AHMAD MASLAN SANGKAL MUHYIDDIN, TIADA WANG MASUK AKAUN NAJIB

AHMAD MASLAN SANGKAL MUHYIDDIN, TIADA WANG MASUK AKAUN NAJIB

Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan dalam sebuah video bahawa wang jutaan ringgit disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Video berkenaan dirakamkan ketika beberapa pengunjung, termasuk Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir menziarahi Muhyiddin di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, malam semalam.

Walau bagaimana pun semalam Datuk Ahmad Maslan menafikan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengakui dana berjumlah RM2.67 billion dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Beliau yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak benar.

“Tidak betul. Tidak ada pengaliran (wang ke akaun Perdana Menteri) dan sebagainya. Sebenarnya Presiden parti telah berikan taklimat kepada kami Ahli Majlis Tertinggi tentang perkara itu.

“Beliau tidak pernah menggunakan wang 1MDB masuk ke dalam akaunnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Makan Malam Perdana dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera di Menara Matrade pada malam Rabu.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan Muhyiddin dalam sebuah video yang mendakwa Najib mengakui RM2.67 billion dimasukkan ke dalam akaunnya.

Dalam masa sama, Ahmad Maslan menyindir Muhyiddin kerana mengatakan Barisan Nasional (BN) akan kalah jika pilihan raya diadakan dalam waktu terdekat.

“Kalau orang tanya saya jika esok pilihan raya boleh atau tidak Barisan Nasional menang, saya menjawab esok tidak lagi pilihan raya..itu jawapan saya.

“Esok persiapan untuk pilihan raya. Kalau ada pimpinan mengatakan, jika esok pilihan raya Barisan Nasional akan kalah, saya berpandangan berbeza. Esok tidak ada pilihan raya. Pilihan Raya mungkin 2018.

“Oleh itu persiapan perlu dibuat dengan pemantapan parti dan jika kita bersatu pembangkang berpecah belah..yang bersatu akan menang, yang berpecah belah akan kalah. Oleh kerana itu jangan kita berpecah belah,” katanya.

Muhyiddin baru-baru ini ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras berkata, BN akan tewas sekiranya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan dalam masa terdekat ini.

“Saya nak bercakap benar, memang kalau ikut perkiraan saya, kalau esok pilihan raya, kita tidak mungkin boleh menang, kerana sudah ada kajian yang dibuat oleh banyak pihak,” kata Muhyiddin.

********************************
SUMBER: KINI-TV, FMT