Sekolah Alam ke 4, Bah 7 – Mutasyabihat rumput dan lalang perosak padi

sek alam 4 bah 7PEMERHATIAN SEKOLAH ALAM ke-4
Bahagian 7

MUTASYABIHAT RUMPUT & LALANG PEROSAK PADI

Semasa melalui sawah padi yang telah berusia sekitar 50 hari, anak-anak bertanya kepada kami adakah selepas di tanam padi itu ia hanya perlu tunggu hari untuk dituai sahaja. Apakah kerja petani selain dari itu.

Ustaz Shauki yang menjadi pembantu murobbi dalam bas itu, yang kebetulan juga seorang anak pesawah padi dari Utara menjawab. Pelbagai proses lagi yang perlu dikerjakan oleh pesawah selepas padi di tanam. Antaranya ialah MENCABUT LALANG dan MERUMPUT. Itulah kerja-kerja membuang apa saja tumbuhan liar yang tumbuh selain dari padi. Selepas itu harus dilakukan juga kerja meracun serangga perosak dan mencegah serangga perosak atau pemakan padi seperti burung dan sebagainya.

PERIHAL LALANG DAN RUMPUT

Lalang dan rumput ini sebenarnya tidak mengganggu padi secara langsung. Tetapi tumbuhnya mereka dicelah pokok padi akan menyebabkan air, baja dan nutrien yang dibekalkan oleh petani akan dikongsi sama untuk menyuburkan lalang-lalang ini.

Lalang ini walaupun subur namun ia tidak mendatangkan hasil. Kesuburan pokok padilah yang boleh mendatangkan hasil yang kita harapkan. Jika dibiarkan lalang dan rumput itu, kelak nanti kuantiti padi akan berkurangan dan gred padi akan jadi teruk. Banyak padi hanya tinggal kulit sahaja dan kurang isinya (padi angin).

Apabila dibuka perbincangan di dalam bas itu, anak-anak membuat rumusan bahawa padi yang dijaga tanpa gangguan dari lalang dan rerumputan akan mendatangkan hasil yang baik. Kemudian Secepat kilat anak-anak segera mengaitkan dengan pribahasa tentang padi. Itulah sifat padi yang semakin tunduk bila ia semakin padat berisi.

Selepas itu masing-masing mula mengambil peribahasa itu sebagai analogi kepada sikap manusia yang baik, iaitu dikaitkan dengan pengisian ilmu seperti santan padi itu sendiri. Jika kita ada banyak ilmu di dada ataupun banyak harta di dalam bank, sebaiknya kita ikut resmi padi, semakin tunduk. Padi yang mendongak adalah petunjuk kepada padi yang kosong kurang berisi (padi angin).

Selain dari itu, turut dikaitkan dengan peribahasa yang merujuk kepada sifat Lalang. Jangan lah kita jadi ‘seperti lalang’, gambaran sifat orang yang tiada pendirian dan meliuk lentok mengikut tiupan angin sahaja.

Peribahasa “Ku tanam padi, lalang yang tumbuh’ turut mengaitkan kepada pekerjaan yang tidak mengeluarkan hasil yang diharapkan. Sesubur mana pun lalang yang menyerupai daun padi, ia hanya mengeluarkan bunga yang berbau busuk dan tidak banyak manfaat kepada kehidupan manusia. Lebih gemuk lalang, lebih banyak ia merosakkan padi dan ubi.

Ini juga analogi kepada gambaran sifat manusia. Lebih menarik lagi jika kita kaji akibat dari keberadaan unsur lalang dalam kelompok padi. Apabila sifat lalang yang tiada pendirian ini turut berada di dalam kelompok manusia dengan sifat yang baik, ia akan mudah menyebabkan manusia baik juga menjadi rosak.

KESIMPULAN

Ulasan menarik dari anak sebulat suara mengkhabarkan bahawa, percampuran antara sikap baik dan jahat hanya akan merosakkan yang baik berbanding membaikkan yang jahat.

Allah ajar cara menangani masalah percampuran ini secara alam melalui program Pemerhatian Sekolah Alam ini. Pelajaran besar darinya ialah, jangan kita izinkan keberadaan atau Jangan bekerjasama dalam satu saf dengan golongan lalang yang tidak mendatangkan hasil dan tidak berpendirian ini. Sebaliknya bekerjasamalah dengan golongan yang bersifat padi, dada “penuh” tetapi menunduk.

Setitik najis apabila bercampur dengan sebaldi air tidak menjadikan najis itu bersih tetapi akan menjadikan air yang bersih itu jadi kotor. Buanglah sifat lalang dalam diri kita. InsyaAllah apapun yang dilakukan pasti akan membuahkan hasil yang lumayan.

“Dan orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampurbaurkan pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang”. (QS: 9. At Taubah 102).

Kehidupan harian kita sekarang terlalu banyak mencampur adukkan program dan amalan yang baik dengan yang buruk. Jam sekian keudara program dakwah di tv. Sejurus selepas itu kita papar program maksiat yang sangat menjolok mata. Pengacara TV yang mewawancara isu akhlak dan agama itu sendiri pun tidak menutup aurat. Maghrib kita ajak anak ke surau, lepas isyak kita bawa anak tengok wayang atau konsert. Wang gaji kita juga bercampur aduk dengan hasil penipuan perniagaan dan rasuah.

Seterusnya, kami tinggalkan anda untuk muhasabah diri dan sama-sama turut memikirkan pelajarannya.

DISKLAIMER

Ini hanya cetusan anak-anak sahaja. Jika anda rasa ia tiada kaitan dengan anda, atau anda tidak setuju dengan rumusan anak-anak ini sila jaga adab dalam meraikan perbezaan pendapat. Kami tidak paksa anda BACA, SHARE atau LIKE artikel ini. Namun kami tiada pilihan melainkan terpaksa keluarkan anda dari jemaah pembaca page ini.

Kami yakin ramai yang bersetuju kerana kita tidak mahu orang yang tidak tahu menjaga adab, suka mencarut dengan perkataan ala samseng macam orang sawan di ruang komen. Anda akan merosak suasana musyawarah dalam ruangan ini jika dibiarkan.

49. Al Hujuraat 11. Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

8. Al Anfaal 37. supaya Allah memisahkan yang buruk dari yang baik dan menjadikan yang buruk itu sebagiannya di atas sebagian yang lain, lalu kesemuanya ditumpukkan-Nya, dan dimasukkan-Nya ke dalam neraka Jahannam. Mereka itulah orang-orang yang merugi.

Cetusan dari anak-anak
Ditulis oleh
WARGA PRIHATIN