Ziarah Nasyeed.com – Satu Keunikan
ZIARAH NASYEED.COM – SATU KEUNIKAN
Pada petang Khamis yang sudah, kami dikunjungi oleh sekumpulan pengunjung dari program Ziarah Nasyeed. Mereka datang dalam satu kumpulan yang besar diketuai oleh Y.Bhg Dr Mir Hazil mewakili sebuah syarikat induk dan anak-anak syarikatnya keseluruhan. Mungkin bagi yang tidak kenal, mereka inilah yang mengadakan konsert Maher Zain di Malaysia bersama Inteam.
Seawal jam 2 petang, krew Nasyeed.Com (NC) telah sampai di RPWP untuk membuat persiapan. Sempat anak-anak kami belajar untuk pengendalian dan pemasangan sistem audio dan siaraya mereka juga sistem video live feed. Mereka juga tidak lokek ilmu untuk menjawab segala pertanyaan dari anak-anak.
Kita hanya merancang tetapi Allah jua ada rancangannya sendiri. Elektrik terputus dari sumber TNB tanpa apa-apa notis sejak tengahari lagi dan hanya kembali pulih pada jam 8 malam. Kebetulan hari khamis itu adalah hari anak-anak berpuasa sunat, lalu bersama-sama kru NC Record mereka sama-sama berbuka dalam gelap. Walaupun kami ada generator besar, namun ia tidak begitu lancar kerana sudah lama tidak digunakan. Kami dan team NC sudah berkira-kira bahawa majlis ini tidak akan berjalan lancar jika bekalan elektrik tidak disambung semula.
Akhirnya, doa dari anak-anak yang sangat teruja untuk melihat persembahan live itu termakbul juga. Dalam kegelapan tanpa elektrik itu juga kami sempat menyambut beberapa barisan artis nasyid tanah air yang diundang untuk menghiburkan anak-anak RPWP. Kumpulan Hufaz, Mestica dan penyanyi solo yang bersuara hebat, Daqmie. Dalam kegelapan itu juga kami dan anak-anak sempat solat berjemaah bersama mereka. Subhanallah, amat merdu dan syahdu sekali suara imam malam itu.
En. Waie yang merupakan CEO dan pengasas kepada kumpulan NC ini kelihatan ke hulu dan ke hilir memerhati persiapan. Beliau antara orang paling gusar kerana terputusnya bekalan elektrik. Mereka kelihatan telah berhabis-habisan dalam program ini. Bukan sekadar menurunkan krew dan artis dari syarikat sendiri namun telah berbelanja sangat besar untuk memastikan program ini satu program yang sukses. Setelah lampu kembali terang dari gelap, barulah kami lihat wajah En. Waie kembali bersinar-sinar ceria.
Sempat kami korek sejarah syarikat mereka itu yang diasas oleh En Waie sendiri. Syarikat NC diasaskan oleh 10 orang pemuda yang memang muda-muda lagi (semasa syarikat diasaskan) dengan tujuan untuk mengembangkan dakwah dan seruan kepada kebaikan melalui seni muzik. Dari situ, syarikat NC berkembang sehingga menjadi banyak anak-anak syarikat yang sangat berjaya seperti NC Records, syarikat pengelolaan event, audio & video production, merchandising Islam dan banyak lagi.
Sempat juga kami menilik barang jualan mereka yang sangat menarik berupa pelbagai model jam. Jam ini tidak sama dengan jam lain. Kerana ini dipanggil “JAM HIJRAH” kerana ia berpusing mengikut arah lawan jam iaitu arah kita bertawaf di Baitullah. Begitu juga arah pusingan planet bumi mengelilingi matahari dalam orbitnya, juga kitaran peredaran darah dalam badan manusia yang kesemuanya melawan arah jam. Uniknya, selalu pusingan ke arah kiri kita panggil lawan arah jam, tetapi dengan jam ini ia akan jadi terbalik. Jadilah jam yang biasa kita pakai itu yang melawan arah jam yang sebenar.
Persembahan dimulakan dengan Abg Long sebagai MC yang berjaya menggamatkan suasana. Suasana mampu menjadi gamat dengan keletah Abg Long. Kumpulan Hufaz mengambil giliran pertama untuk membuka gelanggang bagi menghiburkan anak-anak, diikuti oleh sedikit sessi soal jawab antara Abg Long bersama pengasas-pengasas RPWP dan disambung dengan persembahan kumpulan Mestica yang cukup bertenaga walaupun hanya 2 dari 4 ahli mereka sahaja yang hadir.
Sedikit perkongsian dari Abg Razak Muthalib dan Dr. Mir Hazil juga mampu membuka perspektif baru dalam pemikiran anak-anak yang belum pernah diterokai sebelum ini. Antaranya tentang ilmu pengajian Aura Bio-energi dan falak. Banyak sekali ilmu hebat yang telah dikongsikan malam itu. Terima kasih kepada mereka semua.
