Tanah, Air & Manusia – Hasil Iqra’ Pembelajaran Alam

00 gersangTANAH, AIR & MANUSIA – HASIL IQRA’ PEMBELAJARAN ALAM

Apabila kami bawa anak-anak mengembara dalam musim kemarau yang panas ke Baling, Kedah baru-baru ini, kami tunjukkan kepada anak-anak pelbagai fenomena kekeringan. Sepanjang pengembaraan, anak-anak kami diperlihatkan banyak kebakaran di kiri kanan lebuhraya, juga rekahan-rekahan tanah dan daun-daun getah yang bergururan. Susu getah berkurangan, tanah jadi keras, rumput menjadi kering dan banyak tanaman menjadi layu.

Sebelum program itu, kami turut tidak terlepas dari menerima musibah demam Denggi yang melanda seluruh negara. Berpuluh-puluh anak-anak dimasukkan ke hospital silih berganti. Ini juga terkait dengan kekeringan, di mana banyak jentik-jentik nyamuk Aedes dari air yang bertakung tidak berganti dan tidak mengalir. Syukurlah tiada yang mengalami Denggi berdarah yang serius dan boleh menyebabkan kematian.

AIR, TANAH DAN MANUSIA

Sepertimana kita semua tahu, air adalah satu elemen kehidupan yang sangat penting untuk manusia. Hampir 70 peratus tubuh kita terdiri dari air. Tanpa air, kita akan mati. Demikianlah bentuk rawatan yang diberikan oleh pihak hospital kepada semua Warga Prihatin yang mengalami demam denggi baru-baru ini. Ini adalah kerana demam itu menyebabkan suhu badan menjadi panas (ramadh) dan berlakunya dehydrasi.

Begitu juga halnya dengan keperluan air pada tanah. Sepertimana kita tahu, 70 % daripada mukabumi ini diliputi air. Apabila berlaku kekeringan yang berpanjangan sahaja, maka tanah akan merekah, tidak mampu menumbuhkan tumbuhan dan tidak boleh dibentuk.

MUTASYABIHAT KEJADIAN MANUSIA DARI TANAH DAN AIR

Terlalu banyak ayat quran yang mengatakan asas kejadian manusia daripada gabungan tanah dan air ini. Sesungguhnya ini adalah penjelasan mutasyabihat yang memerlukan kita tafakur dan tadaburkan dengan cara memerhati dan meneliti.

Surat Al-Hijr Ayat 28

وإذ dan tatkala
قال berfirman
ربك Tuhanmu
للملئكة kepada malaikat
إني sesungguhnya Aku
خلق yang menciptakan
بشرا manusia
من dari
صلصل tanah liat yang kering
من dari
حمإ lumpur hitam
مسنون yang berbentuk

Ayat di atas menerangkan fitrah kejadian manusia daripada TANAH LIAT YANG KERING, kemudian melalui proses pembasahan untuk MENJADI LUMPUR HITAM agar boleh diolah dan diBENTUK. Untuk menjadi komponen kepada jemaah Umat Islam di bumi Allah ini, kita harus memahami sedalam-dalamnya kelayakan sebagai tanah ini.

Dengan situasi panas dan melihatkan tanah yang merekah ini, kita seharusnya boleh mengambil pelajaran. Falsafah di sebalik ‘Tanah liat yang hitam dan kering’ adalah merujuk kepada diri kita. Untuk membolehkan kita dibentuk dan dipandang sebagai manusia di sisi Allah, maka tanah yang memerlukan air. Tanah juga harus diproses agar menjadi sekata atau homogenus. Batu dan pasir atau bahan selain tanah liat harus disingkirkan, agar jisim itu boleh dirapatkan untuk mampu menyerap dan dilikatkan dengan air sebagai bahan pelembut dan pengikat.

Kekeringan adalah satu fenomena ramadh (panas) yang menyebabkan manusia menjadi seperti tanah yang merekah tadi. Situasi ini menjadi penyebab kepada keperluan yang kuat terhadap air. Dalam bahasa mutasyabihat, banyak kali kami kongsikan bahawa air adalah analogi ilmu dan hidayah yang bersifat mengalir dari atas ke bawah. Air yang paling segar adalah air yang turun dari langit sebagai hujan yang membasahi bumi. Selain itu air juga terbit dari rembesan batu gunung dan terkumpul mengalir ke sungai-sungai. Jangan lupa bahawa air juga tersimpan dilembah bumi yang paling bawah, lalu DIGALI menjadi perigi untuk mendapatkannya. Itu juga ciri PENGGALIAN ilmu.

Fenomena ini juga telah kami kongsikan dalam siri sains puasa sebelum ini, iaitu dalam bulan ramadhan, suasana panas itu membuatkan manusia hidup huru hara dan berpecah belah. Mereka tidak lebih dari sekumpulan haiwan, tidak boleh disatukan untuk membentuk satu masyarakat yang harmoni (RUJUK QS: 7/179). Oleh itu apabila kita merasa kepanasan yang cukup, kita akan merasakan keperluan yang kuat untuk kembali fitrah, untuk hidup berkasih sayang dan berharmoni. Kita perlukan air/petunjuk Allah untuk tujuan itu.

Kerana itulah selepas 2/3 Ramadhan, Allah turunkan lailatulqadar. Itulah hari di mana tanpanya seluruh umur manusia akan terbazir begitu sahaja. Itulah gambaran 1000 bulan atau 83 tahun. Ini kerana selama ini manusia mencedok air dari laut (himpunan ilmu olahan lautan manusia) yang kelat dan masin. Pohon-pohon tumbuh tanpa siraman yang teratur oleh tangan manusia yang berjemaah dan berpedomankan wahyu. Kerana itu ia menjadi liar ibarat hutan. Tumbuhnya tidak teratur seperti pokok di taman syurga yang ditanam manusia dengan sengaja. Hasilnya kurang, malah sesetengahnya menjadi pokok beracun dan berduri.

