Bila Mantenan Bertemu Martabat: Adab Memuliakan Warga Emas Tradisi Jawa Johor
Posted in Jemputan & Penzahiran
Menghadiri majlis walimah anak pengusaha kerepek tersohor di Parit Sulong, Encik Mastuki Hj Noor dan Pn Zaronah Hj Basri, kerabat kepada Pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP), bukan sekadar bertamu ke majlis raja sehari, malah meletakkan kita sebagai tetamu kepada barisan warga emas (wong tuwo) yang meraikan perkahwinan cucu cicit mereka.
.
Sebagai tetamu, inilah antara tertib menyantuni mereka selaku tuan rumah kehormat yang masih tebal diamalkan :
.
Mencari & Menyapa Tuan Rumah Kehormat:
Sebaik tiba, cari dan hampiri wakil keluarga dan warga emas keluarga pengantin terlebih dahulu untuk bersalam hormat (sungkem), menundukkan badan dan menzahirkan tahniah sebelum bergerak ke khemah jamuan.
.
Tertib Tutur Kata & Bahasa Panggilan:
Gunakan panggilan jurai kekeluargaan yang tepat (Wak, Pak, Lik, Bik, Mbah dan lain-lain) dengan intonasi rendah dan santun sebagai tanda iktiraf terhadap kedudukan mereka sebagai tonggak majlis.
.
Menghargai Jamuan & Hidangan Tuan Rumah:
Nikmati hidangan kenduri dengan penuh rasa syukur tanpa mencela makanan, tidak membuat pembaziran sebagai tanda menghargai penat lelah dan kesudian mereka menyambut tetamu.
.
Menyantuni Sesi Berbual & Menjaga Hati:
Luangkan masa duduk bersama mereka, dengar perkongsian tentang salasilah keluarga atau nostalgia lama dengan tekun, serta simpan gajet agar kehadiran kita benar-benar dirasai. Wakil keluarga kita yang lain boleh bantu rakamkan kenangan foto dan video selain menyimpan nombor-nombor saudara-mara yang mungkin belum kita simpan nombor telefon mereka, untuk sambungan silah di masa hadapan.
.
Memohon Izin Pulang (Nyuwun Pamit):
Jangan terus beredar selepas makan; hampiri kembali para sesepuh (warga emas) ini untuk bersalam kemaafan, mendoakan kesejahteraan mereka dan menyambut bungkusan buah tangan (berkat) dengan kedua-dua belah tangan penuh adab. Jangan pula menunggu sekiranya tiada bekalan diberikan. Sebelum pulang, kebiasaannya sambil bersalam, sambil kita ‘selitkan’ sedikit hadiah/sumbangan berupa hadiah ataupun sedekah tunai, untuk meraikan keluarga mereka yang menganjurkan majlis ini. Walaupun ianya bukan satu kewajipan, tetapi satu amalan mulia yang boleh terus dilakukan dengan rela hati.
.
Kenduri kahwin di Parit Sulong, Batu Pahat hujung minggu lepas, membuktikan bahawa walimah cucu cicit adalah wadah silaturahim orang-orang lama dengan generasi muda. Ia juga tentang meneruskan adab sebagai tetamu yang sejati dengan memuliakan mereka yang berakar umbi di situ atau yang sudah lama berusaha sampai mampu mengembangkan legasi keluarga sehingga dapat mengumpulkan seluruh ahli keluarga pada satu majlis keraian.
.
Mana-mana yang baik, sewajarnya diteruskan sampai bila-bila, agar anak-anak generasi ke hadapan tidak lupa asal-usul keluarga yang beradab tinggi dan saling memuliakan sesama keluarga. Ini juga sebagai pelajaran, semakin majunya satu-satu negara, warganya tetap masih boleh mengekalkan adab dan akhlak baik terhadap semua.
.
Kepada kedua-dua pasangan mempelai, semoga pernikahan berkekalan bahagia sehingga ke jannah, ‘dapat mawaddah wa rahmah’. Kepada ahli keluarga, ‘matur nuwun’ (terima kasih) dengan jemputan dan tahniah kerana menerima menantu.
.
Semoga kita semua diberkati Allah.
.
Mardhotillah
WARGA PRIHATIN