Akhir sekali, pentas digamatkan dengan suara merdu dan hebat Abang Dakmie yang terkenal dengan lagu hit beliau “Yang Terindah”. Bagi kaki-kaki drama, inilah lagu OST untuk “Adamaya”. Banyak juga perkongsian dari pengalaman hidup beliau dan para pengasas RPWP sendiri yang telah sama-sama kami ambil pelajaran. Tiada apa yang batil dalam hidup ini, sekalipun buruk ia tetap mampu memberi pelajaran kepada kita untuk tidak mengulanginya. Yang baik kita contohi. Pengalaman hidup bukannya satu garis lurus, tetapi perjalanan yang berbelok dan bersimpang.
Akhir sekali, pentas dipenuhi oleh semua artis dan penganjur juga pengasas RPWP sendiri, Dr. Haji Masjuki Haji Mohd Musuri yang mesra dipanggil juga dengan panggilan “Ayah” oleh mereka malam itu. Ayah sempat ditanya tentang apakah sumber kekuatan utama dalam menubuh dan mengendalikan RPWP. Mendengar pengalaman dan penjelasan dari Ayah, kami perhatikan sebahagian warga NC telah ada yang “mendung”, sebahagiannya malah telahpun “hujan lebat”.
Biarlah tangisan lebat itu membersihkan jerebu-jerebu di dalam hati mereka agar mereka boleh bertandang lagi dengan lebih kerap selepas ini. Kami lebih merasa bertuah apabila semua yang memegang pembesar suara menyatakan berulang kali bahawa mereka cemburu dengan peluang mengecap kebahagiaan bagi kami kerana telah menjadi ‘keluarga RPWP’.
Lebih merasa ‘besar hati’ kami bila hampir kesemua mereka, khasnya Dr Mir sendiri berulang kali menyatakan permohonan untuk menjadi sebahagian dari ‘Warga Prihatin’, ingin turut menjadi ‘Anak Ayah’ katanya. Beliau adalah pengikut tegar FB Warga Prihatin sejak 2 tahun lalu. Artikel Warga Prihatin terlalu unik dan sarat dengan ilmu. Tiada yang seperenggan dua, bahkan semuanya berkajang-kajang katanya. Jarang ada artikel yang panjang-panjang di FB yang mampu menarik ratusan ribu, bahkan jutaan pembaca, jauh sekali untuk membuatkan pembaca menitiskan air mata seperti artikel Warga Prihatin katanya.
KESIMPULAN
Kami sangat terharu melihat persiapan dan juga penyediaan majlis itu yang bagi kami sangat besar kosnya. Kami masih belum habis fikir, masih lagi ada manusia di atas dunia ini yang benar-benar berhabis (kholas / ikhlas) dalam melakukan perkara yang tiada dijanjikan apa-apa imbuhan langsung. Barang jualan mereka juga tidak terusik kerana anak-anak kami kesemuanya tidak pegang duit sendiri dan ibu-ibu juga bapa-bapa residen di RPWP kesemuanya juga tidak bergaji dan tiada pendapatan selain melakukan kerja-kerja di RPWP secara sepenuh masa secara sukarela.
Tidak tahu apa yang mahu kami balas kepada mereka yang telah banyak memberikan pelajaran kepada anak-anak kami. Mungkin sekadar menyeru kepada anda khalayak pembaca untuk menyokong usaha mereka ini di https://www.facebook.com/NcRec
RPWP bukan destinasi pertama mereka, mungkin tempat anda adalah destinasi seterusnya dalam program Ziarah Nasyeed.com ini. Pesan kami, jika mereka datang panggillah seramai mungkin rakan taulan kerana teramat rugi jika persediaan peralatan canggih, serta persembahan dan pengisian ilmiah sehebat itu tidak dinikmati ramai.
InsyaAllah akan kami muat naik rakaman video, khasnya persembahan hebat lagu-lagu nasyeed terbaru dari semua kumpulan nasyeed yang hadir untuk anda nilaikan sendiri. Anda boleh juga terus ke Channel Youtube VideoPrihatin sebelum ianya kami pautkan.
Jazakallah, hanya Allah sebaik-baik pembalas budi.
WARGA PRIHATIN
JEMPUTAN TERBUKA:
Ziarah Nasyeed.com menjemput keluarga dan sahabat handai semua rakan FB Warga Prihatin hadir menyaksikan persembahan khas mereka bertajuk “JOM HIJRAH” seperti berikut,
HARI & TARIKH : Khamis
13 Februari 2014
13 Rabiulakhir 1435
MASA : 8.00 malam
TEMPAT:
RUMAH PENGASIH WARGA PRIHATIN
8558 Jalan Pegawai
Sungai Ramal Baru
(bersebelahan Taman Kenari)
43000 Kajang, Selangor.
Penceramah :
DR MIR HAZIL AZRAN
UTZ ABD RAZAK MUTHALIB
Artis:
DAQMIE
MESTICA & HUFAZ
Hos: ABANG LONG
ANJURAN: NC Record
Jom ramai-ramai memeriahkan sajian dakwah kreatif mereka. Tiket adalah PERCUMA.