Akibat terlalu percaya bomoh: Ibu ugut bunuh anak kerana tak restui perkahwinan
September 15th, 2011 06:20 PM | by Informasi My | isu semasa.
Hanya kerana percaya bomoh, seorang ibu memukul, menendang perut dan memijak kaki selain mengugut mahu membunuh anak gadisnya yang berusia 23 tahun kerana tidak mahu gadis itu berkahwin dengan lelaki pilihannya, kelmarin.
Difahamkan, teman lelaki mangsa yang berusia lewat 20-an itu pilihan ibu mangsa yang menyatukan mereka, namun disebabkan terlalu percaya kepada bomoh, si ibu menghalang pula hubungan mereka.
Menurut sumber, mangsa dipercayai melarikan diri dari rumah mereka di Pandan Mewah, di sini, selepas bengkak dan lebam pada badan akibat tindakan ibunya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini.
Katanya, ibu gadis terbabit yang berusia 50-an bertindak sedemikian selepas mendapat perkhidmatan seorang bomoh untuk menilik nasib mangsa dan teman lelakinya.
“Malangnya, keputusan tilikan nasib itu kononnya mangsa dan teman lelakinya tidak boleh berkahwin kerana akan berlaku perceraian menyebabkan si ibu mahu dia memutuskan hubungan dengan lelaki itu.
“Bagaimanapun, hari perkahwinan mereka semakin hampir menyebabkan mangsa enggan berbuat demikian dan mengundang kemarahan ibunya,” katanya.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa tidak dapat menerima hakikat apabila ibunya menyuruh dia memutuskan hubungan dengan lelaki terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran.
“Ketika pertengkaran itu, ibu saudara mangsa masuk campur dengan memukul, menampar dan menarik rambut mangsa menyebabkan dia terjatuh.
“Malah, ibu saudara memukul kepala mangsa beberapa kali. Mangsa cuba bangun, namun tidak berdaya,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, sumber mendakwa mangsa menerima ‘habuan’ lebih teruk apabila ibunya menendang perut dan memijak kakinya.
Selain itu, mereka dipercayai mengugut mahu membunuh mangsa sekiranya mangsa keluar berjumpa teman lelakinya.
Berikutan itu, mangsa melarikan diri dari rumahnya dan membuat laporan polis.