Tahniah Nik Haraz – Terima anugerah Sahsiah 2 tahun berturut turut

 

NIK HARRAZ TERIMA ANUGERAH SAHSIAH 2 TAHUN BERTURUT TURUT.

Enam belas (16) tahun dahulu, tanggal 20 Januari 1997 merupakan satu tarikh yang tidak dapat dilupakan oleh pasangan Nik Mat b Nik Kob dan Sharifah bt Yaakub. Telah lahirnya putera mereka yang diberi nama Nik Mohd Harraz pada hari itu. Doa yang tidak putus-putus mengiringi perjalanan hidup anakanda tercinta.

Anak asnaf ini telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras. Atas desakan hidup yang terpaksa bergantung kepada ihsan Baitulmal, maka dengan izin Allah beliau menginjakkan kaki ke teratak Rumah Pengasih Warga Prihatin untuk menyambung pembelajaran bagi sekolah menengah. Tiga Visi yang digenggam kemas untuk memastikan ianya dapat direalisasikan. Membina sahsiah diri, berjaya dalam akademik dan ‘menguruskan’ badannya. Tanpa menoleh ke belakang, terus memacu dan mengorak langkah hari demi hari.

Pernah menjadi salah seorang pelajar di SMK Tinggi Kajang buat beberapa ketika. Kemudian bertukar sekolah ke SMK Presint 14 (1). Mula mengukir nama sejak Tingkatan Satu lagi. Hari demi hari dilalui dengan kesungguhan dan daya usaha yang gigih untuk menggapai visi. Menjadikan guru ibarat ibu dan ayah. Taat dan patuh kepada ajaran dan suruhan. Sedia menghulurkan tangan apabila bantuan diperlukan.

Pada tahun 2012 (Tahun Lepas)… Nik Mohd Harraz mendapat “ANUGERAH KECEMERLANGAN DALAM ASPEK SAHSIAH YANG TERPUJI”. Itu hasil kesungguhan dan kerjabuat yang efisien dan konsisten. Walaupun sudah mendapat anugerah yang diimpikan, perjalanan melengkapkan visi diteruskan.

Hasil usaha yang tidak pernah berhenti, kelmarin – tanggal 11 Oktober 2013, lagi sekali beliau mendapat “ANUGERAH PUTERA BUDIMAN”. Anugerah yang dikecapi adalah berdasarkan penilaian guru-guru yang terkait dengan espek sahsiah, akhlak, sikap bertanggungjawab dan mempunyai keperibadian yang luhur.

Perkongsian seperti yang dinyatakan oleh para guru:

1. Susah untuk menolak bantuan yang diminta oleh guru.
2. Murah dengan senyuman.
3. Menjaga silah dengan semua guru.
4. Mempunyai sikap berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik.
5. Dikenali oleh semua guru-guru walaupun tidak mengajar Harraz.
6. Bukan seorang yang sombong dan sentiasa bersikap tawadduk.
7. Menjaga kebajikan sahabat-sahabat dari RPWP.
8. Seorang yang aktif dalam debat, forum, perbahasan,pidato, catur
9. Seringkali menggalas tanggungjawab sebagai MC dan menguruskan Sistem PA di sekolah.
10. Fokus dalam pembelajaran dan sering member tunjuk ajar pada sahabat.
00 arasy.jpeg SMALL
Beliau yang telah sengaja kami beri peluang sejak tingkatan 2 (14 tahun) untuk mengambil peranan sebagai Mas’ul (ketua anak anak) setelah melihat ciri kepimpinan yang ada pada dirinya. Alhamdulillah kini beliau telah menguasai banyak kemahiran hidup, dunia dan akhirat dan mendapat pengiktirafan dari pihak sekolah sekali lagi.

Anugerah ini bukan untuk saya tapi untuk RPWP sentiasa keluar dari bibir beliau setiap kali ditanya tentang anugerah ini. Diberitakan bahawa Anugerah peringkat Sekolah Menengah Atas ini biasanya dianugerahkan kepada pelajar tingkatan 5, namun tahun ini telah diberi kepada Nik Harraz yang dalam tingkatan 4. Alhamdulillah.

Sebelum ini anakanda Syafaat juga menerimah anugerah sahsiah tertinggi oleh pihak sekolah untuk dua tahun berturut-turut. Anakanda Nurhani, Fatini, Mira dan beberapa yang lain juga telah menerima anugerah yang sama.

Tahniah kepada anak- anak ini kerana mampu menongkah arus. Mereka rela dikatakan kolot kerana hidup mereka di Prihatin ini tidak dibekalkan dengan bilik privacy yang cantik, tidurpun dilantai saja tanpa katil, semua mereka tidak memiliki telefon bimbit, apatahlagi smartfone/tablet. Internet pun hanya dimakmal komputer RPWP dan hanya digunakan depan ibu-ibu saja.

Setiap hari Isnin dan Khamis mereka berpuasa sunat. Hari biasa juga mereka ke sekolah dengan bekal makanan yang dimasak sendiri oleh ibu-ibu angkat disini, tanpa wang saku harian. Telahan-telahan kolot seperti kelambu bergerak dan sebagainya terus ditepis demi menjadi pelopor kepada perubahan positif untuk generasi muda yang semakin gila-gila.

Setinggi tinggi penghargaan kepada Pengetua serta seluruh Warga Pendidik Sekolah Menengah Precint 14 yang telah menyambung pendidikan yang telah kami mulakan ini diperingkat sekolah. Tanpa keprihatinan bersama dari pihak sekolah semua ini tidak mungkin tercapai. Sama-sama kita kembalikan puji syukur kepada Allah. Alhamdulillah.

Luahan syukur
WARGA PRIHATIN.