Suratan atau Kebetulan : Kisah Orked (5 tahun) serah seluruh simpanan dan duit rayanya untuk kos perubatan asnaf.

jiwaprihatin
Sejak 2 hari lepas, seantero negara digegarkan dengan kisah viral anak kepada jurugambar terkenal Malaysia (Saiful Nang) yang bernama Orked menyumbangkan 100% tabungan dan duit raya untuk perubatan seorang asnaf. Ayahanda Orked dan bondanya yang merupakan seorang Pensyarah Kanan di UPM, Dr. Intan Salwani (Ph.D, Cambridge) sama-sama menahan hati meletakkan anakanda tercintanya di sebuah rumah anak yatim dan asnaf. Rumah itu ialah rumah kami, Rumah Pengasih Warga Prihatin.

Puluhan mesej-mesej menerjah ruang inbox kami bertanyakan tentang fundamental dan kaedah pendidikan kepada anak ini kerana apabila ditanya kepada Saiful Nang sendiri, beliau hanya menjawab “Itu semua pendidikan di Prihatin”.

ORKED BUKAN KES TERPENCIL DI PRIHATIN.

Mak ayah anakanda kami Si Orked ni bukanlah calang-calang orang. Cucu kepada mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Y.Bhg Datuk Dr. Haji Ahamad Sipon. Neneknya pula pendidik. Atuk dan nenek sebelah bapanya adalah petani Jawa yang miskin tetapi sangat rajin lagi sangat beradab. TETAPI kelebihan itu digandakan dengan lingkungan rakan-rakannya yang sama-sama kami bentuk keprihatinannya.

Lihat dalam foto ini sahaja, sebahagian dari anak-anak kami yang merupakan rakan baik Orked. Hanya kebetulan cerita Orked dikeluarkan oleh ayahnya di facebook beliau yang sangat ramai peminat. Jika kami secara ringkas kenalkan, dari kiri sekali bernama Ain. Ain Mardiyah merupakan anak kepada seorang ustaz dan Ain diwakafkan ke rumah ini bersama-sama ibu bapanya menjadi sukarelawan yang mewakafkan harta dan dirinya sepenuh-penuhnya sebagai pekerja tanpa gaji (kebajikannya semua di bawah RPWP).

Diikuti oleh Dania (bertudung ungu), anak seorang bankers Affin Investment yang juga telah bersama pembinaan RPWP darihari pertama lagi. Bapa dan ibunya sanggup menyerahkan segala-galanya untuk pembangunan Rumah Pengasih Warga Prihatin. Hatta, selepas mereka meletak jawatan di tempat kerja mereka, kedua ibu bapa Dania mewakafkan diri melakukan tugas pembinaan dan penjagaan anak yatim dan asnaf di RPWP. Bapanya dari berkulit cerah sehingga hitam, dari kulit tangan lembut kini dah kematu dek kerja berpanas, berat, bermain dengan konkrit, batu dam bahan-bahan binaan. Jika bapanya sanggup lakukan sebegitu, anaknya pula Dania memberikan 100% yang anak kecil ini ada untuk perubatan Mak Sofiah mereka.

Di sebelah Dania pula ialah Abdah. Kisah ayah dan ibunya pernah kita jadikan satu cerita viral yang boleh anda rujuk di pautan ini http://prihatin.net.my/web2/2013/07/13/yazid-majid-the-unsung-hero-cerita-ketaatan-isteri-anak-anaknya/

Sebab itu Abdah mampu juga memberikan segala yang ada di tabungan kepada Mak Sofiah.

Seterusnya Orked (bertudung coklat cerah) dan kami rasa anda dah baca cerita itu. Jika belum, masih boleh menyertai sekitar 350,000 orang yang telah membacanya di pautan ini http://prihatin.net.my/web2/2013/08/21/testimonial-pendidikan-anak-dengan-konsep-sibghatullah-di-rumah-pengasih-warga-prihatin/ dan juga di fb kami.

Seterusnya Kamarina (Kak Q) yang menghidap autism, Alisya (tudung merah jambu) dan Ali Imran keseluruhannya memberikan 100% simpanan mereka. LEBIH CANTIK LAGI IALAH KEPUTUSAN UNTUK MEREKA BERIKAN 100% ITU DATANG DARI PERBINCANGAN DI KALANGAN MEREKA SENDIRI (Patutlah kami nampak selepas program takbir raya yang lepas, mereka duduk dalam bulatan untuk satu meeting pendek sekitar 5 minit). Rupanya, keputusan SYURO mereka itu adalah untuk sumbangan 100% itu.