Di malam Qadar itu Quran diturunkan sebagai hidayah untuk menyejukkan hati-hati manusia dan membuatkan mereka mampu bersatu dan membentuk komuniti dan masyarakat yang baik. Ini adalah analogi turunnya hujan yang segar dan dingin dari langit. Segala air (analogi ilmu) yang kelat dan masin yang dimiliki oleh lautan manusia tadi akan menjadi beku dan tidak berguna. Ini kerana manusia sudah dapat air yang segar dari Allah.

Dengan air yang segar dari Allah mampu menumbuhkan satu pohon akidah yang baik (RUJUK QS 14/24-27). Itulah kemampuan menyaksikan kebesaran Allah dan rasul melalui kalimah yang baik, kalimah syahadah. Kerana itu manusia akan mampu menyatu dengan kalimah yang satu. Ketika itu semua pohon lama yang berbagai bentuk dan rupa, yang tidak mampu menghasilkan buah fikiran yang baik kepada kehidupan manusia akan tunduk dan rebah semuanya.

Selepas itu maka sisa-sisa ramadhan akan dipenuhi cahaya. Manusia merasakan nikmat dalam beribadah kerana mereka sudah mendapat petunjuk yang di analogikan sebagai cahaya itu. Dipagi Syawal, manusia kembali bermaafan dan bersaudara semula.

KESIMPULAN

Kita dijadikan daripada tanah yang gersang dan hitam. Namun jika kita tidak merasa kekeringan, tidaksedar diri bahawa kita ini tidak cantik ibarat tanah liat yang hitam itu, maka tidaklah dapat kita dibentuk dengan fitrah asal kejadian kita. Rasakanlah suasana panas (ramadh) dan gersang. Akuilah bahawa kita sedang merekah, berpecah belah. Akuilah bahawa imej kita sedang sangat huduh di mata dunia. Kita semua sedang bersifat melampau (thogho) dan keras kepala sehingga masyarakat Islam tidak boleh dibentuk dengan wahyu.

Tanpa kesedaran ini, hidayah Allah seperti tidak laku, tidak dirasakan keperluannya oleh kita. Dengan itu kita akan sentiasa mengabai dan mendustakan petunjuk Allah begitu sahaja. Padahal, petunjuk itulah yang mampu membentuk dan menyusun saf, samada dalam bentuk keluarga, masyarakat maupun negara. Petunjuk Allah itulah yang bakal mewarnai semula imej kita yang asalnya hitam dan hodoh itu.

Untuk kembali fitrah, kita harus merendahkan diri sebagai hamba. Itu adalah analogi ‘bumi’ yang sifatnya rendah berbanding pemimpin di langit. Pemimpin yang baik itu adalah ‘hamba rakyat’. Dalam Islam, pemimpin dilantik oleh majlis syuro di peringkat tertinggi, bukan dari kalangan yang menawarkan diri, apatahlagi yang tergamak berebut tahta. Oleh itu, kelayakkan pemimpin juga harus dari kalangan insan yang bersifat tanah dan bumi, yang paling merendah diri dan telah DIBENTUK akhlaknya.

Allah bersemayam di atas arasy, di aras langit yang paling tinggi, lebih tinggi dari para pemimpin citaanNya di dunia ini. Oleh itu, samada kita sebagai orang yang dipimpin ibarat bumi, atau yang memimpin ibarat langit yang rendah, maka kekallah membesarkan Allah. Sucikanlah hati dari sifat besar kepala dan melampau batas. Janganlah meninggi diri, mendabik dada melebihi kuasa Allah dengan sewenang-wenang melanggar wahyu Allah dalam apa sahaja tindak tanduk kita.

Sebagai selingan, sila perhatikan pelajaran alam dari lirik dan paparan gambar hiasan dari lagu BERITA KEPADA KAWAN dendangan Ebiet G Ade ini. Landasan Keretapi itu ada dua jalur. Mari analogikan ia sebagai landasan dari sumber Quran dan Sunnah, dari NUR ALLAH dan NUR MUHAMMAD. Telah Nabi SAW sabdakan bahawa semua kita adalah pemimpin yang bakal ditanya akan kepimpinan kita. Maka jadilah kepala keretapi yang melalui landasan yang lurus, agar mampu memacu gerabak pimpinan kita di atas landasan yang sama. Itulah asas syahadah sebagai paksi kepada akidah kita.

http://www.youtube.com/watch?v=OCHGgfuRCT4

Perhatikan juga analogi simiskin anak gembala yang sangat menyedarkan kita. Mengapa dikatakan bapa dan ibu anak ini telah lama mati ditelan bencana tanah ini. Apakah analogi kematian? Ibu/ayah? dan apakah bencana itu? siapakah tanah itu?

Tataplah langit, carilah jawabnya!! Mengapa Tuhan sampai bosan melihat tingkah kita yang berbangga dengan dosa. Mengapa alam enggan bersahabat dengan kita. Bertanyalah pada rumput yang hidup, bukan rumput yang kering. Bertanyalah kepada MATAHARI yang terang benderang, jangan kepada sumber cahaya kedua dan ketiga.

Ada banyak yang ingin dikongsikan sepanjang perjalanan yang merentasi tanah kering berbatuan yang menyedihkan ini. alangkah baiknya jika kita semua mudah mengerti akan segala analogi ini.

Kudap awal minggu
WARGA PRIHATIN