideologi, 1negara, 1Malaysia melalui Sains Al-Quran & Sunnah Rasulmu.

KepadaMu kami menyembah, kepadamu kami berserah dan hanya kepadamu kami pohon pertolongan.

Amin Amin Ya Robbal Alamin