Sekolah Alam ke 4, Bah.6 – Cina suka bola keranjang, Melayu suka bolasepak

sek alam 4 bah 6PEMERHATIAN SEKOLAH ALAM ke-4
Bahagian 6

CINA SUKA BOLA KERANJANG vs MELAYU SUKA BOLASEPAK

Ini mungkin perkara kecil sahaja namun ia menimbulkan persoalan dari anak-anak di dalam bas di sepanjang perjalanan Sekolah Alam ke 4 di Tanjung Karang baru-baru ini. Mereka bertanya. Soalan mereka ialah, mengapa di perkampungan dan Sekolah Cina permainan utamanya mesti bola keranjang. Inilah yang mereka perhatikan sepanjang merentasi jalan tepian bendang dari Sekinchan sehingga ke Tanjung Karang, banyak rumah-rumah Cina terpasang bulatan keranjang itu walaupun tanpa padangnya.

Mulanya kami menjawab, mungkin kerana Sekolah Cina ada ruangan yang terhad untuk mereka membina padang bola. Namun agak kurang tepat juga jawapan tidak pasti sebegitu.

Anak-anak melihat sekitar petang selepas hari mula redup, anak kampung Melayu pula dah mula berkumpul bermain bolasepak. Itu bukan permainan tradisi kita tetapi dah jadi satu kebiasaan pula dengan orang Melayu dewasa ini.

Ini bukan satu perbandingan yang konkrit namun kami mencari asal usul mengapa bola keranjang dan mengapa tidak bolasepak. Perbincangan kami turut menyingkap hidayah-hidayah dari Al-Quran yang pernah kami kaji dan juga oleh anak-anak di dalam bas tentang hadis pesanan nabi untuk ajarkan anak berenang, memanah dan berkuda.

Wak Amin, tuan rumah homestay kami… yang memang kaki menembak di kampung itu turut mengulas sunnah tersebut dengan menyatakan atas sebab itu juga homestay beliau turut dilengkapi dengan kolam renang. “Jika dahulu adanya memanah, maka pesanan nabi memanah… jika ketika itu adanya senapang, mungkin pesanan nabi ialah untuk ajar anak menembak pula”.

Atas dasar itu, maka kami terus mengambil perbandingan sisi tentang memanah untuk menjawab persoalan budaya bola keranjang Cina ini.

Dalam sunnah memanah ini anak-anak membuat sintesis mudah bahawa pesanan Nabi SAW itu mahukan kita sentiasa mengajar anak-anak generasi agar menjadi tepat dalam sasaran apapun yang kita kerjakan. Dalam sunnah berenang pula, analogi yang dirumus ialah agar anak-anak belajar bertenang dan mampu mengapungkan diri untuk mengharung lautan manusia. Kemudian dijelaskan bahawa sunnah memacu kuda adalah analogi kepada tuntutan agar kita mampu bertindak tangkas dan pantas, termasuk dalam mengurus kenderaan yang kita kenderai.

Kaitannya dengan bola keranjang ialah bicara TARGET. Anak Cina dibiasakan dengan sukan yang mempunyai target yang memerlukan tumpuan dan disiplin untuk memasukkan bola ke dalam gelung kecil dari jarak yang jauh. Permainan bolasepak juga sama, ia melibatkan sasaran tetapi agak besar juga sasaran itu.

Kami melihat itu sebagai satu perbandingan yang mampu anak-anak kupaskan. Kami tambahkan sedikit bahawa pembinaan karakter dan psikologi manusia ini terkait banyak dengan apa yang mereka jadikan permainan semasa awal umur mereka dan semasa mereka membesar.

Fokus yang jitu mampu mencapai target. Walaupun bolasepak juga permainan yang terkait dengan target, tetapi ia tidak boleh dimainkan sendirian. Agak unik dan menarik apabila kita lihat anak Cina masih boleh berlatih untuk “aim” walaupun ketika mereka berada sendirian di halaman rumah mereka pada setiap petang. Mereka tidak perlukan suasana ‘pesta’ berkumpul dan bertepuk sorak beramai-ramai yang boleh melekakan untuk bermain bola sepak.

Hari ini, kita juga mampu lihat bagaimana orang Cina lebih tepat dan fokus dengan apa yang mereka mahukan berbanding dengan orang Melayu yang sering lari fokus. Ada yang baru nak naik sedikit niaganya, dah alah dengan godaan wanita muda bergetah lantas berkahwin lagi 1, 2 dan 3 kononnya mengikut sunnah. Baru sahaja perniagaan nak laku, kereta Wira dah bertukar jadi Jaguar. Itu belum masuk trend yang memasukkan bajet kereta mewah dalam pinjaman perniagaan sebelum perniagaan itu bermula pun. Habit ini banyak kami perhati berlaku di kalangan sebahagian dari kami juga sebelum ini.

Ada buruk, ada baiknya… untuk majukan diri kita, baik kita nampakkan mana kelemahan kita dan kaji apakah pula kelebihan orang lain untuk ditauladani.

Pemerhatian oleh Anak-anak
Ditulis semula oleh
WARGA PRIHATIN