BUKAN SATU KEBETULAN DAN TIDAK TERJADI TANPA SENGAJA.

Konsep pendidikan di Prihatin, kami menggunakan teknik USWATUNHASANAH. Jika anak-anak ini, idola terdekat mereka ialah ibu bapanya sendiri. Mereka melihat ibu bapa mereka berkorban harta, mereka juga berkorban harta tanpa disuruh. Mereka lihat ibu bapa mereka melakukan syuro setiap hari, mereka juga lakukan syuro juga. Mereka lihat ibu bapa mereka yang kaya dan miskin semuanya saling bahu membahu mengangkat batu, konkrit, kayu, besi untuk membangun sarana di Prihatin, mereka juga tanpa disuruh melakukan kerja-kerja pada kemampuan mereka. Yang jutawanpun letak anak bukan main tinggal sahaja, tetapi mereka sama-sama membangunkan rumah kami ini bersama-sama

Ramai ibu dan bapa yang berminat untuk menghantar anak mereka ke sini. Kami terima tidak kurang 30 permintaan dalam tempoh 2 hari ini sahaja. Mereka sanggup bayar walaupun dengan harga yang tinggi. Kami cuma katakan, kami masih belum bersedia. Dan kami yakin juga, ramai ibu dan bapa diluar sana juga masih kurang bersedia.

Jika benar, sanggupkah mereka bersama-sama dalam pembangunan sarana di Prihatin. Sanggupkah mereka juga ditegur seperti mana kami menegur anak mereka? sanggupkah mereka berkorban masa untuk beri komitmen pembangunan akhlak dan sahsiah anak-anak yang lain di sini?

Mungkin ia tidak semudah itu meninggalkan anak kesayangan kita pada tangan orang lain tanpa memberi komitmen (atau sekadar komitmen wang ringgit sahaja) tetapi mahukan akhlak anak terbentuk seperti akhlak sahabat dan anbiya. Kerosakan telah berlaku banyak diluar, harta sepenuh bumi pun tak mampu memperbaikinya.

KONSEP SIBGHATULLAH

Sibghah Allah ini seperti satu rendaman dalam lingkungan yang kita mahukan anak-anak kita menjadi. Malah mereka akan lakukan lebih baik lagi. Nabi Sulaiman telah mengikuti Nabi Daud A.S berperang dari usia kanak-kanak lagi. Walaupun tidak ikut berperang, Nabi Sulaiman a.s mampu untuk memerhati segala kerjabuat bapa dan tenteranya berperang. Segala silap laku dan strategi mampu baginda lihat dari sudut pemerhati. Sampai ketika baginda dewasa, ketika itu segala kehebatan dan kebijaksanaan baginda sehingga jin pun sanggup tunduk pada baginda.

Kami “rendamkan” anak kami dalam lingkungan yang kami kawal. Lingkungan ilmu setiap masa (bukan jadi ulat buku). Setiap yang terjadi akan ada syuro mereka untuk membincangkannya. Hatta, isu tadika juga mereka bincangkan dalam syuro mereka. Kami tak ajar mereka syuro, tetapi mereka mengikuti sistem abang dan kakak yang besar bersyuro, ibu-ibu bersyuro, bapa-bapa juga bersyuro.

PEPATAH ORANG PUTIH BERKATA : DON’T TEACH YOUR CHILDREN WHAT TO DO, THEY WILL NOT DO.  SHOW THEM HOW YOU DO IT AND THEY WILL COPY”

Gamaknya, orang putih lagi cekap pula konsep sibghatullah ini. Untuk jadi insan hebat, pendidikannya bermula 100 tahun sebelum kelahiran (hadis). Masakan kita mampu lawan jika kami pun baru mulakannya pada anak-anak ini seawal dalam kandungan. InsyaAllah, anak-anak ini nantilah yang bakal melahirkan zuriat-zuriat hebat yang bakal menerajui dunia.

Diharap dengan sedikit perkongsian ini mampu memberi idea kepada anda semua. Untuk kami ceritakan keseluruhan pendidikan parenting kami di sini, mungkin akan makan ribuan mukasurat 🙂

Salam prihatin
WARGA PRIHATIN